Salim Salleh (tengah) bersama para pemenang cabutan bertuah pada Majlis Amal & Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Jakel 2013 di Kubang Kerian di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin. |
KOTA BHARU: Meskipun telah berjaya sebagai gedung tekstil terbesar di Kelantan, Jakel Trading tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menyampaikan sumbangan kepada 277 orang anak-anak yatim serta ibu tunggal di negeri ini.
Pengurus Cawangan Jakel Kelantan, Salim Salleh berkata, sumbangan berupa kelengkapan sekolah serta wang tunai sebanyak RM100 seorang itu adalah bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan.
"Ini adalah acara tahunan Jakel yang mana sebahagian daripada keuntungan hasil jualan akan disalurkan ke badan-badan kebajikan serta golongan yang tidak bernasib baik.
"Matlamat perniagaan kami bukan hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata dan ini adalah cara untuk kita membantu serta meraikan mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis amal dan Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Jakel 2013 di sini semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim dan Pengarah Perlesenan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Shamsudin Mamat.
Pada majlis tersebut, para pelanggan setia Jakel dan Salem Aziz Textile di empat cawangan iaitu Wakaf Che Yeh, Kubang Kerian, Tanah Merah serta Kuala Terengganu turut diraikan dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah.
Pelanggan bertuah dengan pembelian RM1,000 ke atas akan membawa pulang sebuah kereta Perodua Viva serta beberapa barangan lain seperti televisyen LCD serta telefon pintar.
Salim berkata, para pelanggan Jakel turut menjadi penyumbang kerana selain membeli-belah di Jakel, mereka secara tidak langsung menderma kepada golongan yang memerlukan.
"Saya sangat berterima kasih dengan sokongan yang berterusan daripada pelanggan Jakel kerana mereka bukan sahaja berbelanja di sini malah dapat beramal," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 15 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan