KOTA BHARU: Selepas kehilangan lapan tonggak, pasukan The Red Warriors terus diuji apabila kehilangan bintang import, Dickson Nwakaeme (gambar) yang tidak akan bersama pada musim depan.
Perkara tersebut disahkan oleh Penasihat Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang mengesahkan pihaknya bersetuju
melepaskan penyerang Nigeria itu.
Menurut Annuar, keputusan tersebut dibuat selepas KAFA mengambil kira
tuntutan gaji dua kali ganda yang dibuat oleh pemain tersebut.
"Saya setuju melepaskan Dickson yang mahukan gaji berganda
(berbanding musim ini) melebih RM1 juta. Bagaimanapun, pemain bijak
menggelecek dan mampu mengkucar-kacir barisan pertahanan lawan bakal
diganti dengan pemain yang mempunyai rekod penyudah yang baik," katanya
dalam Facebook beliau, semalam.
Antara pemain yang dikaitkan bakal mengisi kekosongan pemain tersebut
ialah pemenang anugerah kasut emas musim 2012 Francis Forkey Doe. Penyerang kelahiran Liberia itu dijangka mampu mempertajamkan lagi
jentera serangan Kelantan yang telah kehilangan beberapa pemain bintang.
Sebelum ini, Kelantan dilaporkan kehilangan lapan pemain tonggak
iaitu Mohd. Norfahan Muhammad atau Ben 10 yang akan berhijrah ke
Terengganu.
Selain Norfarhan, Kelantan turut kehilangan beberapa tonggak lain
yang mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan berkenaan musim
hadapan iaitu Indra Putra Mahyuddin, Azizi Mat Rose, S. Subramaniam,
Mohd. Daudsu Jamaluddin, Mohd. Shakir Shaari, Mohd. Rizal Fahmi Rosid
dan Mohd. Izuan Solahuddin.
Kelantan dilaporkan turut kehilangan ketua jurulatihnya, Bojan Hodak
setelah pengendali dari Croatia itu memutuskan untuk tidak menyambung
kontrak pada musim depan.
Dalam pada itu, bagi meredakan keresahan penyokong The Red Warriors,
Annuar memberi jaminan beliau akan terus memastikan Kelantan terus
kekal sebagai pasukan digeruni dalam liga bola sepak tempatan.
Sumber: Utusan Malaysia | Sukan | 14 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan