Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 14 November 2013

Kelantan sedia laksana hudud

Sultan Muhammad V melakukan gimik perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Kelantan sambil disaksikan oleh Tengku Muhammad Fa-iz Petra (kanan) dan Daud Muhammad (kiri) pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Kelantan di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU: Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan bersedia sepenuhnya melaksana hukum hudud atau Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 sekiranya Kerajaan Pas Kelantan mahu menguatkuasakan undang-undang tersebut dalam masa terdekat. 

Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad berkata, pihaknya mempunyai kemudahan mencukupi untuk melaksana hukum Islam itu. 

Walau bagaimanapun, kata beliau, Kerajaan Pas Kelantan perlu menambah jumlah hakim sekiranya hukum itu mahu dilaksanakan dalam masa terdekat. 

"Hukum hudud boleh dilaksanakan, undang-undang sudah ada, lantik hakim sahaja. Mahkamah Syariah sudah bersedia pada bila-bila masa, kita tidak ada halangan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Kelantan di Bandar Baru Tunjong di sini hari ini. Majlis tersebut disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Yang turut berangkat ke majlis itu ialah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra. Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Kompleks yang bernilai RM25.8 juta itu mula dibina pada 24 Mei 2010 menggunakan peruntukkan daripada Kerajaan Pusat. 

Pelaksanaan hukum hudud di negeri ini menjadi polemik berpanjangan kerana sering dibangkitkan oleh Pas terutama setiap kali menjelang pilihan raya umum. 

Walau bagaimanapun, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini, bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa menempelak Kerajaan Pas Kelantan kerana tidak berusaha melaksana hukum tersebut.

Hal ini kerana Kerajaan Pas Kelantan tidak menunjukkan usaha mengadakan prasarana terbaik selain menambah bilangan hakim serta pegawai yang terlibat untuk melaksanakan undang-undang syariah itu.Sementara itu, Daud berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan masalah kes tertunggak melibatkan Mahkamah Syariah di negeri ini. 

"Sasaran kita kes tidak lebih dari setahun, makna tidak ada kes tertunggak ialah kes selesai dalam masa setahun paling lama, ada kes boleh selesai dalam masa sehari sahaja. 

"Kita sudah memiliki kemudahan yang terbaik sekarang termasuk untuk melaksanakan hukum sebat sehingga 100 rotan mengikut syariah," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Dalam Negeri | 13 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan