TUMPAT: Penduduk Kampung Palekbang dekat sini, terus menunggu janji Kerajaan Pas Kelantan untuk membina jambatan menghubungkan kampung mereka dengan Kampung Cina di Kota Bharu.
Beberapa penduduk yang ditemui mengakui amat teruja ketika kerajaan negeri mengumumkan pembinaan projek itu dengan batu asas telah diletakkan di kampung berkenaan, namun selepas 17 tahun berlalu masih belum dilaksanakan.
Malah, ada penduduk yang mengabadikan gambar di hadapan batu asas tersebut selepas majlis pecah tanah dilakukan pada tahun 1996 dan menjadikan peristiwa itu sebagai kenangan yang entah bila akan menjadi kenyataan.
Berikutan itu, mereka menyambut baik titah ucapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang meminta Kerajaan Pusat menimbang membina jambatan tersebut bagi mengatasi kesesakan yang berlaku di Kota Bharu.
Seorang penduduk, Nor Harun, 63, berkata, dia percaya kerajaan negeri tidak berkemampuan membina jambatan tersebut setelah 17 tahun menunggu pelaksanaan projek itu dan masih tidak menampakkan sebarang tanda akan dilaksanakan.
"Kerajaan negeri tidak mampu buat, hanya Kerajaan Pusat yang diyakini dapat membina jambatan itu. Sepatutnya kerajaan negeri awal-awal lagi menyerahkan pembinaan projek tersebut kepada Kerajaan Pusat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sultan Kelantan dalam majlis Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri 2013 sempena keputeraan baginda ke-44 kelmarin meminta Kerajaan Pusat menimbang membina Jambatan Palekbang merentasi Sungai Kelantan yang menghubungkan Kampung Cina, Kota Bharu dengan Palekbang di sini, bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di Kota Bharu.
Projek pembinaan jambatan itu telah dijanjikan Pas Kelantan sejak 17 tahun lalu dan pelaksanaannya yang memakan kos sebanyak RM150 juta juga telah dimasukkan dalam komponen projek Lembah Sireh.
Penduduk, Mat Nor Awang, 72, turut menyambut baik titah ucapan Sultan Kelantan itu kerana mereka sememangnya sudah lama menantikan pembinaan jambatan tersebut.
"Bila ada jambatan, mudahlah penduduk di sini hendak berulang-alik ke Kota Bharu. Sudah pasti pembinaannya juga akan merancakkan kembali ekonomi di sini," katanya.
Bagi Wan Ibrahim Wan Hussin, 69, pula, pembinaan Jambatan Palekbang perlu dilaksanakan kerana penduduk terus ternanti-nanti projek siap sementelah batu asas yang ada pula semakin dimamah usia.
"Pembinaan jambatan ini untuk kemudahan bersama, tidak perlu lagi penduduk Kampung Palekbang yang hendak ke Kota Bharu terperangkap dalam kesesakan berhampiran bulatan Wakaf Bharu yang semakin teruk sekarang," katanya.
Sementara itu, Hasmah Che Yoh, 69, pula masih teringat ketika dia bergambar di hadapan batu asas projek tersebut sebaik sahaja selesai majlis pecah tanah pada 1996.
"Lama dah kami tunggu, lama dah batu asas terletak di situ, ingatkan jadi, tapi sehingga kini tak juga. Bila Sultan Muhammad minta Kerajaan Pusat timbang bina, elok benar, harap jadi kali ini, maju sikitlah tempat kita," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Kelantan | 15 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan