Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 12 November 2013

Sultan Kelantan ucap terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan

Sultan Muhammad V ketika hadir pada Majlis Perbarisan Kehormatan Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan di Padang Merdeka, Kota Bharu sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-44 di sini hari ini.
KOTA BHARU: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang telah membina dan menyiapkan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra berharga RM180 juta menghubungkan Kota Bharu dengan Pasir Pekan, Tumpat, di sini, Oktober lepas.
  
Sultan Muhammad V turut bertitah memohon kerajaan Persekutuan untuk menimbang pembinaan sebuah lagi jambatan menghubungkan Kampung Cina, di sini, ke Palekbang, Tumpat bagi mengatasi kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.   

"Perkembangan mutakhir jambatan kedua Sultan Yahya Petra turut menggembirakan beta setelah ia dibuka sepenuhnya kepada lalu lintas pada pertengahan Oktober yang lalu.
  
"Di samping itu beta berharap Kerajaan Persekutuan dapat menimbang bagi membina sebuah lagi jambatan merentasi Sungai Kelantan yang menghubungkan Kampung Cina, Kota Baharu ke Palekbang, Tumpat," titah baginda.
  
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran negeri sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-44 di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Pada pengurniaan itu, seramai 252 daripada 644 penerima telah menerima gelaran kebesaran, darjah kebesaran, bintang, pingat, surat kepujian dan pelantikan Jaksa Pendamai.
  
"Beta juga mendapat maklum bahawa kerajaan negeri akan menyelaraskan projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai dengan pihak kerajaan Persekutuan. Harapan beta agar pembinaan jalan ini dapat direalisasikan dan disiapkan dengan kadar segera demi kepentingan  rakyat," titahnya.
  
Baginda bertitah, Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Persekutuan dapat bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membuat kajian mengenai cadangan pembangunan projek Empangan Nenggiri di Gua Musang yang dianggarkan dapat menjana tenaga elektrik sebanyak 180 megawatt dan 460 megawatt.   

"Beta mendapat maklum bahawa kerajaan negeri telah bersetuju pada dasarnya untuk pihak TNB membuat kajian awal cadangan pembangunan projek Empangan Nenggiri.
  
"Projek ini dapat memberi impak pertumbuhan ekonomi yang baik kepada negeri di samping dapat mengurangkan masalah bekalan air bagi keperluan penduduk dan sektor pertanian," titah baginda.
  
Selain itu, baginda bertitah jumlah pelaburan pada 2012 telah meningkat kepada RM3.4 bilion berbanding RM1.4 bilion pada 2011.
  
Baginda bertitah terdapat peningkatan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Kelantan yang mencatat pertumbuhan positif.    

"Ini menggambarkan perkembangan ekonomi negeri berada pada landasan yang baik, justeru sektor-sektor penyumbang kepada KDNK bagi Kelantan perlu diperkembang dan dipertingatkan lagi.
  
"Beta percaya tanah-tanah yang masih terbiar boleh dipulihkan melalui usaha komuniti setempat, dan ini akan menambahkan lagi hasil pengeluaran negeri," titah baginda.
  
Sempena tahun melawat Malaysia 2014 juga, baginda bertitah pihak berkuasa tempatan perlu melipatgandakan usaha dalam memastikan persekitaran bandar dan pekan serta kawasan pentadbiran masing-masing berada dalam keadaan yang bersih dan kondusif.
  
"Di samping itu kerajaan negeri perlu mengadakan prasarana dan persediaan yang secukupnya bagi mempromosikan keunikan negeri ini di dalam dan luar negara di dalam usaha untuk meningkatkan kedatangan pelancong, terutama dalam bidang seni dan budaya Kelantan yang mempunyai khazanah seni sejak dahulu lagi," titah baginda.

Sumber: BERNAMA | 11 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan