KOTA BHARU: Pejabat Perdagangan Dalam 
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri mengesahkan setakat ini tiada 
menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barang di negeri ini 
selepas pengumuman Bajet 2014 baru-baru ini.
Pengarahnya, Sharuddin Jali (gambar) berkata, pihaknya 
bagaimanapun akan terus melakukan pemantauan terhadap harga barangan di 
negeri ini bagi memastikan para peniaga tidak menaikkan harga sehingga 
membebankan rakyat.
"Kami akan terus mempergiatkan lagi operasi bagi memastikan para peniaga terutamanya tidak menaikkan harga barangan sesuka hati.
"Setakat ini belum ada aduan atau laporan mengenai kenaikan harga 
yang diterima, namun pemantauan akan terus dilakukan dan sekiranya 
terbukti wujud peniaga menaikkan harga sesuka hati tindakan tegas akan 
diambil," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Katanya, peniaga yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah 
Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan boleh didenda
 maksimum sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan 
pertama, sementara bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda 
sebanyak RM250,000 atau lima tahun penjara.
"Pihak kami telah melakukan pemantauan di empat jajahan iaitu Kota 
Bharu, Kuala Krai, Pasir Mas dan Tanah Merah. Pemeriksaan ini melibatkan
 pasar tani, pasar malam, gerai makan, kedai runcit, pemborong, pasar 
raya dan pelbagai premis perniagaan," ujarnya.
Sharuddin memberitahu, peniaga atau pemborong tidak perlu menjadikan 
alasan pengumuman Bajet 2014 untuk menjual barang keperluan dengan harga
 yang lebih tinggi kerana tindakan terbabit menganiaya pengguna.
Beliau juga menasihati pengguna supaya membuat pilihan yang bijak 
ketika membeli barangan di kedai atau pasar raya agar tidak tertipu.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai melaporkan kepada Pejabat 
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri jika terdapat
 golongan tersebut yang menaikkan harga barang.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 11 Nov. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan