![]()  | 
| Kamaruddin Ismail menunjukkan buku Resipi Warisan Che Siti Wan Kembang di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini. | 
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat
 Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerbitkan buku resipi mengandungi 101
 jenis makanan warisan di negeri ini. 
Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan buku tersebut, Datuk Nik Kamaruddin Ismail berkata, inisiatif menerbitkan buku yang berjudul Resipi Warisan Cik Siti Wan Kembang itu adalah bagi memastikan resipi makanan warisan turun-temurun itu tidak hilang ditelan zaman.
Nik Kamaruddin berkata, buku resipi setebal 229 muka surat itu 
mengandungi lima bahagian iaitu melibatkan bahagian makanan utama, 
lauk-pauk, kerabu, kuih-muih dan makanan kering.
"Makanan utama itu termasuk resipi nasi tumpang, laksa dan laksam 
manakala bahagian lauk pauk pula terdapat 29 resipi tradisi yang 
melibatkan masakan mengunakan daging, ayam serta ikan mentah.
"Selain itu terdapat 46 resipi kuih muih tradisi termasuk Akok, Apam 
Bakar, Belebat, Tonyoh, Tahi Itik, Putu Halba, Jala Mas, Tepung Pasung 
dan Tepung Serunai turut dimuatkan di dalam buku berkenaan.
"Sebanyak 101 resipi makanan warisan negeri ini telah dikumpulkan 
daripada kalangan rakyat di negeri ini yang masih menyimpan resipi 
tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita sempena pelancaran buku Resipi Cik Siti Wan Kembang di Booth @ Raudah, Tapak Raudah Aidiladha TV9, Dataran Sireh di sini baru-baru ini.
Majlis pelancaran buku berkenaan disempurnakan oleh Tengku Mahkota 
Kelantan yang juga merupakan Yang Dipertua MAIK, Dr. Tengku Muhammad 
Fa-iz Petra. 
Selain itu tambahnya, usaha berkenaan juga bertujuan memulihara 
budaya dan khazanah di negeri ini dan dapat menjadi bahan rujukan kepada
 generasi sekarang dan masa depan.
"Dengan usaha yang dilakukan oleh MAIK dalam tempoh setahun ini, 
resipi-resipi tersebut telah berjaya dikumpulkan dan dijadikan buku.
"Diharapkan orang ramai tidak melepaskan peluang membeli buku resipi warisan itu yang dijual dengan harga RM100," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 22 Nov. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan