KOTA BHARU: Seekor buaya tembaga sepanjang hampir tiga meter yang dipercayai menyerang seorang penjala udang Ahad lepas, berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Sungai Gong Ketereh, Pasir Puteh, semalam.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Muhammad Khairi Ahmad berkata buaya itu ditangkap menggunakan perangkap sepanjang tiga meter dengan lebar dan tinggi satu meter yang diperbuat daripada besi dengan menggunakan ayam sebagai umpan.
"Perangkap itu dipasang kira-kira 50 meter dari tempat mangsa dilaporkan diserang Ahad lepas," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ibrahim Nor, 58, yang juga tukang perabot nyaris maut selepas diserang buaya ketika membersihkan jala di tepi sungai berkenaan kira-kira 10.30 malam, Ahad lepas.
Akibat insiden itu, beliau cedera di paha, betis dan lutut kiri sepanjang kira-kira 20 sentimeter akibat gigitan reptilia itu.
Muhammad Khairi berkata buaya terbabit dihantar ke Pejabat Perhilitan Kuala Krai untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Perak.
Sumber: Bernama | 25 Ogos 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan