Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 19 November 2013

TMM 2014: Tourism Malaysia sasar enam juta pelancong lawat Kelantan

KOTA BHARU: Tourism Malaysia menyasarkan enam juta pelancong domestik dan antarabangsa akan mengunjungi Kelantan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia Nor Aida Ismail berkata pihaknya akan memberi fokus kepada budaya, makanan dan tempat membeli-belah yang menarik di negeri ini yang boleh dikunjungi pelancong.

"Kita juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri untuk menjaga kebersihan di negeri ini bagi memberi persepsi yang lebih positif kepada pelancong mengenai Kelantan," katanya ketika ditemui di sini.

Nor Aida berkata sambutan juga akan diadakan di dua pintu masuk antarabangsa utama iaitu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Rantau Panjang, Pasir Mas dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini pada 1 Jan depan.

Beliau berkata sambutan peringkat negeri itu dijadual dirasmikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob. "Dua pintu masuk itu antara 37 pintu masuk utama di negara ini yang akan diberi fokus oleh Tourism Malaysia sempena sambutan berkenaan," katanya.

Selain itu, beliau berkata Tourism Malaysia akan mengedarkan pelekat kenderaan di jalan utama di setiap negeri bagi memeriahkan lagi sambutan TMM 2014.

"Kita juga akan mengadakan pertandingan 'Spot & Win' dan pemilik kenderaan yang mempunyai pelekat TMM 2014 yang bertuah akan memenangi hadiah istimewa," katanya.

Mengulas mengenai penerbangan terus dari Kota Bharu ke Kota Kinabalu, Sabah yang dilancarkan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Bhd baru-baru ini, beliau berkata ia akan merancakkan lagi sektor pelancongan di Kelantan.

"Kelantan juga mampu menjadi hab domestik bagi wilayah Pantai Timur dengan penerbangan terus itu, dan dijangka kedatangan pelancong asing ke negeri ini juga akan meningkat kerana berdekatan dengan beberapa negara seperti Thailand, China dan Australia," katanya.

Sumber: BERNAMA | 19 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan