Radzi menunjukkan enjin motosikal RX-S miliknya yang masih dalam keadaan baik. |
PASIR PUTEH: Motosikal kelas sederhana popular sekitar awal 80-an kembali digemari ramai, bukan sahaja oleh golongan pertengahan usia, malah turut menarik minat generasi muda.
Pengerusi Kelab Retro Pasir Puteh (KRPP), Radzi Yamat berkata, kelab itu ditubuhkan bagi mengumpul seramai mungkin pemilik motosikal retro di daerah ini.
Katanya, ahli kelab menampilkan pelbagai jenis motosikal retro, antaranya Yamaha RX-S, Yamaha RD350 LC, Yamaha RX-Z, Suzuki GP125, Honda Raider HX 135, Suzuki GT2SO X7 dan Kawasaki AR 125.
“KRPP berjaya menarik minat generasi muda pelbagai kaum termasuk Cina dan Siam. Kami bukan sahaja berkongsi minat, malah berjaya memupuk semangat muhibah.
“Walaupun kelab ini baru tiga bulan ditubuhkan, sambutanpemilik motosikal retro amat baik dan saya yakin dapat mengumpul 100 ahli tahun depan," katanya pada program Santai KRPP yang mengumpulkan lebih 50 pemilik motosikal retro di Pantai Tok Bali, di sini, baru-baru ini.
Radzi berkata, meminati motosikal klasik terutama Yamaha RX-S tidak membebankan kerana alat ganti aslinya masih boleh diperoleh dengan mudah, namun ada jenama tertentu agak sukar diperoleh.
“Kami mengisi masa cuti dengan berkonvoi ke Terengganu (semalam) dan kami bersedia berkonvoi ke Manjung, Perak, bagi menyertai Karnival Pemotoran Malaysia di sana, Disember nanti.
“Kami berkumpul pada setiap Jumaat untuk berkongsi maklumat mengenai motosikal retro, selain merapatkan perhubungan ahli,” katanya sambil meminta orang ramai yang berminat menyertai KRPP menghubungi talian 014-5343199.
Radzi berkata, ahli kelab diminta tampil dengan pakaian retro ketika menyertai program besar bagi menampakkan kesesuaian penampilan dengan motosikal mereka.
"Sesetengah ahli mengeluarkan belanja tambahan untuk mendapatkan jaket jenama Bell, topi keledar Shoie dan kasut jenama Clark atau Aliph yang popular pada era 1980-an,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 16 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan