![]()  | 
| Md. Alwi Che Ahmad (dua dari kanan) bersama petani meninjau masalah tikus yang dihadapi mereka di Kampung Berangan dekat Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini. | 
PASIR PUTEH: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) 
meluluskan bantuan khusus agihan semula benih padi kepada para petani di
 Kampung Berangan, dekat sini untuk mengusahakan semula tanaman di 
kawasan seluas 54 hektar selepas musnah diserang tikus baru-baru ini.
Pengerusi KADA, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, pihaknya juga 
bersetuju membiayai sebahagian kos racun bagi meringankan bebanan petani
 yang menanggung kerugian akibat gagal menunai hasil sejak beberapa 
musim lalu.
Beliau berkata, serangan tikus di bendang itu berpunca daripada 
beberapa faktor termasuk kawasan semak di sepanjang tali air yang tidak 
dikendalikan dengan sempurna sehingga menjadi tempat pembiakan tikus dan
 penanaman padi tidak menyeluruh akibat masalah bekalan air.
"Sebelum ini, KADA telah mengagihkan racun tikus kepada petani dalam 
kawasan operasinya, namun dilihat tidak mencukupi apabila petani di luar
 kawasan projek tidak menerimanya.
"KADA akan terus membantu dengan mengambil kira rintihan dan 
keperluan petani yang memohon bantuan benih padi disalurkan kepada 
mereka bagi tujuan penanaman semula.
"Bantuan itu adalah satu keperluan memandangkan kesemua petani 
terbabit dibebani hutang dengan syarikat pembekal benih padi dari 
Kedah," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat kawasan tersebut bagi 
meninjau kesan serangan tikus di bendang Kampung Berangan, dekat sini 
petang semalam.
Yang turut hadir, Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifle Ali.
Md. Alwi berkata, pengagihan benih itu akan dibuat dalam tempoh 
terdekat bagi membolehkan petani terbabit melakukan tanaman semula 
secara serentak.
Ditanya masalah pengairan, beliau berkata, KADA masih menghadapi 
kekangan mengalirkan air ke sawah secara menyeluruh terutama sepanjang 
pertengahan tahun ini kerana air Sungai Kelantan di paras cetek dan 
gagal disedut oleh pam.
"Ini bergantung kepada kapasiti dan ketinggian air sungai dan KADA 
tidak mempunyai empangan khusus bagi tujuan ini kecuali mengharapkan 
bantuan Kerajaan Persekutuan membina tandak air yang dijangka siap 
pertengahan bulan depan," katanya.
Menurutnya, KADA terpaksa membelanjakan sebanyak RM4 juta setiap 
tahun bagi tujuan pembersihan pintu rumah pam yang sering dipenuhi 
lumpur dan keladak dipercayai kesan daripada pembalakan tidak terkawal 
di hulu Sungai Kelantan.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 19 Nov. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan