Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 19 November 2013

MPKB-BRI perkenal khidmat kereta kuda

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) memperkenalkan perkhidmatan kereta kuda sebagai ikon serta tarikan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Setiausaha MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, perkhidmatan kereta kuda yang mendapat kerjasama daripada Setia Brother Sdn. Bhd. itu akan membawa pelancong tempatan mahupun luar untuk bersiar-siar di sekitar lokasi menarik yang terpilih.

"Perkhidmatan kereta kuda ini perlu dimanfaatkan sebagai tarikan pelancong kerana jumlah kuda berdaftar di negeri ini adalah 5,600 ekor berbanding negeri lain.

"Dengan cara ini mereka yang memiliki kuda juga mampu menjana pendapatan sampingan kerana ia dapat dikomersialkan sebagai warisan rakyat di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Rosnazli berkata, sebagai permulaan pihaknya akan menyediakan perkhidmatan tersebut di kawasan riadah seperti di Taman Tengku Anis, Tanjung Chat serta Lembah Sireh dan Dataran Muhammadi.

"Ketiga-tiga kawasan ini merupakan zon budaya bagi negeri ini yang perlu kita beri tumpuan bagi menarik pengunjung.

"Bayaran bagi perkhidmatan kereta kuda ini adalah RM15 dan mereka akan dibawa bersiar-siar selama 10 minit," kata Roznazli.

Tambahnya, perkhidmatan itu dijangka mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung kerana ia lebih kepada aktiviti bersama keluarga.

Sementara itu Pengurus Setia Brothers Sdn. Bhd., Mohd. Suhaimi Mansor berkata, pakej bersiar-siar dengan menaiki kereta kuda itu disediakan setiap hari termasuk cuti umum dari pukul 5 petang hingga 7 malam bermula kelmarin.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 18 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan