Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 31 Ogos 2016

40 pelancong Singapura sertai Program Pelancongan Korban di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Program Pelancongan Korban anjuran kerajaan negeri pada tahun ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 40 pelancong Singapura, kata Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata kunjungan pelancong Singapura itu ke negeri ini bagi menyertai program itu adalah rentetan daripada promosi 'Beautiful Terengganu' yang diadakan pada 11 hingga 14 Ogos lalu di republik itu.

"Alhamdulillah, melalui kempen yang diadakan dalam waktu yang begitu singkat ini kita berjaya menarik 40 orang pelancong untuk datang menyertai ibadah korban di negeri ini ... mereka akan datang pada 10 Sept ini (susulan Aidiladha dijangka disambut pada 12 Sept) dan kita akan korbankan enam ekor lembu.

"Program ini juga adalah hasil kerjasama pelbagai pihak seperti Hotel Permai dan Homestay Teluk Ketapang," katanya pada sidang media selepas program sambutan Hari Kebangsaan 2016 peringkat negeri, di sini Rabu.

Turut berkenan berangkat ke majlis tersebut Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan kekanda baginda Tengku Nadhirah Zahrah.

Ahmad Razif berkata pihaknya juga sedang dalam perbincangan dengan sebuah pasaraya terkemuka di Singapura iaitu Big Box untuk memasarkan produk Terengganu di Singapura dan cawangannya di Indonesia.

Bersempena perarakan tersebut, Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin dinobatkan sebagai johan keseluruhan kontinjen perarakan dan membawa pulang RM5,000 berserta piala pusingan.

Kontinjen sekolah tersebut yang berjaya mengatasi 159 kontinjen lain turut dinobatkan sebagai johan bagi kategori Pasukan Sekolah Menengah Tidak Beruniform dengan membawa pulang RM4,000 berserta piala pusingan.

Sementara itu, ketua kontinjen terbaik menjadi milik ketua kontinjen Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu yang membawa pulang wang tunai RM500 berserta piala.

Seramai 5,236 peserta menyertai perarakan sejauh tiga kilometer yang bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ke Dataran Batu Burok.

Sumber: Bernama | 31 Ogos 2016

Kelantan isytihar cuti peristiwa 11 Sept ini

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengisytiharkan cuti peristiwa pada 11 September ini yang bersamaan 9 Zulhijjah, sempena Hari Wukuf.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata ia bertujuan memberi peluang kepada umat Islam di negeri ini berpuasa sunat dan melakukan persiapan menyambut Aidiladha.

"Kita jangka Aidiladha pada Isnin dan Selasa manakala Ahad Hari Wukuf," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Ahad (11 Sept) diisytiharkan sebagai cuti peristiwa.

Sumber: Bernama | 30 Ogos 2016

Pusat Intelek Pelajar Orang Asli akan ditambah termasuk Kelantan bagi Zon Timur

JELI: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bercadang mewujudkan Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA) di tiga zon di Semenanjung Malaysia bagi meningkatkan tahap pendidikan masyarakat berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pusat berkenaan diwujudkan di Kelantan bagi Zon Timur, Johor (Zon Selatan) dan Perak (Zon Utara).

"Ketiga-tiga negeri ini, pihak kami mengenal pasti antara negeri yang mempunyai jumlah masyarakat Orang Asli yang ramai di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kebudayaan Orang Asli dan Muzium Orang Asli di Dataran Muzium Orang Asli Jeli, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Setakat ini, PIPOA hanya terdapat di Rompin, Pahang yang menempatkan pelajar cemerlang msyarakat berkenaan dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Ismail Sabri berkata PIPOA adalah antara transfomasi pembangunan pendidikan negara bagi memajukan pendidikan masyarakat Orang Asli di negara ini.

"Kami yakin dengan adanya pusat berkenaan, pendidikan Orang Asli dapat di majukan lagi dan sekali gus dapat mengurangkan kadar keciciran pendidikan dalam kalangan anak-anak masyarakat berkenaan," katanya.

Beliau juga berkata sejak program penghantaran pelajar Orang Asli melanjutkan pelajaran ke luar negara diperkenalkan pada 2010, kini sudah 72 orang dihantar ke luar negara bagi tujuan itu.

"Pada tahun ini, kita sudah menghantar 18 orang pelajar ke luar negara bagi menyambung pendidikan mereka dalam pelbagai bidang di peringkat ijazah dan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata kementeriannya juga memberi tumpuan membangunkan sektor ekonomi dan pemilikan tanah untuk manfaat masyarakat berkenaan.

Sumber: Bernama | 29 Ogos 2016

Selasa, 30 Ogos 2016

MDM perkenal sistem tukar barangan yang boleh dikitar semula dengan telur mulai Oktober ini

Mohd Zainudin (kiri) melancarkan Skuad Cakna Kebersihan dan gotong-royong perdana.
MACHANG: Majlis Daerah Machang (MDM) membelanjakan lebih RM300,000 setahun bagi tujuan pengurusan sampah dengan berat purata 100 tan metrik sehari.

Yang Dipertua MDM, Mohd Zainudin Mohamed berkata, pihaknya memandang serius soal kebersihan di jajahan ini dengan melaksanakan pelbagai pendekatan termasuk menubuhkan Skuad Cakna Kebersihan dan memperkenalkan sistem barter.

Katanya, kos dan jumlah sampah boleh dikurangkan jika semua pihak main peranan bagi sama-sama menjaga kebersihan dan tidak meletakkan tanggungjawab tersebut kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata.

“MDM telah melantik Skuad Cakna Bersih yang terdiri daripada 100 belia sebagai mata dan telinga untuk menyalurkan apa saja maklumat berkaitan kebersihan kepada pihak PBT.

“Dalam masa sama, kita juga memperkenalkan sistem tukar dalam usaha menggalakkan orang ramai melaksanakan kitar semula barangan terpakai.

"Barangan yang dikitar semula akan ditukar dengan telur bermula Oktober ini,” katanya selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada Skuad Cakna Bersih dan merasmikan Program Gotong-Royong Perdana di sini, kelmarin.

Gotong-royong tersebut membabitkan kerjasama 30 agensi kerajaan dan swasta dengan lebih 100 peserta bersama-sama membersihkan Pasar Machang dan kawasan sekitar. Hadir sama, Pengerusi Kebersihan, Shaikhuddin Safie.

Mohd Zainudin berkata, selain kempen menjaga kebersihan, pihaknya turut mengeluarkan 40 kompaun atas pelbagai kesalahan berkaitan sampah dalam usaha menguatkuasakan penjagaan kebersihan.

Katanya, kompaun tersebut membabitkan pelbagai kesalahan yang mana melibatkan pelbagai pihak terutama peniaga yang membuang sampah pukal secara haram.

Tambahnya, penguatkuasaan serius akan dilaksanakan tahun depan dan pihaknya tidak teragak-agak mendakwa pesalah di mahkamah.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 30 Ogos 2016

Kelantan anjur pertandingan bina badan tutup aurat

Peserta 'Pertandingan Badan Cantik Mr Awang Selamat Kelantan 2016' wajib berseluar panjang melebihi paras lutut dan bahagian pusat perlu ditutup dengan kain ala pakaian pendekar Awang Selamat.
 
Foto kredit: FB Dato’ Abdul Fattah Mahmood – Official
PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan menerusi Urusetia Belia dan Sukan Negeri (U-BeS) julung kali menganjurkan pertandingan bina badan tutup aurat yang disertai 80 atlet, pada Sabtu lalu.

Berbanding peserta yang biasanya beraksi dengan seluar pendek segi tiga di pentas, peserta ‘Pertandingan Badan Cantik Mr Awang Selamat Kelantan 2016’ wajib berseluar panjang melebihi paras lutut dan bahagian pusat ditutup dengan kain.

Islam menetapkan beberapa garis panduan dalam cara berpakaian, termasuk menutup aurat di mana golongan lelaki perlu menutup aurat daripada pusat ke lutut, manakala wanita pula hanya dibenarkan mendedahkan muka dan dua tapak tangan.

Ini juga adalah pertandingan bina badan pertama yang diadakan di Kelantan dalam tempoh lima tahun ini, susulan pengharaman anjuran pertandingan itu oleh kerajaan negeri sejak sekian lama.

Kali terakhir pertandingan bina badan diadakan di negeri itu ialah 2011, namun ia terpaksa dihentikan kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan kerajaan negeri.

Exco negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang dipetik Sin Chew Daily berkata, ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan menghentikan pertandingan bina badan lima tahun lalu.

Adun Bukit Panau itu berkata, kerajaan negeri dan kumpulan atlet bina badan terus mengadakan rundingan berhubung isu tutup aurat itu dan akhirnya mencapai situasi menang-menang.

“Akhirnya, kami menganjurkan perhimpunan bina badan secara kecil-kecilan tahun ini. Kali ini barulah dianjurkan pertandingan secara rasmi.

“Ini adalah titik perubahan sangat baik, saya percaya masa depan akan menjadi lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan pertandingan berkenaan di sebuah hotel, petang kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan itu turut memuat naik gambar pertandingan itu di Facebooknya dan memaklumkan pemarkahan hanya mengambil kira bahagian atas badan peserta dan tidak membabitkan kecantikan di paha, betis dan kaki.

Pertandingan itu dimenangi Zulkifli Ghani dari Pasir Mas yang juga ahli Merak Newfort Tuff.

Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud melalui Facebooknya berkata, Mr Awang Selamat adalah jolokan baharu dalam sukan bina badan patuh syariah di Kelantan dan pertandingan itu adalah satu daripada produk pelancongan sempena Tahun Melawat Kelantan 2016.

“Cara berpakaian mestilah menutup aurat dengan seluar di bawah lutut dan pusat yang ditutup dengan kain ala pakaian pendekar Awang Selamat yang perkasa suatu ketika dahulu.

“Pertandingan buat pertama kali ini diberi pujian oleh ketua juri yang didatangkan khas daripada Persekutuan Bina Badan Malaysia, Leftenan Komander (Bersara) Kamaruzaman Kadir,” tulisnya dalam laman media sosial itu, Sabtu lalu.

Beliau berkata, Kamaruzaman berharap pertandingan itu akan diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
 
Sumber: Free Malaysia Today | www.freemalaysiatoday.com | 29 Ogos 2016

Pembinaan Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai tidak guna dana negeri

TUGU Peringatan Banjir Kuala Krai (TPBKK) telah dirasmikan oleh YAB Ustaz Datuk Menteri Besar Kelantan pada tanggal 25 Zulkaedah 1437 bersamaan 28 Ogos 2016 pada jam 12.00 tengah hari di Tapak Monumen Banjir, berhadapan Stesen Caltex Guchil, Kuala Krai.

Pembinaan TPBKK ini selain ianya menjadi mercu tanda bagi mengenangkan sejarah terjadinya bah kuning, ia juga suatu manifestasi ucapan terima kasih kepada semua agensi, NGO, badan korporat, mahupun orang perseorangan yang telah membantu mangsa bah kuning.

Semua kos pembinaan TPBKK sebanyak RM60,000 telah dibiayai sepenuhnya oleh Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (Pejuta). Seterusnya Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) dan Majlis Daerah Kuala Krai menjadi pelaksana bagi pembinaan TPBKK tersebut.

Pembinaan TPBKK langsung tidak menggunakan dana daripada kerajaan negeri sebagaimana dakwaan yang tidak berasas dan mengelirukan rakyat yang disebar melalui media sosial. Kos yang disebar juga adalah tidak benar di samping tohmahan berat kepada pemimpin kerajaan negeri hasil pembinaan TPBKK tersebut.

Mohd Asri Mat Daud
Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan
Tarikh: 29 Ogos 2016

Ahad, 28 Ogos 2016

Menteri Besar Kelantan rasmi Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai

Ahmad merasmikan Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai, pagi tadi.
KUALA KRAI: Kerajaan Negeri Kelantan membina Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai untuk memperingati bencana banjir Disember 2014 yang meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa serta memusnahkan harta benda sebahagian besar penduduk.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pembinaan tugu ini juga sebagai penghargaan kepada semua pihak yang telah berkerjasama membantu mangsa banjir dari daerah ini.

"Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai dibina dengan elemen yang mempunyai maksud tersendiri.

"Pembinaan tugu ini bukan sahaja sebagai tanda peringatan terhadap banjir besar melanda daerah ini ,tetapi bakal menjadi satu lagi produk pelancongan ke Kuala Krai,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai, pagi tadi.

Ahmad berkata,pelancong yang datang ke Kuala Krai berpeluang menyelami kehidupan dilalui mangsa.

Tugu ini merupakan yang kedua selepas Tugu Peringatan Jalan Raya Kuala Krai - Gua Musang yang terletak bersebelahan Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 28 Ogos 2016

Pemuda UMNO Johor Bahru gesa selaraskan cuti hujung minggu di negeri Johor

Syaiful Rizal Abd Ghani
JOHOR BAHRU: Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru hari ini memohon kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Mohamed Khaled Nordin untuk mengkaji penyelarasan cuti hujung minggu bagi sektor awam dan swasta di negeri ini.

Ketuanya, Syaiful Rizal Abd Ghani berkata, kajian penyelarasan ini penting memandangkan banyak keluhan dan rungutan dari golongan muda khususnya ibu bapa yang berkerja di sektor swasta.

Menurutnya, adalah niat murni DYMM Sultan Johor untuk menghidupkan syiar hari Jumaat selaras dengan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Pelaksanaan cuti hari Jumaat yang tidak diselaraskan ini telah merampas sebahagian masa yang sangat berharga bagi rakyat untuk bersama-sama dengan keluarga dan hanya mereka yang berkhidmat dengan kerajaan sahaja yang tidak terjejas.

"Golongan yang terjejas ini ialah kedua ibu bapa yang bekerja dengan syarikat swasta serta ibu yang bekerja di syarikat swasta dan bapa yang berkerja dengan kerajaan atau sebaliknya,” katanya.

Katanya, kesan dari cuti yang tidak selaras ini mengakibatkan anak-anak bersendirian di rumah jika kedua-dua ibu bapa berkerja pada hari Jumaat.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Johor | 27 Ogos 2016

Empat negeri jadi perintis buka kaunter serahan pembaharuan pasport secara dalam talian

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen memilih empat negeri dan dua Pusat Transformasi Bandar (UTC) sebagai perintis membuka kaunter serahan pembaharuan pasport bagi pembaharuan pasport yang dipohon menerusi sistem dalam talian, MyOnline Pasport, mulai 1 Sept depan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata urusan serahan pasport itu melibatkan pejabat-pejabat Imigresen di Pahang, Sarawak, Pulau Pinang dan Putrajaya manakala dua UTC melibatkan UTC Pudu Sentral dan UTC Johor di Galleria@Kotaraya, di sini.

"Permohonan pembaharuan pasport secara dalam talian itu boleh dilakukan di mana-mana termasuk menggunakan telefon bimbit dan tanpa mengira masa.

"Para pemohon turut dibenarkan memilih kaunter serahan pasport di empat negeri terlibat, sebagai contoh, permohonan secara dalam talian dibuat di Johor dan kemudian ingin mengambilnya (pasport) di kaunter serahan Jabatan Imigresen di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas melawat Jabatan Imigresen Johor di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Setia Tropika, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya permohonan pembaharuan pasport secara dalam talian dan kemudian mengutipnya di kaunter di empat negeri serta dua UTC terbabit dapat mengatasi masalah kesesakan di pejabat-pejabat Imigresen.

Mustafar berkata dua UTC terbabit dijadikan perintis berikutan merupakan lokasi tumpuan ramai dan sekiranya berjalan lancar, maka, Jabatan Imigresen akan memperluaskan kaunter serahan terbabit ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat.

Katanya MyOnline Pasport diperkenalkan bagi membolehkan orang ramai memilih untuk membuat permohonan pembaharuan pasport secara dalam talian dengan memasukkan butiran dan ukuran gambar diminta sebelum membuat pembayaran menerusi debit atau kredit kad untuk mengambil pasport di kaunter serahan.

"Jabatan Imigresen, bagaimanapun, tetap meniktikberatkan aspek tertentu terutama dari segi keselamatan termasuk kawalan kualiti selain mewajibkan pemohon sahaja yang boleh datang mengambil pasport mereka," katanya.

Sumber: Bernama | 28 Ogos 2016

Lulusan UMK digesa teroka peluang perniagaan di negara ASEAN

BACHOK: Lulusan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) digesa menerokai peluang perniagaan di luar negara khususnya di negara anggota ASEAN.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata negara ASEAN terutama Kemboja, Myanmar, Singapura dan Filipina mempunyai peluang perniagaan yang besar seperti dalam bidang perhotelan.

"Pada tahun 2015, kerajaan sudah isytiharkan negara-negara ASEAN sebagai satu komuniti untuk menjalin perdagangan yang lebih rapat dalam kalangan negara anggota," katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi pendaftaran pelajar baharu bersempena Minggu Mesra Mahasiswa Sesi 2016 di Kampus UMK Bachok, di sini, hari ini.

Seramai 2,430 pelajar dari seluruh negara ditawarkan untuk mengikuti 23 bidang pengajian di UMK. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Naib Canselor UMK Datuk Dr Mortaza Mohamed.

Mustapa yang juga Menteri Mentor UMK berkata siswazah tidak seharusnya hanya melihat peluang perniagaan dalam negara atau mengharapkan bekerja dengan kerajaan.

"Mereka mesti merebut peluang itu sesuai dengan teras penubuhan UMK sebagai sebuah universiti berasaskan keusahawanan kerana peluang pekerjaan dalam sektor awam kini sangat terhad," katanya.

Mustapa berkata kementeriannya sedang mengadakan promosi untuk menarik minat rakyat negara ini menerokai peluang perniagaan yang terbentang luas di negara jiran.

"Pada 4 September ini, kita (kementerian) adakan promosi perdagangan di Bangkok (Thailand) dan hujung Oktober pula satu promosi penerangan peluang perniagaan akan diadakan di sempadan Malaysia dan Thailand," katanya.

Sumber: Bernama | 28 Ogos 2016

MCPF minta kerajaan kaji keberkesanan program tangani dadah


KOTA BHARU: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyarankan kerajaan supaya mengkaji sejauh mana keberkesanan program yang dilaksanakan bagi memerangi dadah.

Naib Pengerusi Kanan I MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata berdasarkan keadaan ancaman dadah sekarang ini, dilihat negara belum dapat memenangi 'peperangan' melawan dadah.

Sejak tahun 80-an, Malaysia sudah terlibat dalam usaha memerangi dadah apabila kerajaan mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kem Remaja Sihat dan Sejahtera di Institut Perguruan Kota Bharu di sini, hari ini.

Lee berkata undang-undang berkaitan dadah juga perlu dikaji semula agar pelaksanaannya lebih efektif.

"MCPF memang banyak terbabit dalam membantu kerajaan termasuk mendidik dalam aspek pencegahan tetapi melihat tahap penglibatan masyarakat pada umumnya belum mencapai tahap memuaskan.

"Kita dapati semua gejala sosial yang berlaku sekarang adalah berpunca daripada dadah dan ia perlu dibanteras habis-habisan," katanya.

Beliau berkata pendekatan yang lebih 'segar' diperlukan dalam aspek pencegahan, pemulihan, penguatkuasaan dan kerjasama antarabangsa sekiranya mahu menghapuskan dadah.

Beliau turut meminta ibu bapa bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya mengetahui anak mereka terlibat dengan dadah supaya dapat dipulihkan.

Pada program itu, seramai 50 pelajar dari lima sekolah sekitar daerah Kota Baharu dikategorikan sebagai "atas pagar" bagi masalah disiplin menyertai kem berkenaan dengan harapan mereka dapat mengubah hala tuju hidup supaya menjadi insan yang berkualiti pada masa depan. 

Sumber: Bernama | 28 Ogos 2016

UMK perkasa kerjasama pendidikan dengan sektor korporat

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sedang memperkasakan kerjasama pendidikan dengan sektor korporat bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang memenuhi kehendak pasaran.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata kerjasama tersebut akan memberikan pendidikan yang menyeluruh kepada pelajar dalam bidang keusahawanan.

"Mereka (syarikat korporat) mempunyai kaedah pembelajaran tertentu bagi membantu meningkatkan kualiti para graduan untuk menembusi sektor pekerjaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang UMK di sini, hari ini.

Hamad Kama Piah berkata hanya lima peratus daripada 1,062 graduan UMK pada tahun lepas, masih belum mendapat tempat dalam sektor pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

"Ia (statistik) satu perkembangan yang baik dan menjadi rangsangan kepada kami bagi melahirkan pelajar yang boleh memberikan manfaat kepada masyarakat dalam apa jua pekerjaan sama ada menjadi usahawan atau perkhidmatan lain," katanya.

Beliau mahu pelajar memahami secara menyeluruh ciri-ciri keusahawanan yang diterapkan semasa di universiti kerana ia penting untuk mereka menceburi bidang keusahawanan atau sektor pekerjaan lain.

UMK sentiasa mengkaji kaedah pembelajaran agar ia bersesuaian dengan kehendak pasaran semasa, kata Hamad Kama Piah.

"Kami mahu menekankan pembelajaran yang peka dengan perubahan semasa kerana industri akan berubah dari semasa ke semasa," katanya.

Pada majlis itu, seramai 97 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Gemilang Universiti (54 orang), Anugerah Khas Naib Canselor (seorang), Anugerah Khas Cuti Belajar (seorang) dan Anugerah Jasa Bakti (empat orang).

Turut hadir Naib Canselor UMK Profesor Datuk Dr Mortaza Mohamed.

Sumber: Bernama | 28 Ogos 2016

Jajaran baharu landasan kereta api ke Pantai Timur akan dibina

Tiong Lai (tiga kiri) bergambar selepas merasmikan Karnival Bentong di Dataran Bentong di sini, hari ini.
BENTONG: Pembinaan landasan kereta api Pantai Timur dari Kuala Lumpur ke Kuantan bakal menggembirakan ramai masyarakat terutamanya mereka yang menetap di Pantai Timur apabila proses kajian pembinaan landasan berkenaan berada pada peringkat akhir yang melibatkan perincian khusus mengenai kos pembinaan dan kesan ekonomi kepada penduduk setempat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pada masa ini pihaknya telah mendapat pandangan daripada perunding-perunding yang terlibat dan masih menunggu kajian mengenai sokongan kewangan laluan sepanjang lebih 200 kilometer itu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kos pembinaan daripada Kuala Lumpur ke Bentong adalah lebih tinggi memandangkan perlunya pembinaan terowong laluan di kawasan Genting berbanding dari Bentong ke Kuantan yang hanya melalui laluan rata.

"Saya yakin landasan kereta api ini cukup penting bagi pembangunan Pantai Timur yang mana kalau dahulu Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein telah membina Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Pantai Timur melalui Lebuh Raya Pantai Timur.

"Sekarang saya merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ini adalah satu lagi projek yang cukup penting iaitu landasan kereta api untuk menghubungkan Kuala Lumpur dengan Pantai Timur," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Karnival Bentong di Dataran Bentong di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MCA negeri Pahang, Senator Datuk Hoh Khai Mun; Pegawai Daerah Bentong, Datuk Azhar Arshad dan Yang Dipertua Majlis Daerah Bentong, Muhammad Shahid Ismail.

Tiong Lai berkata, pembinaan laluan berkenaan akan melalui bandar-bandar utama di Pantai Timur termasuklah Bentong dan Mentakab sehingga ke Pelabuhan Kuantan.

Menurutnya, pembinaan landasan kereta api baharu itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang lebih pesat kepada negeri Pahang dan kawasan berhampiran khususnya.

"Pembinaan kereta api berkenaan juga akan dapat mengurangkan kesesakan lalulintas yang sering berlaku di kawasan lebuh raya termasuk Lebuh Raya Pantai Timur khususnya pada setiap kali musim perayaan,"katanya.

Sementara itu, beliau turut berkata, pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) dari Bentong ke Raub yang telah dimulakan tahun ini dijangka siap menjelang 2018.

"Pembinaan laluan alternatif ke Raub itu akan dapat mengurangkan kesesakan yang sering berlaku khususnya di bandar Bentong setiap kali hujung minggu dan cuti umum,"katanya. 

Sumber: Sinar Harian | Nasional | 27 Ogos 2016

Jumaat, 26 Ogos 2016

Kira-kira 20,000 orang akan meriahkan sambutan ambang merdeka negeri Kelantan

BACHOK: Kira-kira 20,000 orang dijangka berhimpun bagi memeriahkan sambutan ambang merdeka peringkat negeri Kelantan di Lembah Sireh, Kota Bharu pada 30 Ogos ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha berkata sambutan berkenaan yang akan bermula 3 petang sehingga tengah malam, akan dimeriahkan dengan pelbagai acara yang menyemarakkan semangat cintakan negara.

"Program ini akan bermula dengan pertunjukan auto show, 'sound and lights', perarakan konvoi kembara merdeka Jalur Gemilang, kira detik dan laungan 'merdeka' serta diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang serta pertunjukkan bunga api," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Minda Semarak Merdeka@Komuniti 1Malaysia Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman. Makhtar berkata sambutan ambang merdeka itu dianjurkan oleh JPP dengan kerjasama Jabatan Penerangan serta beberapa agensi lain serta badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Ibrahim meminta semua pihak terutama syarikat korporat, NGO dan persatuan penduduk tampil menganjurkan aktiviti yang boleh mengelorakan semangat patriotik bagi memeriahkan Sambutan Bulan Kebangsaan.

Beliau berkata usaha tersebut penting bagi mengelorakan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda dan masyarakat di peringkat komuniti.

Katanya bagi memeriahkan Sambutan Bulan Kebangsaan, ia tidak hanya terhad sekadar mengibar Jalur Gemilang sebaliknya ia boleh dilakukan melalui pelbagai aktiviti di peringkat komuniti.

Sumber: Bernama | 26 Ogos 2016

Madu kelulut, 'Super Food' pertama Malaysia

KUANTAN: Madu kelulut akan dijenamakan sebagai 'Super Food' pertama Malaysia di peringkat antarabangsa pada tahun hadapan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata produk madu kelulut yang dihasilkan pengusaha tempatan mempunyai pelbagai khasiat seperti mempunyai empat kali ganda antioksida berbanding madu lebah lain, dan asid fenolik yang berguna kepada manusia.

"Kita minta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) melakukan kajian penyelidikan dan pembangunan supaya kita mempunyai testimoni secara saintifik dan bukti klinikal khasiat madu kelulut.

"Selain itu, kita juga memerlukan sistem piawaian yang baik dalam perkara seperti pengredan, pembungkusan dan pelabelan yang standard bagi membawa nama Malaysia," katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian selepas merasmikan Road To MAHA 2016 Zon Timur di Taman Agroteknologi Mardi Cherating, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Beliau berkata penjenamaan madu kelulut sebagai 'Super Food' dapat memberi nilai tambah kepada harga pasaran produk itu dan diharapkan dapat menyamai produk madu premium dari Yaman yang berharga RM45 sekilogram.

"Ramai telah mengusahakan madu kelulut. Malaysia antara negara paling hadapan dalam perusahaan madu kelulut dan tidak memerlukan modal yang begitu besar untuk diusahakan.

"Madu kelulut juga tidak sesuai diternak di kawasan sejuk, membolehkan kita mengambil peluang membangunkan perusahaan ini ke peringkat lebih tinggi dan setakat ini, produk ini mendapat permintaan yang melebihi penawaran," katanya.

Ahmad Shabery berharap pengusaha madu kelulut menyambut baik inisiatif penjenamaan madu kelulut sebagai 'Super Food' dan mempunyai kesedaran untuk bersama-sama Mardi dalam penyelidikan mereka.

Beliau berkata bagi mempromosi madu kelulut, pihaknya juga melantik seorang bekas pekerja swasta, Sabri Ali, 54, sebagai duta madu kelulut yang akan mempromosi khasiat produk itu di seluruh negara dengan berjalan kaki.

Kempen itu yang dikenali sebagai 'Kelulut Walk' dijangka bermula pada awal Oktober ini meliputi perjalanan sejauh 2,000 kilometer (km) selama 50 hari, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Perjalanan itu merupakan kali ketiga untuk Sabri, anak jati Kemaman, selepas melakukan perjalanan sejauh 1,800km dalam tempoh 40 hari pada 2014, dan 1,600km selama 35 hari pada tahun lalu.

"Sabri mengamalkan madu kelulut setiap hari sebagai makanan tambahan semasa berjalan kaki dan turut menyapu madu kelulut di bahagian kaki yang luka. Alhamdulillah luka sembuh pada keesokan hari sebelum beliau menyambung semula perjalanan," katanya.

Ahmad Shabery juga berharap orang ramai khususnya pengusaha madu kelulut dapat memberi sokongan kepada Sabri dengan berjalan kaki bersamanya semasa beliau tiba di negeri mereka.

Sumber: Bernama | 26 Ogos 2016

Sindiket curi lembu aktif di Kelantan

Othman bersama anak lembu yang kehilangan ibunya selepas dicuri malam kelmarin.
BACHOK: Seorang peniaga dekat sini kerugian kira-kira RM8,000 apabila seekor lembu yang baru sahaja dibeli minggu lalu dicuri sebuah sindiket dalam kejadian kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Othman Hussein, 52, berkata, dia sememangnya bercuti pada setiap malam Rabu untuk pulang ke kampungnya di Kota Bharu.

“Apabila tiba di Limbat saya dihubungi jiran memaklum ibu lembu tepi warung dah tak ada. Lampu yang memang saya pasang sebelum balik kampung dipecahkan untuk mudahkan mereka curi lembu tu.

“Balik dari rumah keluarga malam semalam juga saya terus lapor polis. Saya tak pasti sama ada mereka tahu saya cuti pada setiap malam Rabu atau macam mana. Namun saya reda mungkin tak ada rezeki walaupun baru sahaja beli lembu itu minggu lepas,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, kecurian lembu seperti itu berlaku di mana-mana sahaja termasuk rakannya yang juga peniaga di pasar Jelawat tidak sempat untuk membeli lembu daripada seorang penternak di Kota Bharu kerana lembunya itu juga dicuri orang.

Manakala, jiran mangsa, Zakarim Maliki, 35, berkata, dia amat terkilan kerana tidak dapat mengesan jejak awal pencuri itu kelmarin.

Menurutnya, petang sebelum kejadian dia ada berbual dengan Othman atau lebih dikenali sebagai Abang Man yang meminta dia memantau kedainya malam itu kerana ingin pulang ke kampung.

“Saya memang ada nampak sebuah kereta Honda Prelude warna merah dan sebuah van Nissan Vennete warna perak yang berlegar di sekitar depan kedai petang itu tetapi saya tak syak apa-apa. Bila saya ke masjid, ada jemaah cakap lampu kedai dah padam.

“Kami bersangka baik mungkin sebab ada orang tengah baiki lampu tersebut. Tak lama lepas tu barulah ada yang perasan lembu Abang Man dan tak ada. Kemudian saya terus maklumkan Abang Man dan saya juga cuba cari kereta berkenaan hingga ke Gunong berdasarkan petunjuk yang diberikan rakan-rakan selepas saya uar-uarkan perkara itu dalam Facebook, tetapi gagal temuinya,” katanya.

Zakarim berkata, kawasan itu sebelum ini bersih daripada kegiatan mencuri lembu namun sejak minggu ini sudah dua kejadian sama berlaku.

Beberapa hari sebelum itu, seekor lembu penduduk berdekatan juga hilang mungkin dilakukan sindiket sama.

Justeru, beliau berharap pemilik lembu dapat memantau ternakan mereka lebih berhati-hati.

Zakarim berkata, berdasarkan pengetahuannya, lembu-lembu yang dicuri itu berkemungkinan dijual kepada penternak lain dengan harga yang lebih murah memandangkan Aidiladha akan menjelma tidak lama lagi.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Ogos 2016

UMNO Machang sedia 66 bot hadapi banjir

MACHANG: UMNO Bahagian Machang menyediakan 66 bot untuk menghadapi situasi banjir di kawasan Parlimen Machang tahun ini.

Timbalan Ketuanya, Wan Mohd Adnan Wan Aziz berkata bot berkenaan telah diagihkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) berkenaan untuk tujuan menyelamat dan menghantar bantuan.

Ia dilakukan selepas mengenal pasti kekurangan aset seperti bot ketika musibah banjir pada penghujung 2014.

"Ketika bah kuning lalu, kami terpaksa bergilir bot dari mukim ke mukim bagi menyelamat mangsa banjir untuk dihantar ke pusat pemindahan," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau mewakili Ketua UMNO Bahagian Machang yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub merasmikan program 'outreach' pendidikan kesihatan di sini hari ini.

Wan Mohd Adnan berkata satu jawatankusa banjir telah diwujudkan bagi menghadapi musim tengkujuh di kawasan Parlimen itu dan menggesa anggota Pemuda dan Puteri UMNO mendaftarkan diri sebagai sukalerawan.

Sumber: Bernama | 26 Ogos 2016

Mavcom nasihat pelanggan Rayani Air tuntut bayaran tiket daripada bank

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menasihatkan pelanggan Rayani Air yang telah membuat pembelian tiket menggunakan kad kredit atau debit, tetapi tidak dapat meneruskan penerbangan mereka berikutan pembatalan operasi Rayani Air, supaya membuat permohonan bayaran balik dengan pihak bank.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan pada Jumaat berkata, permohonan perlu dibuat pelanggan dengan pihak bank yang telah mengeluarkan kad kredit atau debit tersebut bagi mendapatkan balik wang mereka. 

"Pertanyaan mengenai bayaran balik harus dibuat terus kepada bank yang telah mengeluarkan kad kredit atau debit di dalam kategori “perkhidmatan yang tidak diterima” atau kategori yang sama.

"Setiap bank yang mengeluarkan kad kredit atau debit mungkin mempunyai terma dan syarat yang berlainan berkenaan perkhidmatan bayaran balik, jadi adalah wajar bagi pengguna-pengguna perkhidmatan Rayani Air untuk menghubungi pihak bank dengan segera," menurut kenyataan itu.

Tambah Mavcom, pengguna juga mungkin perlu mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan kepada bank tersebut bagi proses bayaran balik.

Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air dibatalkan pada 13 Jun lalu.

Sumber: mStar Online | 26 Ogos 2016

Mavcom advises Rayani Air’s customers to seek possible chargeback

KUALA LUMPUR: The Malaysian Aviation Commission (Mavcom) advises Rayani Air’s customers who have purchased tickets using credit or debit cards but were not able to fly following Rayani Air’s cessation of operations, to initiate a chargeback request with their respective credit/debit card issuing banks in order to recover their monies. 

In a statement, the commission said the chargeback enquiries were to be made directly to their credit/debit card issuing banks under the category of “services not received” or a similar category. 

“As credit/debit card providers may have different terms and conditions on chargeback services, we urge Rayani Air’s customers to engage with their respective credit/debit card issuing banks as soon as possible. 

“Consumers may also be required to submit the necessary documents to their card issuing banks to facilitate the chargeback process,” it said. 

Rayani Air’s Air Service Licence was revoked on June 13, 2016.

Source: The Star | Business | 26 August 2016

Khamis, 25 Ogos 2016

Perhilitan tangkap buaya tembaga disyaki serang penjala udang di Pasir Puteh

KOTA BHARU: Seekor buaya tembaga sepanjang hampir tiga meter yang dipercayai menyerang seorang penjala udang Ahad lepas, berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Sungai Gong Ketereh, Pasir Puteh, semalam.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Muhammad Khairi Ahmad berkata buaya itu ditangkap menggunakan perangkap sepanjang tiga meter dengan lebar dan tinggi satu meter yang diperbuat daripada besi dengan menggunakan ayam sebagai umpan.

"Perangkap itu dipasang kira-kira 50 meter dari tempat mangsa dilaporkan diserang Ahad lepas," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ibrahim Nor, 58, yang juga tukang perabot nyaris maut selepas diserang buaya ketika membersihkan jala di tepi sungai berkenaan kira-kira 10.30 malam, Ahad lepas.

Akibat insiden itu, beliau cedera di paha, betis dan lutut kiri sepanjang kira-kira 20 sentimeter akibat gigitan reptilia itu.

Muhammad Khairi berkata buaya terbabit dihantar ke Pejabat Perhilitan Kuala Krai untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Perak.

Sumber: Bernama | 25 Ogos 2016

Malaysia Airports agih RM54,000 menerusi Program Sokongan Komuniti Desa di Kelantan

Che Faridah (dua, kanan) menyapu air matanya, sebak ketika menerima kunjungan Malaysia Airports.
KOTA BHARU: Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) membelanjakan sebanyak RM54,000 bagi membantu tiga keluarga kurang berkemampuan menerusi Program Sokongan Komuniti Desa di Kelantan.

Seorang penerima, Che Faridah Yusof yang juga tukang cuci di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra berkata, dengan gaji RM900 sebulan yang diterimanya, dia menyara kehidupan anak dan dua cucu serta ibunya berusia 80-an.

Che Faridah berkata, setiap hari dia perlu berjimat cermat dan makan ala kadar supaya masih ada duit untuk perbelanjaan harian anak serta cucu-cucunya.

“Saya ada empat anak, tiga sudah berkahwin tapi ada yang masih tinggal sebumbung dengan saya.

“Ini dugaan hidup kami. Kami reda, selagi ada kudrat, selagi itu saya kerja untuk bantu suami demi makan dan minum kami,” katanya yang sudah bekerja selama lima tahun dengan syarikat tersebut.

Terdahulu, dia menerima kunjungan dan sumbangan daripada Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali bersama isterinya, Datin Rogayah Ibrahim serta pengurusan kanan syarikat, di rumah Che Faridah, di Kampung Tok Sadang.

Che Faridah memberitahu, dia juga tidak boleh mengharapkan anak perempuan yang sudah berkahwin untuk membantu mencari rezeki memandangkan selepas bercerai anaknya itu terpaksa menjaga dua anaknya berusia 8 dan 3 tahun sepenuh masa.

“Kalau nak kira duit gaji memanglah tak cukup. Sebab itu kadang-kadang saya ambil upah cuci rumah orang sebelum ni.

“Saya bersyukur sebab ada pihak yang masih mengambil berat pasal keadaan pekerja walaupun seorang tukang sapu. Alhamdulillah,” katanya.

Kisah hidup Che Faridah mendapat perhatian Malaysia Airports dan sebanyak RM16,000 diperuntukkan untuk keluarga itu melibatkan bantuan keperluan asas, peralatan keperluan dapur, pendidikan serta membaiki rumah.

Sementara itu, Badlisham mengharapkan sumbangan itu dapat menyuntik semangat keluarga terpilih untuk meneruskan hidup.

“Walaupun bantuan ini tidak berterusan, namun sekurang-kurangnya ia boleh membahagiakan mereka.

“Ini tanggungjawab kita, berkongsi dengan golongan memerlukan. Kita menyumbang kembali kepada komuniti setempat dan mendekati kumpulan seperti ini,” katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke nombor akaun 153010847998 (Che Faridah Yusof- Maybank).

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 Ogos 2016

Program Penghijauan Diraja di Kelantan

PASIR PUTEH: Jabatan Perhutanan Kelantan akan melaksanakan program kesedaran kepentingan penjagaan hutan yang membabitkan penyertaan Istana Kelantan. 

Program yang dinamakan Program Penghijauan Diraja dijangka dilancarkan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, Oktober ini di Kuala Krai. 

Pengarah Perhutanan Negeri, Zahari Ibrahim, berkata kesudian Sultan Kelantan melancarkan program itu membuktikan keprihatinan Istana Kelantan terhadap kepentingan penjagaan hutan sebagai khazanah negeri. 

Katanya, menerusi program itu kawasan seluas empat hektar akan ditanam dengan pelbagai pokok hutan. 

"Kita berasa berbesar hati apabila Sultan Kelantan begitu prihatin dengan isu penjagaan hutan di negeri ini," katanya ketika sidang media selepas Seminar Integriti Mengenai Penyahutanan Bagi Zon Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang) yang bertemakan 'Cegah Rasuah dan Ketirisan: Tingkat Hasil', di sini, hari ini. 

Yang turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Moh Samsuddin Yusoff. Zahari berkata, kesedaran tinggi terhadap usaha pemulihan hutan patut dicontohi pelbagai pihak termasuk di kalangan orang ramai, mahupun badan bukan kerajaan (NGO). 

"Sehingga Ogos tahun ini Jabatan Perhutanan Kelantan sudah menanam 1.1 juta anak pokok hutan daripada pelbagai spesis," katanya. 

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM2 juta untuk program pemulihan hutan di Kelantan dan sejak 2010 lebih 5 juta anak pokok hutan sudah ditanam.

Sumber: Berita Harian | Wilayah Timur | 24 Ogos 2016

Keenakan sate ikan Kelantan jadi pilihan ramai

Pengusaha sate ikan, Adnan Abd Rahman, 37 , (berdiri) membantu pekerjanya dalam proses mencucuk sate ikan.
RANTAU PANJANG: Sate ikan atau dikenali sebagai 'lokcing' dalam kalangan masyarakat setempat menjadi pilihan ramai kerana rasanya yang enak dan dan menyelerakan. 

Isi ikan yang dikisar bersama tepung kanji bukan saja menghasilkan sate ikan yang lembut tetapi rasa yang sedap dan biasanya dimakan dengan pencicah selepas dibakar atau digoreng. 

Pengusaha sate ikan, Adnan Abd Rahman, 37, sudah mengusahakan perniagaannya itu selama 10 tahun dan menjadi antara pembekal sate ikan terbesar di sini. 

"Saya bermula sendiri daripada bawah, banyak resipi sudah saya cuba sebelum dapat menghasilkan sate ikan yang sedap. 

Biasanya, pelanggan lebih gemar memilih sate yang mempunyai rasa ikan asli dan tidak gatal serta lembut bila dimakan. 

"Setiap hari, sebanyak 250 kilogram ikan akan digunakan untuk memproses menjadi sate. Saya sendiri akan pastikan ikan digunakan masih segar untuk memastikan sate dihasilkan tidak mudah rosak dan memberi rasa yang sedap

"Sekarang saya sudah memiliki 20 pekerja yang membantu saya mengusahakan sate ikan. Setiap hari kami akan menerima tempahan sama ada daripada pemborong tetap atau orang ramai yang datang beli sendiri untuk dibuat minum petang. 

"Saya menjual sate ikan dengan harga RM10 untuk 100 cucuk," katanya yang turut menjual pencicah sate yang dibuat sendiri hasil resipi ibunya. 

Proses menghasilkan sate ikan menggunakan ikan yang segar dan bahan berkualiti mampu menghasilkan sate yang boleh bertahan selama dua hingga tiga minggu dan boleh disejukbekukan. 

Adnan berkata, sate ikan miliknya juga pernah 'terbang' sehingga ke Jordan dan Mesir kerana anak tempatan yang pulang bercuti dan membelinya untuk dibawa ke sana. 

"Saya berharap untuk pergi lebih jauh dan mampu membuat perniagaan sate ikan yang boleh menembusi pasaran antarabangsa. 

Namun, banyak lagi yang perlu diberi perhatian dalam pembuatan lokcing ini supaya dapat menghasilkan yang berkualiti," katanya.

Sumber: Berita Harian | Wilayah Timur | 24 Ogos 2016

Hospital Tumpat peroleh sijil pengesahan halal


Timbalan Pengarah Operasi Jabatam Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK), Hasnan Ramli (tengah) menyaksikan penyampaian sijil pengesahan HALAL daripada Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Norazmi Abdullah kepada Pengarah Hospital Tumpat, Dr. Norlaili Sabariah Mohd Ghazali untuk Unit Sajian Hospital Tumpat di sini.
TUMPAT: Hospital Tumpat muncul sebagai hospital pertama di Kelantan yang menerima sijil pengesahan halal Malaysia oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK). 

Ia juga menjadikan Hospital Tumpat adalah hospital kelima di seluruh negara yang menerima sijil pengesahan itu

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr Norazmi Abdullah, berkata pengesahan itu memberi jaminan kepada pengguna muslim bahawa makanan yang dihidangkan di hospital adalah dari unsur yang halal. 

"Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, Pahang adalah unit sajian hospital pertama yang mendapat sijil halal, empat tahun lalu. 

"Ini menjadi inspirasi kepada hospital lain khususnya di Kelantan untuk memohon persijilan Halal dari JAHEAIK," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil itu di Pusat Latihan Hospital Tumpat di sini, hari ini. 

Sijil pengesahan halal disampaikan oleh Timbalan Pengarah Operasi JAHEAIK, Dr Hasnan Ramli kepada Dr Norazmi dengan disaksikan oleh Pengarah Hospital Tumpat, Dr Nor Laili Sabariah Mohd Ghazali. 

Sementara itu, Dr Nor Laili Sabariah berkata, Hospital Tumpat sudah memperoleh sijil dari dua skim iaitu di bawah Amalan Pengilangan Baik (GMP) serta Titik Kawalan Keselamatan Makanan (HACCP) pada 2013 dan 2015. 

"Kami mula memohon persijilan halal dari JAHEAIK pada Jun lalu dan diluluskan sebulan selepas itu. 

Dengan memperoleh sijil halal ini pesakit tidak akan ragu dengan penyediaan makanan dari unit sajian kami kerana bahan mentah yang digunakan adalah halal," katanya.

Sumber: Berita Harian | Wilayah Timur | 21 Ogos 2016