![]()  | 
| Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra (kanan) bersalaman dengan pelajar Yayasan Islam Kelantan dalam Majlis Pengurniaan Biasiswa Kecil Maik di Kota Bharu, Kelantan, semalam. | 
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat 
Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk 
membantu pelajar di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada 
tahun ini. 
Pengarah YIK, Tengku Azmi Tengku Jaafar berkata, peruntukkan yang 
disalurkan melalui biasiswa kecil itu telah memberi manfaat kepada 7,094
 pelajar di negeri ini. 
Beliau berkata, jumlah peruntukkan tersebut meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM970,000. "Bantuan kepada pelajar ini meningkat pada setiap tahun, pada tahun 
lepas seramai 7,014 pelajar sahaja menerima biasiswa ini. Sumbangan ini 
amat penting bagi menampung kos sara hidup pelajar yang meningkat pada 
setiap tahun," katanya ketika berucap dalam Majlis Pengurniaan Biasiswa 
Kecil MAIK di sini hari ini. 
Majlis tersebut disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan yang juga Yang Dipertua MAIK, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra. 
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Pengerusi 
Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, 
Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan. 
Tengku Azmi berkata, YIK akan terus membantu dan bekerja keras untuk meningkatkan taraf pendidikan rakyat di negeri ini. 
"Hasil sumbangan dan perhatian yang diberikan oleh Tuanku Tengku 
Mahkota Kelantan taraf pendidikan di negeri meningkat pada setiap tahun. 
"Pada tahun lepas, seramai 312 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) 
mendapat keputusan 9A dan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 
mencatatkan keputusan 12A," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 12 Nov. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan