Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 31 Mei 2016

KTMB jual 333,000 tiket ETS, Antarabandar sempena Aidilfitri mulai Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan 333,000 tiket sempena Aidilfitri untuk perkhidmatan kereta api elektrik ETS dan KTM Antarabandar (Intercity).

Tiket adalah untuk perjalanan bermula 24 Jun hingga 17 Julai yang akan dijual mulai 8.30 pagi Jumaat ini, kata KTMB dalam satu kenyataan.

KTMB berkata langkah menjual tiket ETS dan Antarabandar dua bulan lebih awal dari tarikh perjalanan adalah bagi memudahkan orang ramai membuat perancangan perjalanan mereka.

Tiket boleh diperoleh di kaunter KTMB atau menerusi khidmat dalam talian di laman sesawang rasmi KTMB www.ktmb.com.my.

Pertanyaan lanjut mengenai status tiket, jadual tren dan tambang boleh didapati di stesen KTMB berhampiran, Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau laman sesawang rasmi KTMB.

Sumber: Bernama | 31 Mei 2016

Malaysia sertai kelompok negara maju 2021


Rajiv Biswas.
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menyertai kelompok negara-negara maju menjelang tahun 2021, apabila pendapatan perkapita setiap penduduk negara ini diramal mencecah AS$15,000 (RM61,200) setahun daripada AS$9,900 (RM40,392) setahun setakat 2016.

Ramalan itu dibuat apabila nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka mencecah AS$500 bilion (RM2.04 trilion) pada tahun 2021 berbanding AS$300 bilion (RM1.124 tri­lion) pada tahun ini.

Malah menurut firma penyelidikan IHS Global Insight, pendapatan perkapita itu dijangka mencecah AS$30,000 (RM122,400) setahun pada tahun 2030, apabila KDNK Malaysia akan bernilai AS$1 trilion (RM4.08 trilion).

Ketua Ekonomi Asia Pasifik IHS Global Insight, Rajiv Biswas berkata, ia adalah hasil penyertaan Malaysia di dalam perjanjian-perjanjian perdagangan global serta perkembangan era digital yang dilihat menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Ekonomi Malaysia akan tumbuh secara purata lima peratus dalam tempoh sedekad. Apabila KDNK melepasi nilai AS$1 trilion, Malaysia akan menjadi ekonomi kedua terbesar ASEAN selepas Indonesia,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Pendapatan per kapita dicapai apabila membahagikan nilai KDNK dengan jumlah penduduk negara. Pendapatan RM61,200 setahun ini bermakna pendapatan bulanan purata rakyat Malaysia pada 2021 ialah RM5,100 dan RM10,200 sebulan pada 2030.

Kata Biswas, nilai pendapatan perkapita itu adalah berdasarkan ramalan makro ekonomi yang dijalankan oleh IHS Global Insight terhadap Malaysia.

Jelasnya lagi, de­ngan peningkatan pendapatan isi rumah dan golongan berpendapatan menengah, perbelanjaan terhadap barangan seperti rumah, perabot, kesihatan, produk kewangan dan pendidikan akan menjadi enjin utama aktiviti ekonomi tempatan.

Selain itu katanya, sektor-sektor yang akan mengalami perkembangan yang baik ialah perkhidmatan kewangan, teknologi maklumat, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, perniagaan penyumberan luar, penerbangan komersial, per­khidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan pelanco­ngan.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 30 Mei 2016 | Terbitan 31 Mei 2016

Isnin, 30 Mei 2016

Kerajaan Thailand tolak cadangan NRSA untuk bina terusan Songkla - Krabi

BANGKOK: Kerajaan Thailand menolak cadangan Perhimpunan Pemandu Pembaharuan Kebangsaan (NRSA) untuk membina terusan yang menghubungkan Songkhla dan Krabi di bahagian selatan Thailand.

Timbalan Perdana Menteri General Prawit Wongsuwon berkata, kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan yang akan menghubungkan Teluk Thailand dengan Laut Andaman.

"Sungguhpun mereka (NRSA) mencadangkannya sekali lagi (mengenai terusan), tetapi idea saya masih tetap sama iaitu saya tidak mahu ia diteruskan," katanya kepada media di Kementerian Pertahanan di sini pada Isnin.

Beliau menegaskan cadangan itu "bukan satu idea yang baik" selain bermasalah kerana terdapatnya pandangan berbeza daripada banyak pihak kerana ada yang menyokong dan ada membantah.

Prawit berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas komander tentera keempat dan ketua penasihat projek General Harn Leenanon berhubung cadangan NRSA untuk membina terusan sejauh 135 km yang akan menyediakan jalan perdagangan baharu.

Terusan "9A Route" berukuran 350 meter ke 400 meter lebar dan sedalam 30 meter, sepatutnya menghubungkan Songkhla dan Krabi melalui Phattalung, Nakhon Si Thammarat dan Trang di bahagian selatan Thailand.

Menurut Harn projek itu dijangka memberi banyak kesan sampingan kepada ekonomi tempatan selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan.

Baru-baru ini media tempatan melaporkan, syarikat Thailand-China memperuntukan setahun untuk menjalankan penyelidikan berhubung cadangan itu.

Sumber: Bernama | 30 Mei 2016

Perlu kerjasama Kerajaan Kelantan bangunkan sektor pelancongan - Mas Ermieyati

PASIR MAS: Kerajaan Kelantan perlu bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk membangunkan produk pelancongan yang berpotensi menarik pelancong ke negeri itu.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata Kelantan mempunyai banyak tempat yang berpotensi untuk dibangunkan dan dikomersialkan, namun tempat seperti itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Produk pelancongan itu perlu dibangunkan kerana ia akan merancakkan ekonomi masyarakat setempat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Rakyat Bersama Pemimpin di Tasik Danau, Tok Uban di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam memajukan sektor pelancongan negeri, kementeriannya tidak melepaskan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada kerajaan negeri, sebaliknya turut bersama memainkan peranan di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Mas Ermieyati berkata, pihaknya sedang mengenal pasti lokasi pelancongan di negeri itu yang sesuai untuk dibangunkan bagi dikemukakan kepada kerajaan negeri.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas Datuk Hanafi Mamat dan Ketua Puteri UMNO Kelantan Kartini Nawi Tinie.

Sumber: Bernama | 30 Mei 2016

Fahami tujuan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah - Mohd Amar

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan mereka yang menentang atau mengkritik pembentangan usul Rang Undang-Undang Persendirian mengenai Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat minggu lepas, tidak memahami tujuan usul itu dibentangkan.

Beliau berkata usul itu dibentangkan untuk memartabatkan Mahkamah Syariah dan ia hanya melibatkan umat Islam.

"Kita membawa usul ini adalah untuk memartabatkan Mahkamah Syariah supaya mereka boleh kenakan hukuman yang lebih tinggi berbanding sekarang hanya diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam sebatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah kepada pembeli di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, di sini Isnin.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, berkata sememangnya cadangan pindaan akta berkenaan perlu mendapat kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan kerana kerajaan sendiri memang ada hasrat untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah.

"Saya yakin sekiranya ada perbincangan secara objektif, secara ilmiah dalam masa beberapa bulan ini, saya merasakan ramai orang yang akan faham.

"Seperti juga ketika kerajaan memperkenalkan perbankan Islam, takaful Islam, masa itu ramai yang sangsi dan pertikai tetapi bila lihat banyak faedahnya kepada masyarakat, maka ramai yang ikutinya termasuk orang bukan Islam yang menyimpan dan membuat pinjaman," katanya.

Sumber: Bernama | 30 Mei 2016

Bomba bawa ibu Orang Asli sakit ke Hospital Gua Musang

GUA MUSANG: Seorang ibu masyarakat Orang Asli dari Pos Simpor di sini dikejarkan ke Hospital Gua Musang pagi tadi akibat mengalami kesakitan selepas bersalin tiga hari lalu.

Maryant Musa, 19, dari Kampung Sedal diterbangkan dengan helikopter AW 139 Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira 9.15 pagi.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM, Penguasa Bomba Siti Farizun Naim berkata pesawat tersebut berpangkalan di Bertam, Pulau Pinang.

"Pada pagi ini, pihak kami menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengenai ibu muda Orang Asli yang sakit selepas melahirkan anak sulung tiga hari lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata yang turut diterbangkan ialah bayi lelaki wanita berkenaan.

Penerbangan diketuai juruterbang Kapten Faizal Izani Azizan dengan dibantu Kapten Sharizal Sahari dan Kuatermaster Udara, Khairul Johar Noh.

Sumber: Bernama | 30 Mei 2016

Lelah setiap kali aktif bermain

Royati menunjukkan keadaan Muhammad Adam yang tidak seperti kanak-kanak lain.
RANTAU PANJANG: Seorang kanak-kanak tiga tahun di Kampung Kusar di sini, memiliki bibir dan jari kebiru-biruan sejak lahir.

Ibu, Royati Mohamad, 49, berkata, perubahan warna anggota badan anaknya, Muhammad Adam Akram Zaili berlaku disebabkan penyakit jantung berlubang dan injap tersumbat dialami.

Royati berkata, sepertimana kanak-kanak lain, Muhammad Adam sangat aktif bermain namun penyakitnya membatasi aktiviti hariannya kerana sering muntah dan lelah.

Anak bongsu daripada enam beradik itu katanya, pernah menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur ketika berusia lima bulan.

“Alhamdulillah, dengan kos pembedahan sebanyak RM8,000 ia berjaya menyelamatkan nyawa anak saya buat sementara waktu.

“Namun sekali lagi, kami memerlukan RM30,000 agar dia dapat menjalani pembedahan kedua pada bulan November ini,” katanya.

Royati berkata, gaji suaminya sebagai penyelia pekerja am perlu dibahagikan untuk keperluan tiga anaknya yang masih bersekolah, termasuk perbelanjaan anak ketiganya, yang masih menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.

Belas ihsan orang ramai katanya, diharap dapat menyelamatkan anak bongsunya daripada penyakit tersebut.

Sumbangan boleh disampaikan kepada Royati menerusi akaun Bank Islam bernombor 03081020141366.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 24 Mei 2016

Usaha tambah dana bantu Adam

Skuad Peduli Rantau Panjang menyampaikan sumbangan kepada Royati, semalam.
GUAL PERIOK:  Skuad Peduli Rantau Panjang cakna dengan keperluan seorang kanak-kanak di Kampung Kusar yang menderita penyakit jantung berlubang dan injap sempit, semalam.

Ketua Biro Kebajikan, Masyarakat dan Hubungan Antara Kaum, Haris Mahmud berkata, hasil sebaran berita di laman sosial Facebook dan WhatsApp, pihaknya berjaya mengumpul dana bagi keperluan Muhammad Adam Akram Zaili, 3.

Menurutnya, berita mengenai kesengsaraan yang dihadapi kanak-kanak ini, menyentuh perasaan seorang doktor di Kuala Lumpur.

“Berkat usaha Skuad Peduli Rantau Panjang, kita harap lebih ramai pihak tampil membantu bagi keperluan pembedahan Muhammad Adam pada November akan datang.

“Kita juga menggerakkan usaha untuk meningkatkan dana bagi keperluan keluarga ini sebelum tarikh pembedahan kelak,” katanya.

Baru-baru ini, Sinar Harian melaporkan kesulitan yang dihadapi Royati Mohamad, 49, yang memerlukan RM30,000 bagi pembedahan anaknya, di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada hujung tahun ini.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 30 Mei 2016

Jadikan Kelantan gerbang makanan sihat

Replika cek kutipan program larian amal diserahkan kepada Dr Razin (kiri) sambil diperhatikan oleh Mohd Rosdi (tengah).
TUMPAT: Jabatan kesihatan negeri bercadang menjadikan Kelantan sebagai gerbang makanan sihat sempena Ramadan tahun ini.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, perbincangan telah pun diadakan di antara pengusaha makanan dan majlis daerah bagi tujuan itu.

“Sempena kemunculan bazar Ramadan kali ini, kita jadikan Kelantan sebagai gerbang makanan sihat. Ini bermakna makanan yang dijual oleh peniaga itu lazat, selamat dan berkat.

"Selamat itu bersih daripada bahan kimia, daripada kuman dan tidak mendatangkan keracunan makanan,” katanya selepas Program Larian Amal Generasiku Sayang 2016 di Tumpat, kelmarin yang dirasmikan Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.

Sementara itu, Mohd Rosdi berkata, program Larian Amal Generasiku Sayang adalah rentetan daripada pelancaran program Rumahku Generasiku Sayang yang dibuka untuk tempat perlindungan sementara kepada remaja hamil luar nikah.

“Kutipan daripada larian amal ini bagi mengumpul dana Tabung Generasiku Sayang nanti dan Dengan adanya rumah ini memberi satu harapan baru kepada remaja terbabit untuk meneruskan penghidupan mereka," katanya sambil memberitahu langkah Kementerian Kesihatan mewujudkan Rumah Generasiku Sayang amat tepat untuk menyelamat remaja terlanjur.

Beliau turut berharap, NGO dan badan korporat mengambil bahagian bersama membantu penghuni rumah tersebut agar mereka mendapat pembelaan sewajarnya.

Sejak dilancarkan Rumah Generasi Sayangku berjaya mengumpul dana RM50,000 dan orang ramai, NGO dan badan korporat dialu-alukan untuk menghulurkan sumbangan.

Rumah Generasiku Sayang yang pertama di negeri ini dibuka di Jalan Bukit Tanah, Tumpat dengan menyediakan tempat perlindungan sementara serta rawatan ketika hamil dan selepas bersalin.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 30 Mei 2016 

Kelantan perlukan hospital jantung dan paru-paru

Sheikh Ahmad Dusuki (dua, kanan) bersama Dr Mr Anas (kanan) dan Mustapa (kiri) bertanyakan perkembangan kesihatan Sulaiman.
KOTA BHARU: Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) mencadangkan kepada kerajaan pusat agar satu hospital jantung dan paru-paru ditubuhkan di negeri ini dalam usaha meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, cadangan itu sebagai tanda sokongan terhadap saranan dikemukakan Ketua Unit Pembedahan Kardiotorasik HRPZ II, Datuk Dr Mr Anas S Ressang Amin.

“Cadangan agar diwujudkan hospital jantung di Kelantan adalah sangat tepat sebagaimana yang terdapat di Kuching Sarawak.

Memorandum pembinaan hospital tersebut sudah diserahkan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk dihantar ke Kabinet bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Sheikh Ahmad Dusuki ditemui media selepas Majlis Makan Malam Apresiasi Sulaiman OKB-Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi) yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah, di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher dan Presiden Kemudi, Mohd Zailani Abd Rahman.

Beliau berkata, pihaknya sedar, ramai pesakit di negeri ini tidak mampu mendapatkan rawatan sama ada di Institut Jantung Negara mahupun pusat-pusat kesihatan berbayar lain berikutan kos yang tinggi sehingga melebihi RM40,000. “Jadi POKB cuba ketengahkan cadangan ini akan rakyat Kelantan mempunyai hospital khas untuk rawatan jantung dan paru-paru bagi membolehkan pesakit di sini menerima rawatan dalam negeri,” katanya.

Mengulas lanjut, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, dengan adanya hospital berkenaan ia dapat mengurangkan kos selain mempercepatkan lagi pembedahan jantung dan dapat menyelamatkan lebih ramai nyawa.

“Kita sedar keupayaan untuk mencari dana bagi satu pembedahan pintasan jantung amatlah berat, atas faktor itulah, sekiranya hospital berkenaan dapat diwujudkan ia dapat mengurangkan beban ditanggung setiap pesakit.

Beliau berharap cadangan menubuhkan hospital itu dipertimbangkan dalam masa terdekat sebaik keadaan ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif.

Dalam majlis sama, Unit Jantung HRPZ II turut menerima plak dan sijil penghargaan daripada Mustafa di atas kejayaan melakukan pembedahan pintasan jantung kepada Ketua Biro News Strait Times (NST), Sulaiman Jaafar Mac lalu.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 30 Mei 2016

Ahad, 29 Mei 2016

Bank Muamalat buka cawangan keenam di Kelantan

GUA MUSANG: Bank Muamalat Malaysia Berhad menyasarkan untuk mempertingkatkan penggunaan teknologi perbankan yang diamalkannya dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Pengerusinya Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid berkata, selain sejajar perkembangan teknologi semasa, bank itu juga berasakan perlu untuk memiliki keupayaan bagi membolehkannya bersaing di peringkat global.

"Ini seperti penggunaan e-wallet (dompet elektronik) yang akan menjadi instrumen menghubungkan pihak bank kepada masyarakat berbanding pendekatan konvensional yang mana pelanggan perlu ke bank untuk melakukan urusan berkaitan.

"Walaupun pertumbuhan perbankan Islam di negara ini adalah antara 30 hingga 35 peratus yang melebihi perbankan konvensional, namun perbankan Islam didapati tidak melakukan inisiatif-inisiatif baharu (bagi merancakkan lagi pertumbuhan mereka)," tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan cawangan Bank Muamalat Gua Musang yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank berkenaan, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, di sini, Ahad.

Mengulas pembukaan cawangan baharu bank itu, Mohd Munir berkata ia merupakan cawangan keenam bank tersebut di Kelantan.

"Kami menyasarkan dapat menambah 10,000 pelanggan baharu dengan pembukaan cawangan ini selain 60,000 pelanggan yang sedia ada di Kelantan.

"Pihak kami turut menjangkakan perkembangan perniagaan di Kelantan akan semakin rancak berikutan jumlah pemilikan ladang serta pembukaan bandar-bandar baharu dengan lot kedai yang menyediakan pelbagai servis kepada para pelanggan," katanya.

Sementara itu, Mohd Redza berkata Bank Muamalat mempunyai lima lagi cawangan di Kelantan iaitu tiga di Kota Bharu dan masing-masing satu di Jeli dan Tanah Merah.

"Kami juga bercadang untuk membuka cawangan di beberapa jajahan lain pada masa akan datang bagi memudahkan pelanggan berurusan dengan pihak kami," katanya.

Sumber: mStar Online | 29 Mei 2016

HRPZII punyai Bilik Bersih Total Parenteral Nutrition untuk kemudahan produk steril

KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, kini mempunyai sebuah Bilik Bersih Total Parenteral Nutrition, iaitu bahagian khas bagi penyediaan steril untuk memenuhi keperluan pesakit yang kian meningkat di Kelantan.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Datuk Eisah A Rahman berkata dengan wujudnya Bilik bersih itu, HRPZII adalah satu-satunya hospital di bawah Kementerian Kesihatan di Kelantan yang mempunyai Bilik Bersih untuk penyediaan produk steril.

"Kini selepas hampir 30 tahun terdapat 56 hospital di seluruh negara yang menawarkan perkhidmatan Farmasi Nutrisi Parenteral dan terbaharu, di HRPZII di sini," katanya selepas majlis perasmian dan penyerahan Bilik Bersih Total Parenteral Nutrition Jabatan Farmasi HRPZII di sini, hari ini.

Beliau berkata Perkhidmatan Nutrisi Parenteral pertama kali diperkenalkan di negara ini di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 1986 diikuti dengan Hospital Pulau Pinang dan Hospital Kuala Lumpur.

Beliau berkata pada 1987 Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, pula secara formal memulakan rondaan Nutrisi Parenteral di wad yang diketuai oleh ahli farmasi, dan kemudiannya oleh hospital lain sehingga jumlahnya kini mencapai 56 hospital yang menawarkan perkhidmatan serupa.

"Kemudahan ini adalah sejajar dengan polisi Bahagian Perkhidmatan Farmasi di mana setiap sediaan steril farmaseutikal hendaklah disediakan dalam bilik bersih yang dikualifikasi dan mematuhi amalan penyediaan yang baik," katanya.

Eisah berkata permintaan bagi perkhidmatan Nutrisi Parenteral sentiasa meningkat setiap tahun dan pada 2013 sebanyak 80,967 beg disediakan dan pada 2014 ia meningkat sebanyak 87,555 beg manakala pada 2015 bertambah kepada 97,311 beg.

Beliau berkata di Kelantan, jumlah sediaan sepanjang 2015 adalah sebanyak 11,536 beg iaitu 11.7 peratus daripada keseluruhan sediaan yang melibatkan 98,311 beg.

"Produk steril yang dihasilkan ini bukan sahaja untuk pesakit di HRPZII sahaja tetapi untuk hospital daerah yang lain di Kelantan," katanya.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher, Pengarah Jabatan Kerja Raya Kelantan, Ir Razani Ab Lazid dan Pengarah HRPZII, Dr Wan Hazimah Wan Mohamed.

Sumber: Bernama | 29 Mei 2016

Kerajaan Persekutuan salur RM152 juta kepada Perak anjur Sukma 2018

KUALA KANGSAR: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM152 juta kepada negeri Perak untuk penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2018, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata peruntukan itu akan diguna bagi membolehkan pembangunan semula dan membaik pulih beberapa prasarana sukan di Perak.

"Inilah komitmen kerajaan Persekutuan untuk membantu Perak menyediakan segala kemudahan.

"Tapi peruntukan (RM152 juta) itu tidak termasuk Velodrom Rakyat Ipoh yang akan dibaik pulih sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Fit Malaysia @ Perak 2016 di sini hari ini.

Kira-kira 12,000 orang menyertai program itu yang melibatkan acara larian dan berbasikal.

Ketika ditanya mengenai penjagaan serta pengurusan velodrom itu selepas penganjuran Sukma 2018, Khairy berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI). Terdahulu dalam ucapannya, Khairy mencabar Perak supaya bukan sahaja menjadi tuan rumah Sukma yang terhebat, malah mampu muncul juara.

"Saya harap Perak tetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk muncul juara Sukma 2018," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata peruntukan daripada kerajaan Persekutuan itu akan diguna untuk membaik pulih beberapa kemudahan termasuk stadium dan padang tembak selain membina kolam renang baharu di Ipoh.

Ditanya mengenai kebimbangan prasarana tersebut akan terbiar, Zambry berkata kerajaan negeri akan memastikan ia dijaga dengan baik memandangkan kemudahan yang dibina dan dibaik pulih itu digunakan oleh orang awam sepanjang masa.

Sumber: Bernama | 29 Mei 2016

Usah tergesa-gesa buat kesimpulan Rang Undang-undang Persendirian Hadi - SPDP

MIRI: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mahu semua pihak tidak teregsa-gesa membuat kesimpulan tentang cadangan pindaan bagi meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata usul Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang dibentangkan Anggota Parlimen Marang dan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 26 Mei tidak sepatutnya mencetuskan spekulasi tidak berasas, tanpa memberi peluang kepada Hadi memberi penjelasan terperinci tentang pindaan dicadangkan itu terlebih dahulu.

"Beliau (Hadi) masih perlu membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan seterusnya, jika anggota dewan mendapati pindaan itu bercanggah dengan kepentingan orang Islam atau ia dikuatkuasakan terhadap bukan Islam, sudah tentulah dewan tidak akan membiarkan rang undang-undang itu diluluskan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tiong berkata selagi rang undang-undang itu terletak dalam lingkungan perlembagaan negara, maka ia perlu diberi hak untuk didengari dan dibahaskan di Dewan Rakyat sebelum diluluskan atau ditolak.

Tiong menolak dakwaan bahawa UMNO menyokong pelaksanaan hudud apabila ia memberi lampu hijau kepada cadangan Abdul Hadi itu dan seterusnya berkata, pindaan itu tiada kena mengena dengan hudud.

"Saya tidak fikir UMNO secara senyap-senyap bekerjasama dengan PAS untuk menyokongnya," katanya.

Setakat ini, SPDP, satu daripada parti komponen BN negeri ini, merupakan satu-satunya parti pelbagai kaum yang belum menolak cadangan pindaan itu, walaupun empat parti gabungan lain iaitu MCA, MIC, SUPP dan Gerakan, menolaknya.

Dalam kenyataan bersama baru-baru ini, presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam, Timbalan Presiden SUPP Datuk Seri Richard Riot dan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata sekiranya rang undang-undang itu diluluskan, ia melanggar perlembagaan persekutuan.

Sumber: Bernama | 29 Mei 2016

Khamis, 26 Mei 2016

54 penagih ditahan dalam operasi bersepadu di Besut

BESUT: Seramai 54 penagih dadah ditahan dalam operasi tiga hari yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di daerah ini sejak Isnin lepas.

Selain itu, polis turut merampas 45 pil methamphetamine dan 0.12 gram syabu.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata dalam operasi itu, 28 tangkapan dilakukan pada hari pertama diikuti 13 orang, masing-masing pada hari kedua dan ketiga.

Katanya, operasi di seluruh daerah itu membabitkan hampir 20 kampung yang bermula dari pukul 3 pagi hingga 8 pagi.

Sumber: Bernama | 26 Mei 2016

Al Jufferi, Pandelela dinobat Olahragawan & Olahragawati Kebangsaan 2015

Pandelela dan Mohd Al Jufferi bersama trofi Olahragawan dan Olahragawati 2015 yang diterima pada Malam Anugerah Sukan Negara, Rabu.
KUALA LUMPUR: Ratu terjun Pandelela Rinong Pamg dan pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari dinobatkan sebagai Olahragawati dan Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2015 yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada Rabu malam.

Pandelela melakar rekod terbaik tahun lalu apabila memenangi pingat gangsa acara 10m platform di Siri Terjun Dunia di Kanada dan Kejohanan Akuatik Dunia ke-16 di Kazan, Rusia.

Kejayaan itu sekali gus menjadikannya sebagi atlet pertama negara yang layak ke Sukan Olimpik 2016. Malah anugerah ini merupakan yang ketiga buat atlet kelahiran Sarawak ini selepas memenanginya pada 2011 dan 2012.

Sementara itu, Al-Jufferi yang merupakan pesilat kelahiran Pahang cemerlang mengharumkan nama negara setelah menang emas Kejuaraan Silat Dunia Kelas Putra E. Pesilat itu turut mempertahankan pingat emas di Kejuaraan Silat Terbuka Belgium.

“Terima kasih kepada semua yang terus menyokong saya selama ini. Sudah tentu ia mampu menaikkan semangat dalam mengharungi cabaran getir di Rio tidak lama lagi.“Saya berjanji untuk kekal dengan gelaran ini dengan memberi pingat di Sukan Olimpik nanti.

“Saya harap semua akan mendoakan kejayaan saya,” kata Pandelela selepas menerima trofi yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Manakala Mohd Al Jufferi yang dilihat terkejut dengan anugerah ini mengucapkan terima kasih kepada kedua ibi bapanya yang sentiasa mendoakan kejayaannya.

“Juga terima kasih kepada semua termasuk jurulatih, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dengan memberi peluang untuk memartabatkan sukan ini di persada antarabangsa,” jelasnya.

Sebagai rekod, pada ASN tahun lalu, anugerah utama ini dirangkul oleh jaguh bina badan, Sazali Samad dan ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David.

Pandelela dan Mohd Al Jufferi bersama Felicia dan Mohamad Ridzuan dengan trofi kemenangan masing-masing.

Senarai penuh pemenang ASN 2015:

Olahraragawan Kebangsaan: Mohd Al Jufferi Jamari - silat

Olahragawati  Kebangsaan
: Pandelela Rinong Pamg - terjun

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan:
Filicia Mikat - Olahraga

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan
: Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi - Olahraga

Pasukan Wanita Kebangsaan: Pasukan Wanita Memanah Compound Kebangsaan

Pasukan Lelaki Kebangsaan: Pasukan Memanah Lelaki Compound

Jurulatih Kebangsaan Wanita: Norsham Yoon - olahraga (para)

Jurulatih Lelaki Kebangsaan : Nasri Nasir -Silat

Kepimpinan Sukan:

Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim -Pelayaran

Datuk Yeoh Choo Hock -Bola Keranjang

Tokoh Sukan:

Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid

Tan Sri Dr Jegathesan Manikavasagam

Sumber: mStar Online | 25 Mei 2016

Rabu, 25 Mei 2016

Taman Halal Pasir Mas bakal tarik lebih ramai pelabur ke Kelantan

KUALA LUMPUR: Kelantan dijangka dapat menarik lebih ramai pelabur swasta selepas selesainya pembangunan fasa satu Taman Halal Pasir Mas (PMHP), yang dibangunkan bersama oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Pusat Perniagaan Usahawan yang telah siap di bawah fasa pertama juga dijangka menyediakan lebih banyak peluang bagi pelabur untuk memindahkan operasi mereka ke taman itu, kata ECERDC dalam satu kenyataan hari ini.

Pembangunan fasa kedua PMHP dijangka dimulakan pada Jun 2016. Dari 2007 sehingga April 2016, ECERDC berkata, nilai pelaburan yang dijanjikan atau diluluskan di Kelantan berjumlah RM12.5 bilion dan telah mewujudkan 13,000 peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan.

"Bahagian terbesar pelaburan masih lagi datang daripada sektor pembuatan, diikuti sektor logistik dan pelancongan. Tiga sektor utama ini menyumbang 83 peratus daripada jumlah pelaburan di negeri itu.

"Ketika ini ECERDC bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk menarik lebih banyak pelabur swasta ke PMHP bagi meningkatkan pembangunan sosioekonomi di negeri itu menerusi peningkatan industri berorientasikan perdagangan dan eksport," kata majlis itu.

Sementara itu, ECERDC berkata Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) seluas 80.94 hektar di Pasir Puteh merupakan inisiatif strategik untuk menjana aktiviti ekonomi dan meningkatkan permintaan bagi pendaratan ikan di Kelantan.

Taman itu akan meningkatkan potensi eksport makanan diproses termasuk produk berasaskan ikan dan menyokong industri seperti kilang pembuatan ais dan pembaikan kapal perindustrian, dengan penyepaduan ekopelancongan marin dan hospitaliti.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata majlis itu akan terus mempromosikan peluang pelaburan di Kelantan terutamanya menerusi PMHP dan TBIFP.

"Kedua-dua taman ini mempunyai potensi untuk menjadi hab serantau bagi sektor masing-masing dengan PMHP sebagai hab bagi pembuatan dan pemprosesan produk makanan halal, manakala TBIFP boleh berfungsi sebagai hab bagi aktiviti ekonomi berasaskan ikan dan marin," katanya.

Sumber: Bernama | 25 Mei 2016

Tiada tanah sesuai untuk bina rumah mampu milik di Kelantan

TANAH MERAH: Kerajaan Kelantan menghadapi kekangan dalam mendapatkan tanah yang sesuai bagi pembinaan perumahan mampu milik untuk rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Ab Fattah Mahmood berkata kekangan tersebut berkemungkinan akan membantutkan sasaran kerajaan negeri untuk membina 5,000 buah rumah mampu milik menjelang 2018.

"Kami menghadapi masalah berkenaan berikutan tanah milik kerajaan negeri tidak banyak di kawasan berdekatan dengan bandar, sekiranya ada ia agak berada di pedalaman.

"Jika kami membangunkan kawasan perumahan tersebut di kawasan pedalaman, ia akan merugikan kerajaan negeri kerana tidak ada rakyat yang berminat memandangkan kawasan itu jauh dari bandar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Rumah Contoh Projek Rumah Mampu Milik Kelantan di Pasir Genda, Bukit Gading di sini hari ini.

Ab Fattah berkata setakat ini, sebanyak 3,000 buah rumah mampu milik di seluruh negeri ini dalam proses pembinaan dan sebahagiannya hampir siap.

Sebanyak 64 buah rumah akan dibina di Projek Rumah Mampu Milik, Pasir Genda yang dijangka disiapkan akhir tahun ini.

Sumber: Bernama | 25 Mei 2016

Johan tilawah al-Quran dapat penghargaan Kerajaan Negeri Kelantan

Wan Ainuddin Hilmi Abdullah 
KOTA BHARU: Mesyuarat kerajaan negeri hari ini memutuskan untuk memberi penghargaan kepada pemenang Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-58, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah sebuah rumah sebagai penghargaan daripada kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, untuk tujuan itu, kerajaan juga akan berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKNIK) bagi urusan mendapatkan rumah yang bersesuaian.

“Memandangkan beliau berasal dari Tanah Merah, mungkin kita akan bagi rumah di kawasan Tanah Merah. Apa pun kami sedang mengenal pasti dan berbincang dengan PKINK untuk dapatkan rumah siap bernilai lebih RM100,000,” katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Menurutnya, proses pemilihan rumah tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat dan akan diserahkan kepada Wan Ainuddin setelah semua urusan diselesaikan bersama PKINK.

Beliau berkata, usaha penghargaan dan komitmen ini juga membuktikan kerajaan negeri sentiasa menyokong penyertaan rakyat Kelantan bagi menyertai Tilawah al-Quran di pelbagai peringkat.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 Mei 2016

Rayani Air jamin selesaikan masalah penumpang, gaji pekerja sebelum Aidilfitri

Ibu pejabat Rayani Air yang terletak di tingkat atas sebuah pasar mini di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.
PETALING JAYA: Rayani Air pada Rabu memberi jaminan pembayaran balik tambang penumpang susulan penggantungan operasi syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara itu akan diselesaikan sebelum Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Jaminan tersebut termasuk bayaran tunggakan gaji pekerja syarikat penerbangan itu bagi Mac berjumlah kira-kira RM1.5 juta.

Perkara itu dibuat menerusi kenyataan bersama pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran dan isterinya, Datuk Karthiyani Govindan yang merupakan Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia syarikat penerbangan itu kepada mStar Online pada Rabu.

"Kami tidak berniat untuk menipu para penumpang tetapi pada masa ini kami akui tidak mempunyai dana bagi membuat bayaran berkenaan.

"Kami sedang berunding dengan pelabur-pelabur untuk mendapatkan dana dan proses rundingan kini di peringkat akhir.

"Kami menjangkakan rundingan dapat dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu lagi. Kami beri jaminan bahawa bayaran balik tambang dan tunggakan gaji dapat diselesaikan sebelum Hari Raya," katanya kepada mStar Online.

Pada Selasa, sekumpulan 40 wakil penumpang yang tidak dapat meneruskan penerbangan ke destinasi masing-masing kerana penggantungan operasi Rayani Air, tampil membuat laporan polis.

Laporan dibuat selepas syarikat penerbangan itu gagal mengembalikan wang tambang dalam tempoh 30 hari sebagaimana yang dijanjikan.

Ravi dan Karthiyani memohon kepada semua penumpang termasuk pekerjanya supaya bersabar dan memahami situasi yang sedang dihadapi oleh Rayani Air ketika ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Rayani Air sedang berunding dengan lima pelabur sebelum 'tawaran yang terbaik' dimuktamadkan.

"Kita akan cuba selesaikan sebelum hari raya tetapi sekiranya berjalan lancar dan dimuktamadkan lebih awal, lebih cepatlah pembayaran dapat dilakukan," jelas mereka.

Mengenai hanya gaji pekerja bagi Mac akan dilunaskan, kedua-duanya menjelaskan bahawa tunggakan gaji lain akan dibincangkan apabila Rayani Air dapat beroperasi semula.

Pada 10 April lalu, Rayani Air menerusi laman Facebooknya berjanji akan membayar semula wang tambang penumpang dalam tempoh tujuh hingga 15 hari kemudian melanjutkannya kepada 30 hari.

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) pada 11 April lalu menggantung sementara operasi syarikat penerbangan itu selama tiga bulan.
 
Sumber: mStar Online | 25 Mei 2016

Selasa, 24 Mei 2016

Rayani Air mungkir janji gagal pulangkan wang tiket

Seramai 40 pelanggan Rayani Air berkumpul di hadapan pejabat syarikat penerbangan tersebut untuk menuntut kembali wang tiket penerbangan yang ditangguhkan di sini hari ini.
SHAH ALAM: Pengurusan Rayani Air didakwa mungkir janji kerana gagal memulangkan semula wang tiket penerbangan sepanjang pemberhentian sementara operasinya yang berjumlah kira-kira RM150,000.

Kira-kira 40 wakil pelanggan syarikat penerbangan itu yang datang untuk menuntut bayaran itu hari ini pulang dengan tangan kosong.

Mereka datang dari seluruh semenanjung berang apabila pihak pengurusan Rayani Air mungkir janji untuk memulangkan semula wang tiket itu

Mas Ayu Mohd. Yusof, 32, yang datang dari Melaka untuk menuntut semula wang itu berasa dirinya tertipu kerana dimaklumkan akan dapat menebus semula wang tiket itu dalam tempoh tujuh sehingga 30 hari sejak April lalu.

Katanya, tempoh sebulan itu sudah tamat namun tiada sebarang maklumbalas diterima daripada pihak pengurusan syarikat penerbangan berkenaan.

Kira-kira 40 pelanggan mewakili 200 penumpang itu berhimpun untuk menebus semula wang mereka, namun tidak berhasil apabila pejabat tersebut ditutup manakala individu yang bertanggungjawab di pejabat tersebut berdolak-dalik.

Terdahalu, kesemua yang hadir telah membuat laporan di Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam berhubung perkara itu.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataanya berkata nasib syarikat penerbangan itu sama ada dibenarkan beroperasi atau perkhidmatannya ditamatkan akan diketahui tidak lama lagi.

Laporan akhir siasatan yang dilakukan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) terhadap syarikat penerbangan patuh syariah itu telah diterima dan satu mesyuarat akan diadakan bagi memutuskan masa depan syarikat itu.

Sumber: Utusan Online | 24 Mei 2016

8,000 pelancong dijangka kunjungi Taman Negara Kelantan

Keindahan Taman Negara Kelantan Kuala Koh di Gua Musang sehingga April lalu berjaya menarik 5,000 pengunjung.
GUA MUSANG: Jabatan Perlindungan Hi­dupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri menyasarkan seramai 8,000 pengunjung melawat Taman Negara Kuala Koh di sini sehingga hujung tahun ini.

Pengarahnya, Mohammad Khairi Ahmad berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai kerana berdasarkan rekod sejak bulan Januari hingga April tahun ini, seramai 5,000 orang telah mengunjungi taman berkenaan.

Katanya, lebih setahun lalu Taman Negara Kuala Koh telah ditenggelami banjir pada hujung Disember 2014 sehingga menyebabkan kerosakan pelbagai infrastruktur.

“Selepas dilanda banjir, Taman Negara Kuala Koh terpaksa ditutup selama setahun untuk proses membaik pulih infrastruktur sehingga mengalami kemerosotan bilangan pe­ngunjung.

“Kami menerima peruntukkan sebanyak RM2.04 juta bagi memulihkan se­gala kemudahan seperti chalet, jalan, jambatan dan bangunan yang terdapat di taman negara ini bagi keselesaan pengunjung,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohamad Khai­ri, Taman Negara Kuala koh telah kembali dibuka mulai Januari lalu dan bilangan pengunjung begitu menggalakkan sama ada dari dalam mahu pun luar negara.

“Tahun ini merupakan Tahun Melawat Kelantan dan Taman Negara Kuala Koh merupakan satu destinasi pelancongan utama yang dikenali umum.

“Pengunjung bukan sa­haja dapat meneroka ke­pelbagaian flora dan fauna tetapi pelbagai kegiatan lasak yang kita tawarkan di sini.

“Antara yang menarik tum­puan pengunjung ke Taman Negara Kuala Koh ialah di sini terdapat dua batang sungai iaitu Sungai Lebir dan Sungai Koh yang merupakan syurga ikan air tawar kepada para pemancing,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 23 Mei 2016 | Terbitan 24 Mei 2016

18 peniaga di Kelantan dikompaun kerana tidak patuh GST

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mengeluarkan kompaun sebanyak RM90,000 kepada 18 peniaga yang dikesan gagal mengeluarkan invois bercukai kepada pelanggan dalam Operasi Daftar dan Patuh GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) sejak awal Januari hingga hari ini.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Yusof berkata keingkaran itu wujud atas pelbagai faktor tetapi yang jelas peniaga terbabit dilihat mengaut keuntungan berlebihan dan cuba mengelak membayar cukai kepada kerajaan.

"Sejak awal Januari hingga hari ini, JKDM Kelantan sudah membuat pemeriksaan ke atas 48 premis perniagaan melalui Operasi Daftar dan Patuh GST, dan 18 daripadanya didapati tidak mengeluarkan invois bercukai," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata notis tawaran kompaun sudah dikeluarkan kepada peniaga terbabit kerana mereka tidak mematuhi Seksyen 33(2a) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 serta Seksyen 32(b) akta sama kerana mengeluarkan invois yang tidak mengandungi butiran yang ditetapkan.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga sebanyak 54 premis perniagaan berjaya didaftarkan sebagai Pendaftar GST termasuk secara sukarela dan mandatori.

Katanya tujuan operasi itu dijalankan adalah bagi meningkatkan jumlah pendaftar baharu GST di negeri ini selain memberi maklumat berkaitan keperluan menjadi pendaftar GST bagi peniaga yang layak dan wajib berdaftar.

"Operasi juga bertujuan meningkatkan kadar kepatuhan peniaga yang berdaftar dalam mengeluarkan invois bercukai kepada pelanggan.

Selain itu ia juga bagi mendidik peniaga supaya menyimpan rekod-rekod jualan dan belian untuk memudahkan pengikraran GST yang berkualiti," katanya.

Mohd Nasir berkata walaupun operasi itu berakhir 30 Jun depan, JKDM Kelantan akan terus memantau dari semasa ke semasa bagi memantapkan tahap kepatuhan dalam kalangan pendaftar GST.

Katanya orang ramai juga diingatkan supaya memberi kerjasama kepada JKDM untuk menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan ketidakpatuhan pendaftar kepada jabatan.

Sumber: Bernama | 24 Mei 2016

Isnin, 23 Mei 2016

POKB bantu kanak-kanak bibir sumbing di Kelantan

KUALA KRAI: Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) akan membantu 100 kanak-kanak yang menghadapi masalah bibir sumbing sejak lahir di negeri ini.

Presidennya Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata 100 kanak-kanak itu dari daerah Machang, Kuala Krai dan Dabong.

"Mereka akan dibantu mendapatkan pembedahan di Hospital Kuala Krai," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Khidmat Kasih Masyarakat Pembedahan Bibir Sumbing Fakulti Pergigian Universiti Malaya di Hospital Kuala Krai di sini, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Fauzi Che Mamat.

Ahmad Dusuki berkata Hospital Kuala Krai merupakan hospital pertama di Kelantan yang menjalin kerjasama dengan POKB bagi membantu mereka yang mengalami bibir sumbing.

"Setakat ini sudah lapan orang daripada 100 orang bibir sumbing sudah mendapat pembedahan di Hospital Kuala Krai," kata Ahmad Dusuki.

Bagi membolehkan inisiatif itu diperluaskan ke seluruh negeri ini dengan berkesan, beliau berkata POKB turut bekerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan Majlis Orang-Orang Besar Kelantan.

Katanya pesakit yang mahu mendapatkan rawatan melalui program tersebut boleh membuat permohonan melalui pegawai daerah masing-masing.

Sumber: Bernama | 23 Mei 2016

Rumah perlindungan untuk remaja hamil di Kelantan

TUMPAT: Rumah perlindungan untuk remaja hamil tanpa nikah akan mula beroperasi di sini Jun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata rumah 'Generasiku Sayang' akan dikendalikan kakitangan jabatan berkenaan.

"Kita mengalu-alukan sumbangan atau dana bagi membiayai kos harian dan penyelengaraan," katanya kepada pemberita pada pelancaran Program Generasiku Sayang di sini, Isnin.

Rumah itu, yang boleh menempatkan enam penghuni dan dua bayi pada sesuatu masa, dirasmikan isteri Tengku Temenggung Kelantan Tunku Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj selaku penaung program itu.

Ahmad Razin yang juga pengerusi program Generasiku Sayang berkata objektif khusus penubuhan rumah perlindungan itu adalah bagi memastikan remaja terbabit mendapat sebelum dan selepas bersalin dengan sebaik-baiknya.

Rumah itu, yang pertama kali diwujudkan di Kelantan, akan turut menyediakan rawatan sokongan psikososial selain bimbingan kerohanian terhadap remaja berkenaan.

"Sebagai masyarakat, kita perlu bimbing golongan ini bagi membolehkan mereka membina kembali jati diri dan bersedia untuk kembali kepada masyarakat," katanya.

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaporkan bilangan anak tidak sah taraf di Kelantan pada 2013 ialah seramai 450 orang dan meningkat kepada 524 orang pada 2015.

Sumber: Bernama | 23 Mei 2016

Nasib Rayani Air akan diketahui tidak lama lagi - Tiong Lai

KUALA LUMPUR: Laporan akhir mengenai Rayani Air telah disiapkan dan keputusan mengenai nasib syarikat penerbangan itu akan dibuat tidak lama lagi, kata Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menteri Pengangkutan berkata, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah menyediakan laporan berhubung inkuiri terhadap syarikat penerbangan patuh syariah itu baru-baru ini.

"Mereka telah mendengar jawapan-jawapan yang diberikan dan laporan akhir telah diberikan kepada saya.

"Kita akan buat keputusan muktamad mengenai Rayani Air tidak lama lagi. "Saya sedang tunggu tarikh untuk memutuskan (hasil) inkuiri," kata Liow pada sidang media, Isnin.

Pada 11 April lalu, Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air digantung selama tiga bulan selepas syarikat penerbangan itu menghentikan operasi sementara berikutan mogok yang dilancarkan juruterbangnya.

Dilaporkan operasi Rayani Air digantung berikutan ia didakwa melanggar Peraturan Penerbangan Awam 1966.

Sumber: mStar Online | 23 Mei 2016

Rindu masakan Malaysia di Bangkok? Singgah Restoran Ibu di Silom


Pemilik Restoran Ibu, Ahmad Shukri Mohamad Salim (tengah) bersama Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain (dua, kanan) pada majlis prapelancaran restoran itu baru-baru ini.
BANGKOK: Bagi mereka yang berkunjung ke kota Bangkok selepas ini, kerinduan terhadap juadah Malaysia seperti nasi lemak dan laksa bakal terubat dengan pembukaan Restoran Ibu di ibu negara Thailand itu.

Diusahakan bekas chef hotel lima bintang di Kuala Lumpur, Ahmad Shukri Mohamad Salim, pembukaan restoran tersebut katanya adalah untuk memenuhi permintaan tinggi terhadap juadah Malaysia di ibu kota itu.

Permintaan terhadap makanan Malaysia yang halal sememangnya tinggi daripada mereka yang berkunjung ke Bangkok serta yang tinggal di kota ini, ditambah pula ketiadaan restoran seumpama ini sejak beberapa tahun ini.

“Restoran Ibu menyajikan makanan yang menepati selera orang Malaysia seperti juadah itu dimasak sendiri oleh ibu mereka di rumah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ahmad Shukri berkata demikian pada majlis prapelancaran restoran itu yang terletak di kawasan tarikan pelancongan Silom dan turut dihadiri Duta Malaysia di Thailand Datuk Nazirah Hussain.

Restoran Ibu terletak di 761 Silom Road, Silom akan beroperasi secara rasmi mulai 27 Mei ini dari 11 pagi hingga 10 malam. Ahmad Shukri boleh dihubungi di talian 02-6350441.

Selain nasi lemak dan laksa, antara menu istimewa lain adalah nasi ayam panggang dan nasi ayam kukus, mee mamak, nasi goreng kampung, keropok lekor selain minuman popular rakyat Malaysia seperti teh tarik serta sirap bandung.

Restoran Ibu akan turut menyajikan beberapa juadah popular Thai, kata Ahmad Shukri. Sementara itu, Nazirah berkata Bangkok dan Thailand menyediakan peluang yang besar kepada mereka yang berminat membuka restoran berasaskan makanan Malaysia berikutan permintaan yang tinggi.

Selain menerima permintaan yang tinggi daripada pelancong Malaysia dan mereka yang menetap di Bangkok, juadah negara ini kata beliau, turut diminati warga Thailand.

“Penduduk Thailand amat meminati juadah Malaysia terutamanya nasi lemak, nasi ayam, laksa dan makanan Malaysia yang lain. Juadah yang disajikan Restoran Ibu memang mempunyai formula kejayaan,” katanya.

Sumber: Bernama | 23 Mei 2016