JOHOR BAHRU: Pemain tengah Kelantan Mohd Nor Farhan Muhammad (gambar) 
tidak jadi untuk menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk Liga 
Malaysia musim depan.
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) melalui satu kenyataan di 
sini pada Selasa berkata Mohd Nor Farhan membatalkan hasrat tersebut 
atas sebab-sebab peribadi dan juga keluarga. Beliau pada awalnya merupakan antara barisan pemain yang telah menandatangani perjanjian untuk bermain bersama pasukan JDT.
"Oleh kerana polisi PBNJ yang hanya fokus kepada para pemain yang 
benar-benar ingin berbakti kepada pasukan merah biru; dengan ini, PBNJ 
ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Nor Farhan dengan pasukan 
pilihannya," menurut kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan yang sama PBNJ membidas kenyataan bekas pengurus 
Safee Sali, Zakaria Ab. Rahim bahawa pemain itu wajar berhijrah ke kelab
 luar negara sekiranya sayangkan kariernya sebagai pemain bola sepak.
PBNJ mendakwa kenyataan yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa 
Melayu itu seolah-olah Zakaria tidak suka Safee beraksi bersama pasukan 
JDT.
Sementara itu, presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyokong 
kritikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin terhadap Persatuan 
Bolasepak Malaysia (FAM).
Tunku Ismail berkata, Khairy layak menyuarakan pendapat kerana selaku
 Menteri Belia dan Sukan beliau telah diberi mandat oleh kerajaan untuk 
mentadbir hala tuju sukan negara ini termasuk sukan bola sepak.
"Selain itu, beliau juga membuat teguran dengan niat yang baik, demi kemajuan sukan bola sepak tanah air," katanya. Khairy sebelum ini secara terbuka mengkritik badan induk bola sepak 
negara itu atas keprihatinannya yang mahu melihat sukan tersebut maju ke
 depan.
Kritikan tersebut bagaimanapun tidak disenangi sesetengah pihak 
termasuk bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang 
menyifatkan Khairy seolah-olah mahu melepaskan geram kepada individu 
tertentu dalam persatuan berkenaan.
Ekoran itu Khairy kemudiannya menyatakan beliau sudah bosan dengan 
FAM apabila tidak boleh menerima teguran daripada mana-mana pihak. 
Sumber: BERNAMA | 12 Nov. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan