KOTA BHARU: Bintang sayap sensasi Kelantan, Mohd. Nor Farhan Muhammad
menamatkan spekulasi apabila mengesahkan dia kini milik Persatuan Bola
Sepak Terengganu (PBSNT).
Nor Farhan yang terkenal dengan jolokan 'Ben 10' berkata, perpindahan
ke negeri kelahirannya, Terengganu bukan disebabkan faktor 'wang' tetapi
atas sebab keluarga. Katanya, sudah sampai masanya untuk berbakti di negeri sendiri setelah berkelana bersama pasukan lain sejak sekian lama.
"Saya sahkan saya kini milik PBSNT tetapi untuk beraksi dengan
pasukan Terengganu atau T-Team ia masih belum diputuskan dan saya
menunggu keputusan daripada Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan
Abdul Hamid untuk memutuskannya.
"Bila dapat peluang beraksi di bumi sendiri, saya tidak boleh
lepaskan. Saya fikir bola sepak bukan untuk jangka masa pendek tetapi ia
untuk masa depan dan keluarga.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku
Ismail Sultan Ibrahim kerana memahami situasi saya hadapi sekarang,"
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kemelut perpindahan penyerang kelahiran Wakaf Tapai, Terengganu itu
timbul apabila dia disenaraikan oleh Penasihat Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa di antara lapan pemain yang bakal
meninggalkan pasukan The Red Warriors.
Bagaimanapun, spekulasi timbul selepas Nor Farhan yang sebelum ini
bersetuju untuk menyertai pasukan Johor Darul Takzim membatalkan hasrat
tersebut dan dikatakan mahu kekal di Kelantan.
Malah, ada laporan mengatakan wujud 'tarik tali' antara kedua-dua pasukan tersebut untuk mendapatkan khidmatnya.
Pemain berusia 28 tahun itu mula menyertai Kelantan pada 2009 sebelum
kembali ke negeri asalnya untuk beraksi dengan T-Team dua tahun
kemudiannya. Bagaimanapun dia kembali menyertai The Red Warriors pada musim lepas.
Dalam pada itu, Nor Farhan mengucapkan terima kasih kepada KAFA, Annuar dan peminat setia The Red Warriors kerana membantu mengembangkan kerjayanya dalam bola sepak.
"Saya memberikan penghargaan tertinggi kepada Annuar kepada menghidupkan kembali suasana bola sepak di Malaysia.
"Tidak ada perkataan yang dapat saya ungkap ke atas sumbangan dan
jasa Annuar serta seluruh warga bola sepak Kelantan yang membantu untuk
meningkatkan kerjaya saya," katanya.
Sementara itu, Annuar melalui laman sosial Facebook berkata, KAFA
telah menawarkan gaji tertinggi yang tidak pernah ditawarkan ke atas
mana-mana pemain kepada Norfarhan supaya dia kekal bersama The Red Warriors.
"Dalam usaha mendapatkan Farhan (Mohd. Nor Farhan), KAFA telah
menawarkan gaji paling tinggi pernah kita buat kepada mana-mana pemain
tempatan, namun dia memilih untuk ke Terengganu.
"Kita berpuas hati dengan segala usaha yang telah dilakukan dan
menghormati pilihannya. Kita ucapkan selamat maju jaya kepadanya,"
katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Sukan | 14 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan