Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 30 Oktober 2017

Projek CSR pacu pembangunan ekonomi setempat

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff (kiri) meninjau projek CSR Mentara-Merapoh yang bakal disiapkan menjelang tahun 2019, hari ini.
GUA MUSANG: Projek Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) yang menelan belanja RM360 juta menghubungkan Gua Musang ke Merapoh, Pahang dapat membangunkan ekonomi penduduk setempat.

Pembinaan jalan baharu bagi fasa pertama sejauh lima kilometer itu membabitkan kos sebanyak RM130 juta bagi menghubungkan Kampung Mentara dan Merapoh.

Manakala, peruntukan tambahan sebanyak RM230 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2018 baru-baru ini adalah bagi meneruskan projek jalan dari Kampung Relong, Merapoh ke Gua Musang iaitu sejauh 20 kilometer.

Seorang penduduk Mentara Lama, Norafri Mohd. Nor, 39, berkata, projek itu dapat memendekkan waktu perjalanan penduduk yang tinggal di negeri Pahang dan Kelantan.

Katanya, CSR juga menyumbang kepada peningkatan bilangan penduduk apabila pelbagai manfaat bakal diperoleh khususnya dalam bidang pembangunan, ekonomi dan sosial.

“Kami begitu gembira dan tidak sabar mahu melihat jalan ini siap dan menggunakannya.

“Saya melihat pelaksanaan jajaran CSR yang melibatkan laluan sepanjang 20 kilometer bermula dari Gua Musang hingga ke Merapoh boleh diibaratkan seperti sebuah impian yang sudah lama kami mahukan,” katanya di sini hari ini.

Sumber: Utusan Online | Nasional | 30 Oktober 2017

Balai Cerap Kota Bharu adalah balai cerap pertama di Kelantan

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Dr. Noordin Ahmad mencuba salah satu teleskop sambil diperhatikan Presiden Persatuan Astronomi (Falak) Amatur negeri Kelantan, Dr Mahomarawi Omar di majlis penyerahan Projek Inovasi Sosial MOSTI (MSI) Balai Cerap Kota Bharu kepada Persatuan Astronomi (Falak) Amatur negeri Kelantan di Kampung Kubang Rawa, Salor di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dengan kerjasama Persatuan Astronomi (Falak) Amatur Kelantan membina balai cerap pertama di negeri ini termasuk kemudahan dua teleskop bernilai RM250,000.

Ketua Pengarah ANGKASA, Dr. Noordin Ahmad berkata, pembinaan fasiliti berserta kelengkapan teleskop di Kampung Kubang Rawa, Salor itu dilaksanakan di bawah Projek Inovasi Sosial (MSI) MOSTI bagi memupuk kesedaran dan minat masyarakat negeri ini kepada ilmu astronomi dan angkasa.

Beliau berkata, ini merupakan projek MSI ketiga sejak 2015 selepas pembinaan Balai Cerap Persatuan Sabah Stargazer di Papar, Sabah dan perkhidmatan Observatori Solar Atas Talian untuk masyarakat Orang Asli di Dengkil, Selangor.

“Objektif utama projek MSI adalah untuk mengembangkan ilmu sains dan teknologi termasuk astronomi yang merupakan bidang fokus negara dan diletakkan dalam kokurikulum di sekolah.

Balai Cerap Kota Bharu adalah balai cerap rasmi pertama di negeri ini dan kita harap ia akan memberi manfaat terutamanya kepada pelajar dan penggemar astronomi untuk datang dan mengambil maklum perkembangan terkini bidang ini.

“Balai cerap yang bersaiz 800 kaki persegi (74.5 meter persegi) ini dilengkapi dengan empat sistem teleskop; kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) yang disesuaikan untuk pengimejan astrofoto; ruang pencerapan dan pembelajaran,” katanya di majlis penyerahan projek MSI Balai Cerap Kota Bharu kepada Persatuan Astronomi (Falak) Amatur negeri Kelantan di sini hari ini.

Difahamkan balai cerap ini akan siap dibina sepenuhnya pada bulan depan dan dibuka kepada orang ramai Januari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Astronomi (Falak) Amatur Kelantan, Dr Mahomarawi Omar berkata, pihak persatuan memohon geran MSI MOSTI itu pada 2015 dan ia diluluskan pertengahan tahun lalu bagi pembinaan sebuah balai cerap di atas tanah miliknya di sini.

Mahorawi yang juga pakar bius di sebuah hospital swasta berkata, sebelum ini beliau telah membuka balai cerap mini di rumah lamanya di Kubang Kerian dan mendapat sambutan hangat peminat astronomi tempatan sehingga membawa kepada penubuhan persatuan.

“Sejak dahulu saya telah membelanjakan kira-kira RM500,000 termasuk 20 teleskop pelbagai saiz yang turut bakal digunakan di Balai Cerap Kota Bharu.

“Saya amat mengharapkan semua pihak mengambil peluang ini terutama para pendakwah kerana astronomi atau falak adalah sebahagian ilmu yang diasaskan ulama terdahulu,” katanya.

Sumber: Utusan Online | Nasional | 30 Oktober 2017

Pendidikan tinggi di Malaysia hampir percuma

KOTA BHARU: Pakatan pembangkang perlu berhenti mencanangkan kononnya mampu menawarkan pendidikan percuma kepada rakyat kerana perkhidmatan tersebut di negara ini, khususnya pendidikan tinggi sebenarnya sudah hampir percuma.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kerajaan menampung lebih 90 peratus yuran akademik semasa yang dikenakan di universiti awam, sekali gus menjadikan kos pendidikan tinggi di negara ini sebagai antara terendah di Asia.

Sebagai contoh katanya, yuran program pengajian perubatan sebelum subsidi adalah sebanyak RM289,885 namun selepas 91.41 peratus subsidi oleh kerajaan, pelajar hanya perlu membayar yuran sebanyak RM9,000 sahaja sepanjang tempoh pengajian

“Pakatan pembangkang pula asyik bercakap tentang mahu beri pendidikan percuma... sudah lama dia sebut benda ini. Cakap senang tapi nak melaksanakannya payah. Baik dia bercakap tentang perkara lebih praktikal.

Dulu mereka pernah laksanakan (pendidikan percuma) di Unisel, namun tidak berjaya sehingga Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terpaksa membantu mereka.

“Jadi kalau mereka kata nak beri pendidikan percuma, kita sebenarnya sudah hampir memberi pendidikan percuma dengan menanggung subsidi yuran pendidikan setiap pelajar lebih 90 peratus,” katanya selepas merasmikan bangunan baharu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawa­ngan Kelantan Kampus Kota Bharu dan Pelancaran Makmal Data Raya (Big Data Lab) Seluruh Sistem UiTM, di sini hari ini.

Sumber:Utusan Malaysia | Nasional | 29 Oktober 2017 | Terbitan 30 Oktober 2017

4 lokasi baharu MARA Digital dikenal pasti termasuk Kelantan

KUALA LUMPUR: Empat lagi lokasi baharu sudah dikenal pasti untuk meluaskan rangkaian pusat teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) Bumiputera, MARA Digital ke seluruh negara.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata pembukaan MARA Digital itu membabitkan Johor, Melaka, Terengganu dan Kelantan.

Beliau berkata, ketika ini kementerian sedang mengadakan rundingan bersama usahawan di negeri berkaitan untuk tindakan lanjut.

"Usaha melalui MARA Digital boleh dianggap buat masa sekarang adalah langkah awal bagi membantu usahawan Bumiputera dalam sektor teknologi maklumat.

"Ramai usahawan Bumiputera terbabit dalam ekonomi digital. Ia bukan sekadar bilangan, kita mahu tekankan kualiti, kepandaian dan inovasi usahawan berkenaan dalam bidang ICT.

"Hasrat kerajaan melalu Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam memperkasakan usahawan digital bukan hanya mahu wujudkan pusat gajet itu di 14 buah ibu negeri, tetapi juga ingin meluaskan di daerah-daerah," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong) berhubung jumlah peniaga serta jumlah transaksi perniagaan bagi MARA Digital sejak ditubuhkan pada penghujung tahun 2015.

Mengulas transaksi itu, Nanta berkata, sehingga kini terdapat empat buah MARA Digital yang sudah beroperasi.

Beliau berkata, cawangan pertama MARA Digital di Menara MARA, Kuala Lumpur, meraih jualan RM26 juta sejak dibuka 8 Disember 2015.

"Bagi MARA Digital di Anggerik Mall Shah Alam, cawangan kedua itu meraih nilai jualan sebanyak RM2.3 juta.

"MARA Digital yang terletak di Ipoh, Perak dan Kuantan, Pahang tiada sebarang rekod jualan kerana masing-masing baru sahaja dibuka pada 12 Oktober dan 29 Oktober 2017," katanya.


Manfaat di bawah MARA Digital:-

  • Penyediaan ruang niaga komprehensif dan strategik.
  • Kadar sewa berpatutan termasuk diberi tempoh 'bernafas' selama enam bulan.
  • Setiap usahawan diberi tempoh keusahawanan daripada pelbagai aspek.
  • Promosi berkala melalui pelbagai medium dan kerjasama.
  • Tawaran produk tulen pada harga berpatutan.
  • Kemudahan pembiayaan kepada usahawan yang memenuhi syarat. 

Sumber: Berita Harian Online | 30 Oktober 2017

Ahad, 29 Oktober 2017

Kelantan should optimise tourism allocation in 2018 Budget

JELI: Kelantan, which is still behind in tourism, should take advantage of the RM3.5 billion allocation for tourism in the 2018 Budget to develop the state's tourism industry.

Kelantan Federal Action Council chairman Datuk Seri Mustapa Mohamed said the state's tourism industry had potential to develop, but was hampered due to lack of international-standard facilities and new tourism products.

"The tourism sector is one economic branch that can provide fast and high returns that can help boost economy in the state, like in Sabah, Malacca and Penang," he said.

Mustapa, who is Minister of International Trade and Industry, told reporters this after launching a programme to Empower Members of the Health Clinic Advisory Panel and Kelantan Hospitals' Visitors Boards at the Jeli campus of Universiti Malaysia Kelantan, here today.

Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak, when tabling the 2018 Budget last Friday, said that the federal government was allocating RM3.5 billion to further boost the country's tourism industry.

"RM3.5 billion is a huge allocation. We want Kelantan to also take part in developing its tourism infrastructure, as well as new products to attract more tourists, especially for Visit Malaysia Year 2020," he said.

Meanwhile, Mustapa said about 1,000 members of the hospital visitors' board and panel of advisors for health clinics in the country would be mobilised to help explain government policies, especially concerning health, to the people.

"This includes the health subsidy provided by the federal government which many people do not know about," he added.

Source: Bernama | 29 October 2017

Kelantan to benefit from high-impact tourism, cross border trade and SME projects

KUALA LUMPUR: People in Kelantan will continue to benefit from the increased socio-economic opportunities in the state, following a number of high-impact public projects implemented by the East Coast Economic Region Development Council (ECERDC), particularly in tourism, cross-border trade and the small and medium enterprise (SME) sectors.

“The Federal Government through ECERDC has been working closely with the state government to implement various projects and human capital development programmes to spur the socio-economic growth in Kelantan.

“Private investments and ongoing developments in Kelantan have shown positive impact for the rakyat by creating more than 22,860 jobs and 6,360 entrepreneurial opportunities,” said ECERDC Chief Executive Officer Datuk Seri Jebasingam Issace John in a statement after the East Coast Economic Region (ECER) Implementation and Coordination Committee (ICC) Kelantan meeting here today.

The ICC meeting was chaired by Kelantan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

One of the key high-impact projects included the construction of the Plaza IMT-GT (Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle) in Bukit Bunga, expected to commence operations in November.

Strategically located along the borders of Rantau Panjang-Sungai Golok and Pengkalan Kubor-Tak Bai, the project was anticipated to further boost cross-border trade, tourism and commercial industrial development in the area.

The Plaza would provide close to 100 local entrepreneurs the opportunity to promote and market their products, including to foreign buyers, from neighbouring country, Thailand.

Meanwhile, Kampung Laut, a village in Sungai Kelantan, Tumpat, was set to undergo development as a “Kampung Warisan” beginning February 2018.

The effort, part of ECERDC’s overall strategy to boost and strengthen the tourism sector in the region, would open up greater entrepreneurial opportunities for the villagers, as more tourists are expected to visit the area in search for Kampung Laut’s unique handicraft and delicacies, such as wau, batik, serunding and dodol.

Expected to be fully completed by 2020, the project would benefit more than 30 entrepreneurs in the area.

Between 2007 and September 2017, Kelantan successfully secured RM12.7 billion in domestic and foreign investments, driven mainly by the manufacturing sector which contributed 56.8 per cent, followed by the logistics sector (16.5 per cent) and real estate (12.7 per cent).

Jebasingam said private investment was expected to grow further, leveraging on Kelantan’s potential as a regional halal hub.

The Pasir Mas Halal Park (PMHP), one of the key industrial parks established by ECERDC, has recorded encouraging response from investors with phase one fully taken up.

At present, work has already begun on phase two to accommodate growing demand.

PMHP was expected to attract RM611 million in private investment and create more than 4,200 job opportunities by 2020.

Among other completed projects included the Tok Bali Integrated Fisheries Park in Pasir Puteh, as well as, the Collection, Processing and Packaging Centre in Pengkalan Kubor — both of which are key in developing Kelantan as the hub for fish and marine-based activities.

Bumiputera entrepreneurs, who have contributed 36 per cent of the state’s total investments to date, were another key contributor to employment and entrepreneurial opportunities in Kelantan.

Between 2012 and September 2017, a total of 45 Bumiputera companies, worth RM4.6 billion, have received incentives from either ECERDC or TERAJU@ECER or both, which in turn would create 6,044 potential jobs.

Meanwhile, the Dana Mudahcara TERAJU@ECER approved RM87.3 million to 35 recipients in the state, involving investments of up to RM728.1 million, thus cementing the positive impact brought about by Bumiputera entrepreneurs to Kelantan’s economic growth.

“The Federal Government’s focus on enhancing connectivity is expected to boost investment opportunities in the state.

The East Coast Rail Link (ECRL), which has begun construction in Tunjong, will act as a game-changer to the socio-economic landscape of Kelantan as will it open up new growth centres, as well as, create new jobs and entrepreneurial opportunities for the locals,” he said.

This 600km project, connecting key industrial development areas including Tok Bali, Jelawat, Kota Bharu and Wakaf Bharu in Kelantan, would enhance market competitiveness for businesses and open more career opportunities for the people of Kelantan.

We are working towards reviewing our current strategy for the ECER including Kelantan which will be unveiled soon. We strongly believe Kelantan is well placed to further propel its socio-economic growth as the state is strategically positioned for cross-border trade, supported by the growing tourism, logistics and trade facilitation sectors,” Jebasingam added.

Source: Bernama | 29 October 2017

Program pembinaan rumah PPRT diteruskan di Kelantan - Ahmad Jazlan

MACHANG: Pembinaan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akan diteruskan di Kelantan kerana masih ramai rakyat kategori miskin tegar memerlukan kediaman yang selesa.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata kebanyakan golongan miskin tegar itu tinggal di kawasan pedalaman negeri ini.

"Ada di antara mereka telah diberi peruntukan membaiki rumah di antara RM10,000 dan RM13,000 tetapi rumah mereka masih lagi tidak boleh dibaiki.

"Berdasarkan keadaan itu, adalah lebih baik dibina rumah baharu di bawah program PPRT yang mengandungi tiga bilik dan bernilai RM40,000 sebuah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat Ilmu Mengubah Destini di Sekolah Menengah Kebangsaan Machang di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata kerajaan Persekutuan juga akan memberi tumpuan bagi melaksanakan projek-projek perumahan lain seperti Rumah Bina Negara agar lebih ramai rakyat Kelantan dapat keluar daripada garis kemiskinan tegar.

Ahmad Jazlan turut memberi jaminan bahawa Kelantan tidak akan dipinggirkan daripada projek-projek pembangunan di bawah kementerian itu selain Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memberi perhatian istimewa terhadap keperluan rakyat Kelantan yang mahukan projek pembangunan walaupun negeri itu ditadbir pembangkang.

Sumber: Bernama | 29 Oktober 2017

Makmal Data Raya UiTM perkasa proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan

Idris mengadakan sidang video dengan beberapa cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) selepas merasmikan Bangunan Baharu UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu dan Pelancaran Makmal Data Raya Seluruh Sistem UiTM di Lembah Sireh, Kota Bharu.
KOTA BHARU: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mewujudkankan Makmal Data Raya di kesemua 13 cawangannya di seluruh negara bagi memperkasa proses pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata makmal tersebut yang menggunakan teknologi terkini juga untuk menangani limpahan data berstruktur dan tidak berstruktur supaya analisis berskala besar dapat dilakukan dengan lebih sistematik.

"Dalam proses pengajaran dan pembelajaran khususnya keperluan memenuhi kursus-kursus yang melibatkan penggunaan Data Raya membolehkan pelajar dan pensyarah memanfaatkan Makmal Data Raya ini sepenuhnya ke arah melahirkan graduan berdaya saing pada peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu UiTM cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu dan pelancaran Makmal Data Raya seluruh sistem UiTM di sini, hari ini.

Makmal tersebut adalah inisiatif terkini Kementerian Pendidikan Tinggi bagi melahirkan pakar analitik data dalam memenuhi pasaran pekerjaan masa depan serta mempunyai bakat dan sumber yang mencukupi untuk membangunkan negara seiring dengan matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Idris berkata pembangunan makmal tersebut akan menjadikan sistem pendidikan tinggi di negara ini bergerak seiring dengan aspirasi negara untuk bersaing dengan negara luar dalam melahirkan pakar teknologi maklumat bertaraf global.

Beliau berkata UiTM menunjukkan keupayaan untuk melangkah jauh ke hadapan dengan membangunkan keperluan fizikal bagi menampung lebih ramai lagi anak bumiputera menimba ilmu dan teknologi terkini.

Dalam pada itu, beliau berkata bangunan baharu UiTM Kampus Kota Bharu di Lembah Sireh di sini, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan peralatan terkini bagi melonjakkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Kampus tersebut sebelum ini beroperasi lebih 10 tahun di Jalan Sultan Ibrahim di sini, menawarkan program sepenuh masa dan separuh masa untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Turut hadir Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Sumber: Bernama | 29 Oktober 2017

Mangsa ribut Dabong terima bantuan

Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman (tengah) bergambar bersama sebahagian daripada penerima pada Majlis Penyampaian Bantuan kepada mangsa-mangsa ribut bandar Dabong di sini hari ini.
KUALA KRAI: Seramai 56 penduduk di sekitar bandar Dabong dekat sini yang menjadi mangsa kejadian ribut dan hujan batu minggu lalu menerima bantuan kewangan hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman berkata, bantuan berkenaan bertujuan membantu meringankan beban yang dihadapi mangsa.

"Hari ini kita memperuntukkan lebih RM20,000 untuk bantuan kepada 56 mangsa ribut di sini.

"Minggu lalu, kita bersama warga Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan ( Kesedar) telah membantu membaikpulih rumah mangsa yang mengalami kerosakan bumbung dan atap," katanya selepas menyampaikan bantuan berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penerima, Ropeah Muhammad, 72, meluahkan rasa syukur di atas bantuan yang dihulurkan kepadanya.

"Kejadian ribut yang berlaku baru-baru ini telah memusnahkan atap rumah saya dan ia telah dibaiki.

"Walaupun tidak terlalu teruk, namun saya amat berterima kasih di atas keprihatinan yang diberikan oleh Datuk Ramzi dalam menghulurkan bantuan," katanya. 

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 29 Oktober 2017

Bajet 2018: Kelantan perlu rebut peluang

Datuk Seri Mustapa Mohamed merasmikan Program Memperkasa Panel Penasihat Klinik Kesihatan dan Ahli Lembaga Pelawat Hospital negeri Kelantan di Jeli hari ini.
JELI: Kelantan perlu merebut peluang daripada peruntukkan besar dalam Bajet 2018 berkaitan pelancongan untuk membangunkan sektor berkenaan di negeri ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM2 bilion untuk bantuan pinjaman mudah dan RM500 juta bagi membantu membangunkan infrastruktur serta penghasilan produk-produk pelancongan.


Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, bajet yang disifatkan cukup tinggi itu adalah bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia pada 2020.


“Kita harap Kelantan sebahagian daripada yang mendapat manfaat daripada peruntukkan ini.


Kita lihat Kelantan mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan ini namun tidak dibangunkan. Jadi kita perlu rebut peluang ini,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Memperkasakan Panel Penasihat Klinik Kesihatan dan Ahli Lembaga Pelawat Hospital negeri Kelantan di sini hari ini. 

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 29 Oktober 2017

UiTM Kelantan Kampus Kota Bharu lancar makmal data raya

Datuk Seri Idris Jusoh menandatangani plak sebagai simbolik perasmian bangunan baharu UiTM Kelantan Kampus Kota Bharu yang terletak di Lembah Sireh, hari ini.
KOTA BHARU: Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuka lembaran baharu dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan tinggi apabila melancarkan makmal data raya atau big data lab (BDL) melibatkan seluruh sistem universiti itu, hari ini.

Pelancaran BDL tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di UiTM Kelantan, Lembah Sireh, di sini.


Dalam majlis sama, beliau turut merasmikan bangunan baharu UiTM Kelantan Kampus Kota Bharu.


Idris dalam pada itu berkata, inisiatif UiTM mewujudkan BDL seiring dengan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi yang memberi fokus terhadap perkembangan Revolusi Industri 4.0.


“Tahniah kepada UiTM kerana memiliki produk baharu iaitu BDL dan sebuah kampus baharu.


“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita membangkitkan semula konsep pioneering spirit dalam kalangan warga UiTM, sekaligus mengembalikan kehebatan UiTM,” katanya.

Sumber: Utusan Online | Nasional | 29 Oktober 2017

Bajet 2018: Kelantan bertuah dapat perhatian Kerajaan Pusat

Mustapa Mohamed
JELI: Kelantan disifatkan cukup bertuah kerana sering kali diberikan perhatian oleh Kerajaan Pusat yang menyediakan peruntukkan cukup besar dalam melaksanakan pembangunan dan kemudahan di negeri ini.

Sehubungan itu, Pe­nge­rusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berharap stigma kononnya rakyat Kelantan dianaktirikan dan dizali­mi oleh kerajaan dapat dikikis selepas ini.

Katanya, perkara itu dapat dilihat dalam Bajet 2018 dan bajet-bajet terdahulu di mana Kelantan menjadi antara negeri paling ba­nyak menerima peruntukkan khususnya untuk program pembangunan.

‘‘Bajet tahun ini di­lihat yang terbaik dan dalam konteks Kelantan kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang terus memberi perhatian terhadap negeri ini.

‘‘Kelantan menikmati pel­bagai kemudahan infrastruktur seperti lebuh raya, kemudahan di kawasan luar bandar, naik taraf lapangan terbang, tebatan banjir dan pelbagai lagi.

‘‘Bagi rakyat Kelantan, kita bersyukur kerana tidak pernah dalam sejarah negara negeri ini diberi perhatian tertinggi dalam mana-mana bajet. Jadi berhentilah kita mendengar dakyah-dakyah, fitnah bahawa Kelantan didera,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM) peringkat negeri Kelantan di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1 di sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 28 Oktober 2017 | Terbitan 29 Oktober 2017

Machang jadi pusat pengedaran pertama koperasi di Kelantan

Mat Deris Jusoh (dua dari kiri) melawat Pasar raya Koza pada Majlis Perasmian DC Pemborongan dan Peruncitan Pasar Raya berkenaan di Jalan Kuang Hitam, di sini hari ini.
MACHANG: Pasar Raya Koperasi Keluarga Zubir Kelantan (Koza), di sini akan menjadi pusat pengedaran (DC) yang pertama di negeri ini di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Mat Deris Jusoh berkata, perkara itu sekali gus mewujudkan sistem jaringan pengedaran barang keperluan harian kepada semua koperasi di negeri ini selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Ini adalah DC yang pertama di kelantan dan sudah tentu banyak perancangan yang bakal dilakukan termasuk menjadikan koperasi-koperasi sedia ada sebagai sub DC.

“Pembukaan ini juga diharap dapat mengatasi masalah kos sara hidup yang tinggi memandangkan harga barangan yang dijual di sini adalah lebih kompetatif dan setanding dengan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian DC Pemborongan dan Peruncitan Pasaraya Koza di Jalan Kuang Hitam, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah SKM negeri, Amran Abd. Kadir. Mat Deris dalam pada itu memberitahu, setakat ini sebanyak 13,500 koperasi aktif di seluruh negara dengan 837 daripadany berada di Kelantan.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 28 Oktober 2017

Bajet 2018: Kikis stigma kerajaan anaktirikan Kelantan

Mustapa Mohamed bersalaman dengan Setapa Yusoff sempena majlis pelancaran PUGBM peringkat negeri Kelantan di Jeli hari ini.
JELI: Tumpuan yang diberikan terhadap Kelantan dalam Bajet 2018 dan bajet-bajet terdahulu diharap dapat mengikis stigma rakyat negeri ini kononnya kerajaan zalim dan menganaktirikan mereka.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tidak pernah di dalam sejarah, Kelantan diberikan perhatian dengan pelbagai kemudahan dan pembangunan dilaksanakan di negeri ini.

Katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, semua itu dapat dinikmati rakyat Kelantan ketika dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Bajet tahun ini dilihat yang terbaik dan dalam konteks Kelantan kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang terus memberi perhatian terhadap negeri ini.

Kelantan menikmati pelbagai kemudahan infrastruktur seperti lebuh raya, kemudahan di kawasan luar bandar, naik taraf lapangan terbang, tebatan banjir dan pelbagai lagi.

“Bagi rakyat Kelantan, kita bersyukur kerana tidak pernah dalam sejarah negara negeri ini diberi perhatian tertinggi dalam mana-mana bajet. Jadi berhentilah kita mendengar dakyah-dakyah, fitnah Kelantan didera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM) peringkat negeri Kelantan di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden PUGBM, Arshad Mukhtar dan Presiden PUGBM negeri, Setapa Yusoff. 

Sumber: Utusan Online | Nasional | 28 Oktober 2017

Bajet 2018: Bantu pesawah bukti kecaknaan kerajaan

KOTA BHARU: Bantuan Pesawah RM200 selama tiga bulan kepada petani menerusi Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam membuktikan kerajaan sentiasa cakna dan mengambil kira permasalahan rakyat.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, bantuan khas berkenaan adalah yang pertama kali diberikan kepada petani sementara menunggu hasil tuaian padi.

Menurutnya, kira-kira 8,700 petani yang berdaftar di bawah KADA bakal menikmati bantuan khas berkenaan.

"Bajet kali ini memang dikatakan ibu segala bajet. Buat pertama kali, setiap petani yang berdaftar akan mendapat bantuan sama seperti nelayan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mendengar keluhan rakyat. Dengan pengumuman ini juga, diharap tiada lagi tanah padi yang akan terbiar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kayuhan Santai di Kok Lanas melibatkan kira-kira 200 peserta yang menyertai kayuhan basikal sejauh 21 kilometer mengelilingi pekan Kok Lanas di sini malam tadi.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 28 Oktober 2017

Jangan ghairah sokong dasar kesemarataan - Ibrahim Ali

Dr. Ibrahim Ali (kiri) menyerahkan sumbangan beras kepada penduduk ketika melawat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, Pasir Mas.
PASIR MAS: Pemimpin Melayu pembangkang diingatkan supaya tidak terlalu ghairah menyokong dasar kesemarataan yang dibawa sesetengah pihak kerana ia bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia iaitu hak istimewa bumiputera.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, konsep tersebut boleh menghakis kepentingan orang Melayu dan bumiputera sekali gus menggugat kestabilan politik negara.

Menurutnya, kumpulan pemimpin Melayu tersebut perlu sedar, kesamarataan hak yang diperjuangkan mereka tidak jauh berbeza dengan dasar Malaysia-Malaysian yang dibawa DAP.

“Bila disebut dasar kesamarataan, bermakna tiada lagi keistimewaan kaum bumiputera seperti yang terkandung dalam Perlembagaan. Sedangkan perkara itu terkandung dalam perjanjian kontrak sosial sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program turun padang Perkasa dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, di sini hari ini.

Ibrahim dalam pada itu memberitahu, konsep kesamarataan hak tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana keadaan ekonomi bumiputera masih jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain. 

Sumber: Utusan Online | Politik | 27 Oktober 2017

SPNB bina 20,000 unit Rumah Mesra Felda

Pengerusi SPNB Mesra Sdn. Bhd., Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin (tengah), menyerahkan Surat Tawaran Perjanjian RMR1M kepada Hasnah Mustafa (dua dari kanan), di Batu 3 Jalan Kuala Krai, Kota Bharu.
KOTA BHARU: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membangunkan sebanyak 20,000 unit Rumah Mesra Felda di seluruh negara dalam tempoh empat tahun bermula tahun depan.

Pengerusi SPNB Mesra Sdn. Bhd., Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan membina sebanyak 5,000 unit pertama tahun depan.

“Rumah Mesra Felda merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah. Kami komited melaksanakan amanah diberikan kerajaan bagi memastikan rakyat memperoleh kebaikan daripada program ini,” katanya.

Beliau ditemui ketika melawat tapak kediaman seorang ibu tunggal, Asnah Mustafa, yang merupakan penerima projek Rumah Mesra Rakyat 1 Malaysia (RMR1M) di Wakaf Che Yeh, di sini hari ini.

Rumah asal milik Asnah, 50, musnah dalam kebakaran sekitar Julai lalu dan dia kini terpaksa menyewa bilik di sebuah inap desa berhampiran.

Ketika lawatan itu, Mohamed Hasnan turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 bagi meringankan beban Asnah yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Sumber: Utusan Online | Nasional | 27 Oktober 2017

Sabtu, 28 Oktober 2017

Yayasan Bank Rakyat komited tingkat pendidikan Orang Asli

GUA MUSANG: Yayasan Bank Rakyat komited dalam membantu meningkatkan tahap pendidikan masyarakat Orang Asli melalui pelbagai program anjuran yayasan tersebut.

Pengurus Pembangunan Program Yayasan Bank Rakyat, Mohd Mukhti Abd Rahman berkata bagi meningkatkan tahap pendidikan masyarakat itu pihaknya melaksanakan pelbagai program secara holistik bagi menarik minat murid orang Asli hadir ke sekolah.

"Program peningkatan pendidikan Orang Asli termasuk daripada 500 program sosial pihak kami yang dilaksanakan setiap tahun," katanya kepada Bernama pada Program Program Jalinan Mesra Martabatkan Murid Orang Asli Yayasan Bank Rakyat di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Brooke hari ini.

Mohd Mukhti berkata program jalinan mesra tersebut yang diadakan di sekolah yang terletak di kawasan pedalaman selama tiga hari bermula semalam itu turut melibatkan 15 orang sukarelawan univesiti tempatan.

"Melalui program tersebut, pihak kami mahu membawa pembelajaran yang menarik dan kreatif bagi menarik minat mereka (murid Orang Asli) yang bersesuaian dengan pembelajaran pada abad ke-21.

"Kita terapkan keadaan pembelajaran secara interatif di luar bilik darjah bagi membantu meningkatkan minat, pengetahuan, personaliti serta membuka minda mereka ke sekolah dan minat kepada pembelajaran," kata Mohd Mukhti.

Beliau berkata program seumpana itu adalah sokongan yayasan tersebut terhadap tugas Kementerian Pendidikan, sekolah dan guru memberikan pendedahan serta meningkatkan tahap pendidikan masyarakat Orang Asli.

"Kami akan adakan dua atau tiga program setiap tahun bersama mereka selain daripada program yang melibatkan ibu bapa mereka (orang Asli) supaya dapat kami memberikan penerangan berkaitan kepentingan pendidikan," katanya.

Guru Besar SK Pos Brooke, Norhayati Yusuf berkata program tersebut memberikan kesan yang positif kepada pihaknya dalam membentuk semangat 300 orang murid Orang Asli untuk ke sekolah.

"Walaupun ianya program jangka pendek namun saya melihat ianya sangat bagus kerana murid-murid di sini kurang berkeyakinan tinggi, rendah diri dan pemalu apabila berada dalam komuniti masyarakat lain selain ketika proses pembelajaran," katanya.

Beliau berharap kaedah yang diterapkan pada program ini dapat digunakan oleh 30 guru di sekolah tersebut untuk menarik minat pelajar ke sekolah.

Katanya tahap pendidikan di sekolah tersebut adalah 80 peratus manakala pencapaian akademik pada tahap sederhana.

Sumber: Bernama | 28 Oktober 2017

Pastikan pembangunan Tok Bali utamakan penduduk tempatan - Zawawi

PASIR PUTEH: Kerajaan Persekutuan perlu merancang lebih teliti agar penduduk di negeri ini tidak terpinggir dalam pembangunan kawasan perindustrian Tok Bali di sini yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 di Dewan Rakyat semalam.

Pengerusi Pembangunan Partanian Parlimen Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman berkata peluang perniagaan khususnya untuk peniaga kecil serta usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) perlu diwujudkan di kawasan yang lebih strategik.

"Saya percaya kawasan Tok Bali akan pesat membangun dalam tempoh beberapa tahun akan datang hasil daripada pelaksanaan pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Bertemu Pelanggan dan Bicara Kenaf anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di sini, hari ini.

Zawawi berkata pembangunan kawasan sekitar Tok Bali juga turut dirancakkan dengan projek pembangunan yang dilaksanakan melalui Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Beliau berkata pembinaan projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Pengkalan Kubor, Tumpat, yang turut melalui kawasan Tok Bali akan melonjakkan lagi pembangunan di kawasan berkenaan.

Sumber: Bernama | 28 Oktober 2017

KRT Kelantan dijenama semula, lebih pantas bantu masyarakat

PASIR PUTEH: Sebanyak 455 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dengan keanggotaan lebih 12,000 orang di seluruh Kelantan akan dijenamakan semula agar lebih pantas memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kelantan, Salasiah Hashim berkata setiap KRT akan diberi kuasa lebih besar dalam merancang dan melaksanakan aktiviti di kawasan masing-masing.

"Pemimpin di setiap KRT boleh mengisi cadangan program kegiatan mereka secara atas talian untuk mendapatkan kelulusan dan peruntukan bagi melaksanakan kegiatan tanpa perlu lagi datang ke jabatan," katanya kepada pemberita pada Pesta Etnik dan Kebudayaan Sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Daerah Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh di Sekolah Kebangsaan Bukit Abal di sini, hari ini.

Beliau berkata setiap KRT yang aktif akan diberi peruntukan tetap tahunan sebanyak RM6,000 bagi tujuan pengurusan termasuk membeli peralatan pejabat.

Mengenai persiapan menghadapi kemungkinan berlaku banjir di Kelantan, Salasiah berkata Skuad Uniti telah ditubuhkan di kesemua 10 jajahan di negeri itu bagi membantu masyarakat.

Katanya setiap Skuad Uniti mempunyai lebih 20 anggota yang dilatih khas untuk melakukan kerja-kerja menyelamatkan mangsa banjir dan pelbagai tugas lain di pusat pemindahan banjir.

Sumber: Bernama | 28 Oktober 2017

Jumaat, 27 Oktober 2017

CSR Gua Musang-Kg Relong rancakkan pertumbuhan ekonomi

KOTA BHARU: Langkah meneruskan pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) dari Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang dapat memendekkan waktu perjalanan selain merancakkan pertumbuhan ekonomi di jajaran terbabit.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Kelantan Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed berkata pertumbuhan ekonomi itu disokong menerusi kemudahan komunikasi yang bakal dibina sepanjang Lebuh Raya CSR.

"Bila ada jalan raya baharu, ia akan membolehkan lebih banyak pusat perniagaan dibina sekali gus menyumbang kepada peningkatkan bilangan penduduk di kawasan terbabit.

"Bagi jangka masa panjang pula, ia akan membantu pembangunan bandar-bandar kecil walaupun mungkin mengambil masa untuk direalisasikan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau mengulas peruntukan RM230 juta bagi meneruskan pembinaan Lebuh Raya CSR dengan jarak 390 kilometer yang menghubungkan Pahang dan Kelantan dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM55 juta bagi subsidi pengangkutan luar bandar bermula dari Gua Musang ke Tumpat.

Zulkifli berkata secara keseluruhannya bajet inklusif yang dibentangkan Perdana Menteri mencakupi keperluan semua lapisan masyarakat.

Sumber: Bernama | 27 Oktober 2017

Megat Nordin kembali ke rahmatullah

Megat Nordin cukup dikenali dalam industri dikir barat di Kelantan.
KOTA BHARU: Artis dikir barat terkenal negeri ini, Nordin Yusuf atau lebih dikenali sebagai Megat Nordin yang menghidap kanser hati tahap empat kembali ke rahmatullah di kediaman orang tuanya di Kampung Kenali, di sini pagi ini.

Allahyarham Megat Nordin, 55, yang turut menyambut ulang tahun kelahirannya hari ini, disahkan meninggal dunia pada pukul 11.50 pagi ini dipangkuan isterinya, Khoirunnisa Madiyoh, 48.

Menurut Khoirunnisa, arwah yang sebelum ini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini dibawa pulang ke rumah bapanya di Kampung Kenali petang semalam atas permintaannya sendiri.

“Malam tadi arwah mengadu sakit-sakit. Pagi ini selepas memandikan arwah, saya lihat dia kepenatan dan tidak lama kemudian arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenali selepas solat Jumaat.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan Megat Nordin yang juga peserta Kilauan Emas 2014 hanya mampu terlantar di rumahnya di Kampung Chepa Kedai Lalat, di sini akibat penyakit yang dihidapinya.
Sumber: Utusan Online | 27 October 2017

Rabu, 25 Oktober 2017

Kerajaan Kelantan sedia disiasat SPRM berhubung Pasar Siti Hajar

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan kenyataan Persatuan Peniaga Pasar Besar Pasir Puteh yang mendakwa berlakunya salah guna kuasa dan kronisme dalam pembahagian lot kedai di kompleks perniagaan baharu, Pasar Siti Hajar, di Pasir Puteh.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka terhadap mana-mana siasatan yang akan dilakukan oleh agensi berkenaan.

"Kita sentiasa terbuka daripada awal terhadap mana-mana siasatan yang akan dilakukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan (exco) di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata seramai 309 peniaga Pasar Besar Pasir Puteh bersetuju untuk berpindah ke pasar baharu berkenaan dalam masa terdekat.

Semalam, Persatuan Peniaga Pasar Besar Pasir Puteh membuat laporan kepada SPRM Kelantan bagi menyiasat dakwaan wujudnya salah guna kuasa dan kronisme dalam pembahagian lot kedai di kompleks perniagaan baharu itu.

Pengerusi persatuan itu Kamarzaman Che Ngah mendakwa pemilikan lot kedai itu agak meragukan dan menimbulkan isu kerana dipercayai melibatkan kakitangan atau saudara mara terdekat pihak berkuasa tempatan di jajahan tersebut.

Sumber: Bernama | 25 Oktober 2017

LKIM Kelantan tidak nafi wujud cubaan merasuah kakitangannya

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan tidak menafikan terdapat cubaan daripada pihak tertentu untuk merasuah warga kerjanya bagi mendapatkan 'layanan istimewa'.

Pengarahnya Azib Yaacob berkata pihak terbabit cuba memberi rasuah antaranya untuk mendapatkan maklumat berkaitan tender, peralatan dan subsidi namun tidak diendahkan oleh kakitangannya.

"LKIM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam segala tugasan dan setakat ini tiada kakitangan yang terbabit dengan rasuah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) LKIM di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan di sini, hari ini.

Majlis tersebut disaksikan oleh Timbalan Pengarah SPRM Kelantan, Rostam Abu Hassan.

Azib berkata LKIM berharap melalui ikrar yang dilafazkan itu akan meningkatkan lagi semangat untuk membanteras perlakuan rasuah.

Beliau berkata LKIM mempunyai unit integriti dalam mengawal proses kerja dan melahirkan kakitangan yang berintegriti tinggi,

Sumber: Bernama | 25 Oktober 2017

Persatuan Peniaga Pasar Besar Pasir Puteh buat laporan SPRM dakwa wujud salah guna kuasa PBT

KOTA BHARU: Persatuan Peniaga Pasar Besar Pasir Puteh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan bagi menyiasat dakwaan wujud salah guna kuasa dan kronisme dalam pembahagian lot kedai di kompleks perniagaan baharu, Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh.

Pengerusi persatuan itu, Kamarzaman Che Ngah mendakwa pemilikan lot kedai agak meragukan dan menimbulkan isu kerana dipercayai melibatkan kakitangan atau saudara mara terdekat pihak berkuasa tempatan di jajahan tersebut.

"Sepatutnya pihak berkenaan mengutamakan peniaga asal di Pasar Besar Pasir Puteh (pasar lama) yang dipindahkan ke Pasar Siti Hajar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata persatuan itu juga mahu SPRM menyiasat kos pembinaan pasar baharu berkenaan sebanyak RM6.1 juta termasuk RM2.3 juta kos pengubahsuaian.

Katanya ruang niaga yang diberikan sekarang lebih kecil berbanding dengan pasar lama sehingga menyukarkan peniaga meletakkan barangan jualan.

Sumber: Bernama | 24 Oktober 2017

AADK Pasir Puteh dekati murid sekolah

Mohamed Farid Jamalasmadi menerangkan tentang bahaya dan kesan buruk penagihan dadah kepada murid-murid dalam Program Pencegahan Dadah di SK Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan, semalam.
PASIR PUTEH: Lebih 800 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku, di sini diberi pendedahan mengenai pelbagai ancaman yang boleh dicetuskan oleh masalah penyalahgunaan dadah menerusi Program Pencegahan Dadah anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Puteh, hari ini.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Cherang Ruku, Suhana Yusof berkata, pendedahan me­ngenai pelbagai jenis dadah dan kesan buruk penagihannya menerusi kaedah tayangan gambar berjaya menimbulkan kesedaran dalam kalangan murid-murid.

“Penerangan berkaitan dadah disampaikan dengan terperinci termasuk sesi soal jawab memberi lebih pemahaman kepada murid-murid. Ini usaha kita dalam memastikan mereka menjauhi dadah.

“Kesedaran ini akan menjadi benteng kepada mereka untuk tidak mencuba atau terpengaruh dengan ajakan rakan sebaya untuk mencuba dadah,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Program tersebut dikendalikan Pegawai AADK Pasir Puteh, Mohamed Farid Jamalasmadi.

Dalam pada itu, Suhana berkata, berdasarkan situasi terkini, masih ramai ibu bapa yang tidak mengenali jenis-jenis dadah sehingga gagal mengesan pengli­batan anak dengan gejala buruk berkenaan di peringkat awal.

“Mereka menganggap pil yang lazimnya berwarna merah dan pink sebagai tablet ubatan atau vitamin sedangkan ia adalah dadah perangsang untuk melepaskan gian ketagihan.

“Oleh sebab itu, usaha AADK mengedarkan pamplet berkaitan jenis-jenis dadah untuk murid-murid membawanya pulang ke rumah masing-masing adalah tepat supaya ibu bapa mereka juga diberi kefahaman betul berkaitan dadah,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Pendidikan | 24 Oktober 2017 | Terbitan 25 Oktober 2017