KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin menaikkan tarif 
bekalan elektrik antara enam dan tujuh sen bagi satu kilowatt tahun 
depan, kata Menteri Tenaga. Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus 
Ongkili. Bagaimanapun, Ongkili berkata kerajaan akan memastikan kenaikan tarif tidak menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah.
"Kerajaan masih mengkaji kadarnya. Ia mungkin antara 10 peratus dan 
20 peratus," katanya dan menambah angka di bawah 20 peratus adalah 
munasabah. "Kadarnya adalah munasabah. Ia merupakan semakan minimum bagi
 Tenaga Nasional Bhd yang memastikan ia mencerminkan kos modal, 
pengurusan dan gaji," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Ongkili membayangkan kerajaan akan mengekalkan struktur semasa dengan
 pengguna yang menggunakan 300 kWh sebulan atau kurang, tidak dikenakan 
tarif baharu itu.Oleh itu, tiada kenaikan tarif dijangkakan untuk 75 
peratus pengguna isi rumah (4.4 juta pengguna), pengguna 'lifeline' (3.3
 juta pengguna) dan pengguna 201-300 kWh (1.1 juta pengguna).
Ongkili berkata kadar itu juga bergantung kepada sejauh mana kerajaan
 mahu mengurangkan subsidi dan menyalurkannya kepada pembangunan 
sosioekonomi.
Beliau berkata kerajaan sentiasa memberi isyarat bahawa subsidi akan 
dikurangkan dan ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Ongkili berkata kerajaan membelanjakan kira-kira RM130 juta untuk 
subsidi setiap tahun untuk tarif manakala selebihnya ditanggung oleh 
Petronas kira-kira RM8 bilion hingga RM10 bilion setahun untuk sektor 
tenaga.
Berbanding tarif semasa negara anggota Asean, Ongkili berkata 
Malaysia lebih rendah berbanding Thailand dan Filipina, namun tinggi 
berbanding Indonesia memandangkan republik itu merupakan negara yang 
paling banyak memberi subsidi kepada sektor tenaga.
"Kami (menteri kabinet) akan bermesyuarat minggu ini. Kami akan 
mengkajinya," katanya.Kali terakhir tarif elektrik dinafikan pada Jun 
2011 apabila harga gas subsidi dinaikkan kepada RM13.70 (mmbtu) daripada
 RM10.70 mmbtu sebelumnya. 
Sumber: BERNAMA | 28 Nov. 2013 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan