SYARIKAT penerbangan tambang murah (LCC) terkemuka di rantau Asia, AirAsia pada hari ini telah merintis laluan penerbangan Kota Bharu (KBR) - Kota Kinabalu (BKI).
Penerbangan sulung AK5345 dari BKI ke KBR telah berlepas dari Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 08:20 dan telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP) kira-kira jam 11:13 dengan membawa seramai 191 orang penumpang.
Acara sambutan penerbangan sulung telah diadakan di ruang legar utama LTSIP dengan meriahnya pada pagi tadi dengan kehadiran Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Timbalan Menteri Besar kelantan dan Pn. Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Malaysia. Penerbangan sulung AK5346 dari KBR ke BKI pula telah berlepas pada jam 12:03 dengan membawa seramai 142 orang penumpang.
Dalam pada itu, AirAsia merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan bagi laluan ini. Pengenalan laluan penerbangan ini sebenarnya mencipta sejarah tersendiri, iaitu laluan penerbangan pertama yang menghubungkan sebuah bandar raya terbesar di Pantai Timur dengan sebuah bandar raya yang kedua terbesar di Malaysia Timur.
Setakat ini, tiada penerbangan terus dari Kuantan dan Kuala Terengganu ke bandar-bandar raya di Malaysia Timur seperti Kuching, Kota Kinabalu, dan Miri.
Tarikan
Negeri-negeri Kelantan dan Sabah masing-masing mempunyai tarikan yang tersendiri yang boleh menarik kehadiran pelancong domestik mengunjungi antara satu sama lain. Antara tempat-tempat menarik di negeri Sabah ialah Taman Kinabalu, Kolam Air Panas Poring, Kundasang, Taman Tunku Abdul Rahman, Pasar Kraftangan Kota Kinabalu, Tebingan Kota Kinabalu (Kota Kinabalu Waterfront), Masjid Negeri Sabah, Menara Tun Mustapha, Pulau Sipadan, Pulau Mabul, Pulau Ligitan, dan banyak lagi.
Antara tempat-tempat menarik di negeri Kelantan pula ialah Zon Bersejarah Kota Bharu, Pasar Besar Siti Khadijah, Pantai Cahaya Bulan, Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor, Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, Zon Komersial Wakaf Che Yeh, Taman Negeri Gunung Stong, Taman Negara Kelantan, rumah-rumah ibadat agama Buddha di Tumpat dan Bachok, serta banyak lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan