Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 19 November 2013

Kraftangan Malaysia sasar jualan RM350 juta tahun ini

KOTA BHARU: Kraftangan Malaysia menyasarkan jualan kraf melebihi RM350 juta tahun ini meskipun terdapat persaingan dengan produk kraftangan negara jiran.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Kamil Mohd Ali berkata sasaran itu mampu dicapai berikutan hasil jualan pada 2012 adalah sebanyak RM341.9 juta, selain produk kraftangan Malaysia mempunyai segmen pasaran dan kualiti tersendiri berbanding negara pengerluar lain seperti Indonesia dan Thailand.

"Dari Januari hingga September lepas, kita mencatat jualan sebanyak RM297 juta, termasuk RM42 juta hasil eksport ke luar negara," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani dan Penyerahan Watikah Adiguru Kraf di Pejabat Kraftangan Malaysia cawangan Kelantan di sini Isnin.

Mohd Kamil berkata terdapat seramai 6,783 pengusaha tempatan bergiat aktif dalam menghasilkan pelbagai produk kraftangan daripada kain, rotan, kayu-kayan dan bahan logam dengan penyumbang jualan terbesar adalah dari Kelantan iaitu RM78 juta.

"Kraftangan Malaysia turut terlibat dengan pelbagai ekspo berkaitan produk-produk kraftangan di luar negara dan sehingga Oktober lepas, kita telah menyertai lapan ekspo dan pameran di pelbagai negara seperti di Frankfurt (Jerman), New York (Amerika Syarikat) dan Moscow (Rusia).

"Justeru, kita menyasarkan hasil jualan sebanyak RM430 juta pada tahun hadapan dan menjangka akan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan dari dalam dan luar negara," katanya.

Sementara itu, mengenai Program Adiguru Kraf 2013, Mohd Kamil berkata seramai tiga Adiguru dilantik pada tahun ini iaitu Adiguru Tembikar Labu Sayong, Zulkafly Pandak Bedin (Perak), Adiguru Pembuatan Bot Tradisional, Hasni Ali (Terengganu) dan Nik Rahimah Nik Idris (Kelantan).

Mohd Kamil berkata pelantikan ketiga-tiga Adiguru Kraf ini berkuat kuasa mulai 1 Jan 2014 sehingga 31 Dis 2018 dengan masing-masing menerima ganjaran RM5,000, elaun bulanan sebanyak RM500 setiap bulan dan layak untuk menerima kemudahan perubatan kelas pertama di mana-mana hospital kerajaan.

Beliau berkata, melalui sub-program Pengiktirafan Tokoh Kraf di bawah program Pengekalan Seni Kraf Warisan Negara yang dimulakan sejak 1987, seramai 46 orang tukang kraf telah dilantik sebagai Adiguru Kraf dalam pelbagai bidang bagi memelihara dan mengembangkan seni kemahiran serta pertukangan kraf tradisional.

"Khidmat seseorang Adiguru Kraf akan dipraktikkan sebagai pakar rujuk, pembimbing serta tenaga pengajar kepada Kraftangan Malaysia dalam menurunkan ilmu, pengalaman dan kepakaran kepada kumpulan pelapis melalui aktiviti berbentuk latihan kemahiran jangka pendek, pengajian kemahiran di Institut Kraf Negara dan bengkel kraf.

Pada majlis itu, Nik Rahimah, 72, seorang usahawan kraf sulaman kelingkam diberi penghormatan dan dilantik sebagai Adiguru Kraf 2013. Beliau bergiat menghasilkan kraftangan itu sejak 57 tahun lepas.


Sumber: BERNAMA | 18 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan