KEMAMAN: Kerajaan negeri akan 
memastikan jalan utama melalui pantai lebih 150 kilometer menghubungkan 
Kuala Terengganu - Kemaman dinaik taraf menjadi empat lorong sepenuhnya 
menjelang 2018.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerja menaik taraf 
jalan bagi menampung pertambahan aliran trafik dan memberikan keselesaan
 kepada pengguna telah dilakukan secara berperingkat sejak beberapa 
tahun lalu.
Katanya, ia dimulakan dari Dungun hingga Kemaman yang menelan belanja
 sekitar RM80 juta dan akan diteruskan lagi dengan peruntukan kira-kira 
RM40 juta.
"Selepas sahaja jambatan Bukit Kuang di sini siap, menjelang Mac atau
 April tahun depan, tender akan dikeluarkan untuk projek naik taraf 
jalan bermula dari Bukit Kuang, Kijal hingga persimpangan lampu isyarat 
Bukit Anak Dara.
"Selain itu, kerja naik taraf sekarang sedang berjalan antaranya dari
 Bandar Baru Kijal hingga simpang Bandar Baru Kijal, dari simpang Bandar
 Baru Kijal ke Resort World Kijal (RWK) serta dari Mesra Mall hingga ke 
lampu isyarat Kemasik," ujarnya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan 
hadiah kepada para pemenang Pertandingan Memasak Bubur Asyura peringkat 
Daerah Kemaman 2013 anjuran Pejabat Tanah dan Daerah di Stadium Mini, 
Kerteh, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan 
negeri, Ir Rosli Othman; Ketua Wanita Bahagian Kemaman, Senator Rohani 
Abdullah; Pegawai Daerah, Mohamad Kamil Othman dan Pengarah Agensi 
Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Roshali Taha. 
Ahmad berkata, sebaik sahaja projek menaik taraf jalan dari Kemaman 
ke Kuala Terengganu siap, fasa seterusnya akan bersambung pula dari 
Kuala Terengganu hingga ke Besut. 
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 17 Nov. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan