![]()  | 
| Makhtar Mustapha ketika berucap merasmikan program Penjelasan Bajet 2014 dan GST kepada ketua jabatan dan pegawai agensi Kerajaan Persekutuan di Kota Bharu, Kelantan semalam. | 
KOTA BHARU: Sesi penerangan Bajet 2014 dan Cukai Barang dan 
Perkhidmatan (GST) akan diteruskan hingga ke peringkat akar umbi di 
seluruh kawasan Parlimen dan daerah negeri ini bagi membantu penduduk 
memahami pelaksanaannya.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk 
Makhtar Mustapha berkata, program penerangan secara bersiri itu 
khususnya mengenai GST adalah penting untuk menangani persepsi negatif 
yang sering dilemparkan kepada kerajaan.
Beliau berkata, program itu akan dikelolakan pihak Jabatan Penerangan
 Negeri Kelantan sebagai persediaan menjelang pelaksanaan GST pada April
 2015 nanti.
"Kita mahu memberi penerangan terperinci dalam bahasa yang mudah 
kepada rakyat kerana ramai yang masih keliru dan bimbang pelaksanaan GST
 akan menyebabkan harga barang semakin mahal.
"Penduduk Kelantan khususnya banyak dimomokkan dengan tanggapan 
negatif tentang segala perancangan dan projek yang kerajaan laksanakan, 
jadi sesi penerangan sebegini penting untuk menangani persepsi sebegitu.
"Kerajaan sebenarnya sentiasa berusaha keras memastikan kebajikan 
rakyat dalam segenap sudut termasuk mengenakan kadar cukai yang rendah 
kerana faedahnya rakyat dapat membeli barang dengan harga murah," 
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program 
Penjelasan Bajet 2014 dan GST kepada ketua jabatan dan pegawai agensi 
kerajaan Persekutuan di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Makhtar memberitahu, kerajaan dalam Bajet 
2014 memperuntukkan kira-kira RM2 bilion untuk pelaksanaan 163 projek di
 negeri Kelantan termasuk projek sambungan dari Rancangan Malaysia Ke-10
 (RMK-10) dan antara projek besar adalah menaiktaraf Hospital Kuala Krai
 dan pembinaan Hospital Bachok di Tangok, Bachok.
Beliau berharap kesemua 70,000 kakitangan Kerajaan Persekutuan di 
negeri ini dapat menjadi kader yang efektif dalam menyampaikan maklumat 
tentang inisiatif kerajaan kepada masyarakat.
"Kita sentiasa berperang dengan persepsi contohnya semasa pembinaan 
Jambatan Sultan Yahya Petra 2 yang didakwa retak, bocor dan sebagainya 
hanya kerana pihak tertentu mencari kesalahan kecil untuk membangkitkan 
kemarahan rakyat.
"Namun, kita gembira kerana jambatan dengan kos RM180 juta itu sudah 
siap dan kita sendiri dapat lihat bagaimana ia memberi manfaat yang amat
 besar khususnya kepada penduduk daerah Pasir Mas dan Tumpat," katanya.
Sementara itu, salah seorang penceramah, Penolong Kanan Pengarah 
Kastam II, Raizam Mustapha berkata, pelaksanaan GST adalah satu 
penambahbaikan yang amat penting kepada sistem percukaian negara yang 
bakal memberi manfaat kepada semua golongan termasuk pedagang dan 
pengguna.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Kelantan | 28 Nov. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan