PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa (gambar) 
mendakwa status seseorang pemain bersama pasukan lain hanya sah selepas 
pemain berkenaan menandatangani kontrak yang lengkap selain menurunkan 
tandatangan di setiap muka surat bersama pasukan yang ingin diwakilinya.
 Mengambil contoh Kafa, Annuar berkata pihaknya sudah mengalami perkara 
berkenaan sebanyak beberapa kali dan peraturan berkenaan adalah jelas.
 “MoU (Memorandum Persefahaman) atas menurun tandatangan atas sehelai 
kertas tidak diterima pakai… yang terpenting akhirnya pemain itu sendiri
 berhak memilih dengan pasukan mana mereka memilih untuk beraksi.
 “Dalam kes ini amatlah jelas (Mohd) Nazri Ahmad, (Mohd) Nazrin Nawi, 
Norfarhan (Muhammad), Hai-O (Hairuddin Omar) dan lain-lain akan beraksi 
dengan pasukan pilihan masing masing,” katanya menerusi laman facebook 
beliau, hari ini.
 Annuar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden 
Persatuan Bola Sepak Selangor Datuk Abdul Mokhtar Ahmad yang disiarkan 
media hari ini, dengan mendakwa bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), 
Mohd Nazri Ahmad sudah menandatangani kontrak selama dua tahun untuk 
menyertai skuad Gergasi Merah bermula musim depan.
 Mohd Nazri yang beraksi di posisi pertahanan merupakan antara lapan 
pemain baharu Kelantan yang diperkenalkan Annuar pada satu majlis 
pengenalan skuad The Red Warriors, semalam untuk menghadapi saingan Liga
 Malaysia 2014.
 Penyerang JDT, Mohd Safee Sali sebelum ini dilaporkan menarik balik 
semula keputusannya untuk menyertai Selangor, musim depan walaupun 
dikatakan sudah mendapat bayaran pendahuluan daripada FAS.
 Insiden itu bagaimanapun dikatakan selesai memandangkan pengurusan JDT 
bersetuju untuk membuat bayaran pampasan kepada FAS. 
Sumber: BERNAMA | 27 Nov. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan