Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 13 November 2013

PAS Johor sokong ura-ura cuti mingguan Jumaat

Masjid Negeri Sultan Abu Bakar di bandar raya Johor Bahru, Johor.
KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Negeri Johor menyokong penuh ura-ura Kerajaan Negeri Johor untuk mengembalikan semula cuti mingguan negeri kepada hari Jumaat dan Sabtu mulai Januari 2014.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Mazlan Aliman berkata, sejarah hitam cuti mingguan negeri di tukar dari Jumaat kepada Ahad dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yasin sewaktu menjawat Menteri Besar sekitar tahun 1994 bagi kononnya meningkatkan ekonomi dan pelaburan asing ke Johor.

"Pertukaran cuti tersebut telah menimbulkan kemarahan masyarakat Islam Johor. Ia turut diulas melalui teks khutbah hari Jumaat di masjid-masjid seluruh Johor. Bukan itu sahaja, wujud bantahan dan protes yang agak lama dari seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira idealogi politik," kata Mazlan dalam entri terbaru di laman Facebooknya.

Beliau menambah, meskipun bantahan dan protes dilakukan rakyat, Muhyiddin dan Kerajaan Negeri Johor tetap berkeras.

Kesan pertukaran cuti mingguan itu, ujarnya mengakibatkan kesukaran kepada para pekerja beragama  Islam termasuk kakitangan kerajaan yang terpaksa bergegas ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat manakala pekerja sektor swasta berdepan kerenah sesetengah majikan yang enggan membenarkan mereka menunaikan solat Jumaat dengan pelbagai alasan termasuk menjejaskan produktiviti.

 "Lebih memburukkan keadaan, para remaja telah mengambil peluang waktu solat Jumaat untuk lepak dan berpeleseran di kompleks membeli belah, kafe dan lokasi tertentu dan bukannya mengimarahkan masjid untuk mendengar khutbah dan Solat Jumaat.  Ia meningkatkan gejala sosial dalam masyarakat," ujarnya.

Beliau berharap berita yang tersebar di kalangan rakyat itu menjadi kenyataan dan PAS Johor yakin dan percaya kemuliaan dan keberkatan hari Jumaat, penghulu segala hari; bakal memberi sinar baharu dan keselesaan kepada rakyat dan ekonomi negeri terus berkembang.

"Bagi masyarakat nonmuslim, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana ia adalah langkah mengembalikan semula cuti mingguan yang telah dipraktikkan sekian lama sebelum ini.

"Kehidupan rakyat berbagai kaum berjalan seperti biasa, meskipun berlaku perubahan cuti dan pindaan-pindaan tertentu dalam urusan pentadbiran dan ekonomi. Yang penting, persefahaman rakyat tidak akan terjejas sepertimana cuti mingguan yang diamalkan di Kelantan, Kedah dan Terengganu," ujarnya.

Sumber: Harakah Daily | 12 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan