![]()  | 
| Kamal Azam Kamaruddin (kanan) melepaskan peserta Program Kayuhan Muhibah Tourism Malaysia Kelantan di Warung Pok Mat Pulau Pisang, Kuala Besar, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin. | 
 KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan 
digesa mengerakkan usaha membantu mempromosikan produk pelancongan di 
negeri ini bagi menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat 
Malaysia, tahun depan.
Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Kelantan, Kamal Azam Kamaruddin 
berkata, kerajaan negeri perlu memainkan peranan penting dalam 
membangunkan produk-produk pelancongan yang boleh dipromosikan sebagai 
tarikan pelancong nanti.
Katanya, ekoran usaha yang kurang dalam mempromosikan produk 
berkenaan menyebabkan orang ramai tidak mengetahui tentang kewujudan 
tempat-tempat menarik di negeri ini.
"Untuk mengangkat produk pelancongan ini, pelbagai perkara yang boleh
 kita lakukan termasuk memelihara serta membangunkan kawasan-kawasan 
yang berpotensi untuk dimajukan.
"Kerajaan negeri perlu memainkan peranan penting untuk bersama-sama 
membantu mempromosikan setiap produk yang ada di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kayuhan 
Muhibah Tourism Malaysia Kelantan di Warung Pok Mat Pulau Pisang, Kuala 
Besar di sini hari ini.
Program tersebut yang melibatkan kira-kira 46 peserta terdiri 
daripada agen-agen pelancongan di negeri ini bertujuan merapatkan 
jalinan yang sedia ada di kalangan mereka.
Tambah Kamal Azam, program ini adalah satu daripada usaha yang 
dijalankan oleh pihaknya sempena Tahun Melawat Malaysia tahun depan.
"Melalui program ini, kita dapat memberi pendedahan kepada mereka 
mengenai produk serta industri desa yang terdapat di negeri ini untuk 
dipromosikan kepada pengunjung.
"Kayuhan ini bermula di Warung Pok Mat Pulau Pisang, Kuala Besar yang
 terkenal sebagai produk makanan dan diteruskan ke Pantai Mek Mas serta 
Pantai Kundur yang sinonim dengan industri desa," katanya. 
Katanya lagi, industri desa seperti pembuatan wau, menconteng batik 
serta mengait jala merupakan salah satu tarikan utama yang perlu 
dimanfaatkan sebagai tarikan pelancongan.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 24 Nov. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan