KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian menyediakan Anjung Rehat dan Penyusuan Nilam bagi memastikan proses penyusuan eksklusif tetap berjalan lancar kepada bayi yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Nilam (NICU).
Timbalan Dekan (Penyelidikan) HUSM Prof Dr Rosline Hassan berkata bilik yang dilengkapi katil, surau, bilik air dan dapur itu berfungsi sebagai bilik rehat kepada ibu, sementara menunggu masa menyusu bayi masing-masing.
"Bilik ini disediakan khas kepada ibu yang mempunyai bayi bermasalah seperti bayi yang lahir pramatang dan terpaksa ditempatkan di NICU untuk menerima rawatan.
"Dengan adanya bilik ini, ibu bayi yang masih berada dalam pantang lebih mudah untuk memerah dan memberikan susu serta melawat bayi mereka yang dirawat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Anjung Rehat dan Penyusuan Nilam di hospital tersebut di sini, Sedlasa.
Dr Rosline berkata melalui penyediaan bilik khas yang beroperasi secara 24 jam itu, ibu bayi tidak perlu berulang-alik dari rumah untuk menyusukan bayi mereka.
"Inisiatif ini juga bertujuan memastikan bayi terus mendapat susu ibu secara konsisten bagi melengkapkan proses penyusuan eksklusif sekurang-kurangnya selama enam bulan," katanya.
Terdahulu Dr Rosline turut merasmikan sambutan acara tahunan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2016 Peringkat HUSM bagi memberi pengiktirafan terhadap penyusuan susu ibu.
Beliau berkata penyusuan susu ibu adalah elemen yang sangat penting bagi kesejahteraan hidup seseorang bayi yang baharu lahir sehingga umurnya dua tahun.
"Kesedaran ini perlu sentiasa dipupuk dan dijadikan budaya berterusan dalam kehidupan masyarakat bagi menjamin kelestarian penyusuan susu ibu yang terbukti mampu membekal nutrisi terbaik tumbesaran bayi," katanya.
Antara aktiviti yang dilaksanakan di majlis tersebut termasuk pertandingan keluarga anggun menyusu, pertunjukan fesyen busana ibu hamil dan menyusu serta pameran kepentingan memberikan susu ibu kepada bayi.
Sumber: Bernama | 16 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan