Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 14 November 2013

Skuad Kelantan belum hancur - Annuar Musa

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa (gambar) melaungkan keyakinan skuad The Red Warriors (TRW) pada musim hadapan bakal tampil lebih menyengat dalam kancah saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2014.

Jelas supremo bola sepak Kelantan itu, walaupun hampir 60 peratus pemain utama berhijrah ke pasukan lain pada musim hadapan, beliau tetap berkeyakinan TRW mampu memberi cabaran kepada mana-mana pasukan.

“Ramai yang merasakan dengan keluarnya ramai pemain Kelantan termasuk Dickson Nwakaeme dan Bojan Hodak sudah tiada maka, hancurlah TRW.

“Sesiapa yang  nak keluar kita tak dapat menghalangnya, namun tidak semestinya kita ranap begitu sahaja. Saya tetap berusaha dengan kudrat yang ada untuk membina pasukan  baru yang mampu memberi cabaran kepada mana-mana jua pasukan,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya semalam.

Difahamkan pemain bakal berhijrah musim depan kebanyakannya adalah tonggak penting dalam pasukan dan banyak membantu TRW menjulang pelbagai kejuaraan sebelum ini.

Antara tonggak utama yang telah mengesahkan meninggalkan kem ‘Gomo Kelate Gomo’ ialah Daudsu Jamaluddin, S Subramaniam, Azizi Mat Rose dan Shakir Shaari memilih haluan ke selatan tanah air dengan menyertai Johor Darul Takzim (JDT).

Indra Putra Mahyudin pula sah menyarung jersi Felda United sementara Rizal Fahmi Rosid dikhabarkan menyertai Selangor dan terbaru Norfarhan Mohammad ke T-Team.

Namun ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi (Piya) serta Khairul Fahmi Che Mat (Apek) menceriakan kem Kelantan apabila memilih untuk terus kekal bersama pasukan itu.

Sumber: Sinar Harian | Ultras | 14 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan