Pasar Besar Siti Khadijah merupakan salah satu tempat tarikan pelancong di Kelantan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014. |
KOTA BHARU: Tourism Malaysia
menyasarkan kedatangan seramai enam juta pelancong ke negeri ini tahun
depan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia,
Noraida Ismail berkata, bagi mencapai sasaran itu, pihaknya akan
memberi fokus kepada mempromosi budaya, makanan dan tempat beli-belah
yang menarik di negeri itu.
"Kita akan memastikan mereka (pelancong) membeli-belah, mempelajari
budaya kita dan menikmati makanan yang tidak terdapat di negeri mereka
sendiri.
"Pada 1 Januari 2014, pihak kami akan mengadakan sambutan di dua
pintu masuk utama antarabangsa iaitu di Kompleks Kastam, Imigresen &
Kuarantin (CIQ) Rantau Panjang dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra
Pengkalan Chepa," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut Noraida, dua pintu masuk tersebut merupakan antara 37 pintu
masuk utama di negeri ini yang akan diberi fokus oleh pihaknya.
Tambah beliau, bagi memberi perspektif positif kepada pelancong
terhadap negeri Kelantan pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak
berkuasa tempatan dan kerajaan negeri.
Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, pihaknya juga akan mengedarkan pelekat kenderaan di jalan-jalan utama.
"Selain itu kita juga akan mengadakan pertandingan spot & win iaitu pemilik kenderaan yang mempunyai pelekat Tourism Malaysia yang bertuah akan memenangi hadiah istimewa," katanya.
Mengulas mengenai penerbangan terus dari Kota Bharu ke Kota Kinabalu,
Sabah yang dilancarkan syarikat penerbangan AirAsia baru-baru ini,
beliau berkata, ia akan merancakkan lagi sektor pelancongan di Kelantan.
"Kelantan juga mampu menjadi hab domestik bagi wilayah Pantai Timur
dengan penerbangan terus itu. Dijangka kedatangan pelancong asing ke
negeri ini juga akan meningkat berbanding tahun sebelumnya," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 20 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan