KOTA BHARU: Titah Sultan Kelantan, 
Sultan Muhammad V yang meminta supaya Kerajaan Pusat menimbang untuk 
membina Jambatan Palekbang dan menyelesaikan beberapa perkara bagi 
kemudahan rakyat di negeri ini mendapat reaksi positif daripada orang 
ramai.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata orang ramai yang
 ditemui meluahkan rasa gembira dengan keprihatinan yang ditunjukkan 
oleh Sultan Muhammad dalam majlis Istiadat Pengurniaan Kehormatan 
Kebesaran Negeri Kelantan Tahun 2013 Sempena Sambutan Ulang Tahun 
Keputeraan baginda ke-44 di Istana Balai Besar, di sini semalam.
Seorang suri rumah, Azizah Yaacob, 66, menyambut baik titah baginda yang dilihat telah membantu serta memudahkan rakyat dalam pelbagai aspek.
"Baginda menyampaikan hasrat rakyat Kelantan dan ini jelas membuktikan keprihatinan tuanku terhadap rakyat di negeri ini. 
"Saya berharap dengan ini, Kerajaan Pusat akan membantu memberikan 
keselesaan kepada rakyat di negeri ini demi kepentingan bersama," 
katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pada majlis istiadat tersebut, Sultan Muhammad meminta Kerajaan Pusat
 menimbang membina Jambatan Palekbang merentasi Sungai Kelantan yang 
menghubungkan Kampung Cina, Kota Bharu dengan Palekbang, Tumpat bagi 
mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Kota Bharu.
Projek pembinaan jambatan itu telah dijanjikan oleh kerajaan negeri 
sejak 17 tahun lalu, namun sehingga kini masih tidak ditunaikan.
Selain itu, baginda turut menyeru kerjasama antara kerajaan negeri 
dan Kerajaan Pusat untuk membina projek Empangan Nenggiri yang mampu 
menjana tenaga elektrik ke seluruh Kelantan serta menyelesaikan masalah 
bekalan air.
Sementara itu, Mizema Abdul Rahman, 54, berkata, inilah yang dinanti-nantikan oleh rakyat di negeri ini yang sememangnya memerlukan kemudahan yang lebih baik.
"Tuanku sangat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat di 
negeri ini dan baginda telah bertitah untuk memberi kemudahan kepada 
rakyatnya. Saya cukup gembira mendengar titah baginda dan saya berharap 
Kerajaan Pusat memandang serius demi untuk kebaikan rakyat," katanya.
Seorang pesara, Mohd. Resdi Samat, 60, pula berkata, titah 
baginda yang meminta kerajaan membantu menyelesaikan beberapa projek 
adalah langkah yang terbaik untuk rakyat di Kelantan.
"Baginda bertitah demikian bagi memberi keselesaan kepada penduduk di
 negeri ini, sekali gus ia menunjukkan tanggungjawab serta keprihatinan 
tuanku kepada rakyat Kelantan.
"Walaupun negeri ini berada di bawah pimpinan pembangkang, namun saya
 berharap Kerajaan Pusat dapat memberi kemudahan yang sewajarnya demi 
kepentingan rakyat," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 12 Nov. 2013 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan