KOTA BHARU: Flet Jalan Bayam di sini, yang sebelum ini busuk dan kotor, kini kembali bersih dan terurus selepas tindakan segera diambil penduduk dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membersihkan kawasan itu.
Rumput yang panjang di persekitaran tiga blok flet itu sudah dipotong dan dibersihkan menjadikan pemandangan sekitar kawasan itu kembali ceria.
Yang Dipertua Majlis Pembandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Zamri Ismail, berharap penduduk di kawasan itu akan menjaga kebersihan persekitaran dan bersama-sama melakukan kerja pembersihan di kawasan mereka.
"Mereka (penghuni) tidak boleh hanya mengharapkan dengan membayar cukai kepada pihak berkuasa, kebersihan akan dijaga oleh pihak berkuasa saja...pihak berkuasa juga menjaga kebersihan di tempat lain.
"Tindakan seperti memotong rumput sudah menjadi tanggungjawab kami tetapi soal penjagaan sampah dan longkang yang tersumbat itu sebenar perlu diatasi secara bersama," katanya ketika ditemui di sini.
Pada 28 Julai lalu, BH melaporkan tiga blok flet Jalan Bayam yang berusia lebih 10 tahun itu kotor dan busuk serta dilihat seperti tidak berpenghuni kerana sampah sarap yang bertaburan serta keadaan yang berbau berpunca daripada longkang tersumbat.
Sumber: Berita Harian | Wilayah Timur | 4 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan