KOTA BHARU: Tahap kesedaran rakyat terutama di negeri ini terhadap pelaburan semakin meningkat apabila permintaan untuk pendaftaran koperasi mencecah 100 permohonan sepanjang tahun ini.
Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kelantan, Anuar Mohd. berkata, berdasarkan jumlah permohonan tersebut, menunjukkan masyarakat sudah mula sedar kepentingan pelaburan dalam koperasi.
Menurutnya, sehingga kini terdapat hampir 670 koperasi yang berdaftar di negeri ini dan daripada jumlah itu hanya 10 hingga 20 peratus yang tidak aktif.
"Daripada peratusan koperasi yang tidak aktif itu, hanya sebahagian kecil pendaftarannya dibatalkan kerana sudah melebihi tempoh selama tiga tahun.
"Selain itu, pendaftaran tersebut juga akan dibatalkan sekiranya bilangan anggota serta keahlian tidak mencapai bilangan minimum iaitu seramai 50 orang ahli bagi setiap koperasi," katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kali kedua Koperasi Rakyat Kelantan Berhad 2013 di Kelantan Trade Centre di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Koperasi Rakyat Kelantan Berhad, Mohd. Sabri Abdullah. Anuar berkata, walaupun tahap kesedaran rakyat terhadap pelaburan koperasi semakin meningkat, masih ada segelintir yang masih kurang yakin dengan konsep koperasi itu sendiri.
"Konsep koperasi yang perlu ditekankan ialah kerjasama antara anggota untuk mencapai tujuan yang sebenar kerana modal serta komitmen daripada ahli sangat penting.
"Masyarakat kebanyakannya memang mahu melabur tetapi kerana kurang keyakinan menyebabkan mereka mengambil jalan untuk melihat dahulu apa yang koperasi boleh beri kepada ahlinya.," katanya.
Beliau berkata, sesebuah koperasi perlu mempunyai matlamat khusus dan setiap amanat ahli harus dipegang bagi mengelak sebarang penyelewengan berlaku," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 16 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan