Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 26 November 2013

MAS pertimbang khidmat keempat Kuala Lumpur – Melbourne

MELBOURNE: Ketika penerbangan sulung perkhidmatan harian ketiga Malaysia Airlines (MAS) berlepas dari sini dengan muatan penuh pagi tadi, syarikat penerbangan nasional itu merancang bagi perkhidmatan harian keempatnya untuk menampung permintaan yang semakin meningkat daripada warga Australia.

Naib Presiden Kanan Serantau MAS, Lee Poh Kait, memberitahu satu perhimpunan besar di lapangan terbang di sini bahawa ketika mereka merayakan peristiwa yang mengujakan itu hari ini, syarikat itu membuat rancangan bagi peluasan perkhidmatan selanjutnya dari Malaysia ke Melbourne.

Lee berkata, perkhidmatan harian ketiga itu akan menambah kapasiti daripada 7,896 tempat duduk seminggu kepada 11,844 tempat duduk. "Kini kami akan menawarkan perkhidmatan pagi, tengah hari dan tengah malam dari sini ke Kuala Lumpur.

"Pelanggan kami akan mendapat manfaat dengan hubungan yang bertambah baik ke lebih 60 destinasi dalam rangkaian syarikat ini melalui hab kami di KLIA," tegas beliau.

Lee berkata, perkhidmatan tiga kali sehari itu akan memberikan lebih banyak peluang untuk memperkukuh lalu lintas pelancongan, perniagaan dan pendidikan antara kedua-dua negara.

"Melbourne sememangnya merupakan pasaran penting bagi kami dan ia adalah bandar pertama di Australia yang menawarkan 21 penerbangan setiap minggu.

"Kami telah mencatatkan peningkatan pelepasan dan pendaratan penumpang keseluruhan sebanyak 16.7 peratus dari Malaysia dan pertambahan penumpang antarabangsa ke Melbourne berbanding 2012," katanya.

Lee berkata, MAS telah melaburkan banyak wang untuk memenuhi permintaan pasaran  Australia dengan kumpulan pesawatnya yang serba moden.

"Perkhidmatan tambahan ini akan beroperasi dengan menggunakan pesawat inovatif A330-300 dan akan mempunyai 36 tempat duduk dalam kelas perniagaan dan 247 tempat duduk dalam kelas ekonomi," katanya.

Mulai Februari 2014, MAS akan mengendalikan sebanyak 74 penerbangan seminggu dari enam bandar ibu negeri di Australia.

Lee juga menyatakan penghargaan bagi usaha yang dijalankan oleh pengurus MAS di sini, Terence Swampallai, dan kakitangannya yang telah mempermudah perkhidmatan baharu ini.

Sambil berkata MAS adalah "sebahagian daripada keluarga kita sejak bertahun lamanya", Ketua Eksekutif Melbourne Airport, Chris Woodruff, berkata Melbourne adalah pasaran terbesar Australia bagi perjalanan di antara negara itu dan Malaysia.

Kata beliau, perkhidmatan ketiga ini bukan sahaja akan membawa lebih ramai penumpang ke Melbourne malah juga akan memberikan banyak pilihan kepada warga Victoria.

Sambil mengakui Malaysia Airlines sebagai satu daripada syarikat penerbangan utama dunia, Woodruff berkata beliau berbangga dapat bekerjasama dengan syarikat penerbangan nasional itu dan menanti-nanti kedatangan lebih ramai pelawat Malaysia ke Melbourne.

Konsul Jeneral Malaysia di sini, Datuk Dr Mohd Rameez Yahaya, berkata beliau berharap lebih ramai penduduk Melbourne akan membuat perjalanan ke Malaysia, bukan sahaja untuk bercuti, malah juga untuk merebut peluang perniagaan dan pelaburan. 

Sumber: BERNAMA | 22 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan