![]()  | 
| Rosnan (tengah) bersama para pelakon teater Makyung Anak Raja Gondang. | 
KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Sofia Jane mengakui sukar untuk mendalami dialek Kelantan bagi pementasan Makyung Kesaktian Anak Raja Gondang yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 29 November hingga 2 Disember depan.
Sofia bagaimanapun berkata, selepas menjalani sesi latihan dan tunjuk
 ajar daripada pengarah Fatimah Abdullah dia semakin mahir bercakap 
dalam dialek tersebut.
"Dialek Kelantan memang sukar dan tidak mudah untuk mendalaminya tanpa bantuan pakar. "Mujur Fatimah tidak jemu-jemu mengajar bagi memastikan sebutan dan 
gaya percakapan dialek itu dibuat dengan betul dan saya semakin berasa 
yakin," katanya kepada mStar Online.
Sofia ditemui pada sidang media kedua pementasan itu yang diadakan di Lambang Sari, Istana Budaya di sini pada Khamis. Selain Sofia, ia bakal menampilkan barisan pelakon seperti Rosnan Rahman, Vanidah Imran, Sabri Yunus dan Sufian Bujang.
![]()  | 
| Vanidah (kiri) dan Sofia Jane. | 
Dalam perkembangan sama, Sofia berkata, dia bersetuju untuk terlibat 
dalam persembahan itu kerana ingin  melakukan kelainan dalam kerjaya 
seninya.
Jelas Sofia, walaupun sukar namun dia tetap komited untuk mempelajari
 selok-belok mengenai makyung yang semakin dilupakan oleh generasi muda.
"Makyung adalah warisan negara kita dan penglibatan saya dalam 
pementasan ini adalah sebagai satu tanggungjawab sosial bagi memastikan 
ia akan terus kekal sebagai satu seni kebanggaan masyarakat Malaysia," 
ujarnya.
Sementara itu, Vanidah ketika ditemui berkata, selain perlu mahir 
dalam dialek Kelantan menerusi pementasan ini juga dia perlu menari dan 
menyanyi sebuah lagu. Kata Vanidah, walaupun bukan bergelar penyanyi namun dia mengakui teruja untuk menyanyi pada pementasan itu nanti.
"Setiap hari saya akan berlatih dan akan mendengar lagu yang bakal 
didendangkan setiap masa jika berpeluang untuk memantapkan vokal dan 
sebutan. "Ini kerana lagu dalam dialek Kelantan sangat unik dan mempunyai lenggok tersendiri membuatkan ia tambah istimewa," jelasnya.
Dalam pada itu, Fatimah memberitahu walaupun makyung itu nanti akan 
diubah dari segi teknikal namun keaslian jalan cerita dan konsep asal 
persembahan akan dikekalkan tanpa sebarang perubahan.
Malah dia sangat berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh dua 
pelakonnya iaitu Sofia dan Vanidah yang cepat menghayati dialek dan 
lenggok bahasa Kelantan.
"Ini adalah pementasan makyung yang terbesar pernah saya arahkan dan 
arah tuju persembahan setakat ini berjalan lancar ditambah dengan 
kredibiliti penari dan pelakon budaya Istana Budaya cukup mantap," 
ujarnya.
Selain aspek penceritaan, Fatimah berkata, alat-alat muzik yang 
digunakan untuk menghidupkan persembahan makyung  seperti rebab, gendang
 ibu, gendang anak dan sepasang tetawak (gong), serunai dan geduk turut 
diberi penekanan supaya persembahan lebih mantap.
Makyung Kesaktian Anak Raja Gondang mengisahkan pengembaraan Anak Raja Gondang yang akhirnya sampai ke Negeri Hampa Beranyut. Sebelum pengembaraan, baginda telah berpesan kepada bondanya, Puteri 
Gak Petera tentang petanda selasih yang ditanam di dalam pasu tiang seri
 istana iaitu jika pohon selasih itu layu di sebelah kiri bermakna dia 
dalam kesusahan dan sekiranya segar maka dia dalam kesenangan.
Maka bermulalah pengembaraan Anak Raja Gondang di mana dia telah 
bertemu dengan tujuh orang puteri ketika mereka bersiram di Kolam 
Banjaran. Anak Raja Gondang tatkala bertemu telah jatuh hati dengan 
Puteri Bongsu yang telah pun bertunang.
Tiket menyaksikan pementasan ini berharga RM253, RM103, RM73, RM53 dan RM33. Ia boleh didapati di AirAsiaRedTic.com atau di kaunter BoxOffice, Istana Budaya.
Sumber: mStar Online | 22 Nov. 2013 



Tiada ulasan:
Catat Ulasan