KOTA BHARU: Rakyat Kelantan digesa menjaga kebersihan di 
tempat-tempat tumpuan ramai termasuk tandas di masjid dalam usaha 
menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan 
Ibrahim berkata, beliau berasa hairan dengan sikap rakyat negeri ini 
yang kurang menjaga dan menekankan aspek kebersihan dalam kehidupan 
mereka, sedangkan perkara itu dituntut oleh agama.
"Pelbagai kempen diadakan bagi menggalakkan orang ramai menjaga 
kebersihan persekitaran bandar dan kampung, namun masih tidak berkesan,"
 katanya semasa berucap dalam Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil 
Kursus We Are The Host Siri 3/2013 di sini baru-baru ini.
Tengku Abdul Halim yang juga Penaung Persatuan Pelancongan Negeri 
Kelantan berkata, kerajaan telah mengisytiharkan 2014 sebagai Tahun 
Melawat Malaysia dan sebenarnya memberi peluang kepada rakyat Kelantan 
menambah pendapatan berikutan kedatangan lebih ramai pelancong.
Beliau berkata, pada tahun lalu sahaja, dianggarkan lebih 23 juta 
pelancong melawat negara ini termasuk Kelantan yang menerima kedatangan 
kira-kira 5.06 juta pengunjung.
"Kedatangan pengunjung itu telah memberi pendapatan kira-kira RM1.76 
bilion kepada negeri dan rakyat Kelantan. Dengan pelbagai kempen yang 
diadakan, pelancong tetap menjadikan Kelantan antara destinasi mereka," 
jelasnya.
"Justeru, dengan perolehan pendapatan yang lumayan itu, rakyat perlu 
memberi sokongan dalam memastikan kebersihan tempat-tempat yang menjadi 
tumpuan itu.
"Jangan jadikan sikap semula jadi tidak mementingkan kebersihan itu 
menjadi buah mulut dan menyekat kemasukan pelancong ke negeri ini," 
katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 11 Nov. 2013 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan