Penduduk Orang Asli melalui jambatan kayu sementara ke Pos Tohoi. |
GUA MUSANG: Lebih 200 penduduk Orang Asli di Pos Tohoi, dekat sini, terpaksa bergadai nyawa ketika menggunakan jambatan kayu sementara yang dibina sebuah syarikat perladangan bagi menggantikan jambatan yang runtuh, sebulan lalu.
Jambatan sementara itu dibina secara tergesa-gesa bagi mengatasi masalah perhubungan terputus selepas jambatan runtuh akibat banjir kilat pada 26 Oktober lalu.
Penduduk bimbang menggunakan jambatan kayu sementara itu kerana berada diparas rendah hingga mencecah air sungai yang dianggap bahaya jika melaluinya ketika hujan lebat menyebabkan air sungai naik mendadak dan arus deras, sekali gus akan menghanyutkan jambatan terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Pos Tohoi, Zainal Chali, berkata, penduduk tidak berkemampuan untuk membina sendiri jambatan yang lebih baik dan kukuh.
Menurutnya, mereka hanya mengharapkan syarikat itu membina jambatan kayu sementara, jika tidak penduduk sukar ke bandar untuk membeli barang keperluan harian.
Beliau juga merayu kepada kerajaan supaya membina jambatan konkrit yang tahan lebih lama bagi menghubungkan penduduk bandar ini ke Pos Tohoi.
“Kita tidak ada jalan lain yang lebih selamat dan terpaksa menggunakan jambatan kayu sementara itu untuk ke bandar ini.
“Ia dibina syarikat perladangan berkenaan selepas dua minggu jambatan asal runtuh kerana mereka sama-sama bertanggungjawab berbuat demikian untuk kegunaan harian bersama,” katanya.
Zainal berkata, jalan itu juga perlu dinaik taraf supaya penduduk dapat melaluinya dengan selesa kerana ia mudah rosak apabila hujan terutama musim tengkujuh.
“Kita juga tidak boleh mengharapkan syarikat terbabit untuk berbuat demikian kerana keselamatan Orang Asli yang melaluinya setiap hari lebih utama,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 16 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan