![]()  | 
| Seorang penduduk menunjukkan jarak belakang rumahnya yang semakin hampir dengan sungai akibat runtuhan tebing Sungai Bukit Abal, di Pasir Puteh, Kelantan, semalam. | 
 PASIR PUTEH: Kira-kira 10 keluarga yang
 tinggal di pinggir tebing Sungai Bukit Abal, dekat sini, bimbang dengan
 tahap keselamatan mereka apabila diancam tebing runtuh terutama 
sepanjang musim banjir pada penghujung tahun ini.
Biarpun benteng batu telah dibina di tebing tersebut namun ia tidak 
memberikan sebarang kesan kerana arus air yang deras setiap kali 
menjelang musim tersebut. 
Seorang penduduk, Zabidah Mat, 66, berkata, kesan banjir tahun
 lalu turut menyebabkan tebing terus terhakis berikutan arus air yang 
deras malah bakul batu yang dibina turut mendap ditelan bumi. 
Katanya, tahun ini kebimbangan yang sama menghantui mereka apabila 
runtuhan tebing menyebabkan jarak rumah mereka dengan laluan air semakin
 hampir.
"Nak pindahkan rumah ke kawasan yang lebih selamat, kami tidak 
berkemampuan apa lagi untuk membina benteng sendiri yang belum tentu 
kukuh untuk bertahan dengan arus deras musim banjir.
"Kami hanya mampu bertahan dan sentiasa berdoa agar tidak ditimpa 
musibah setiap kali menjelangnya musim banjir," katanya ketika ditemui 
di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Tuan Ismail Tuan Merah, 63, berkata, 
sebelum ini beliau pernah mengeluarkan perbelanjaan sendiri berjumlah 
RM6,000 untuk membuat benteng bagi mengelakkan kediamannya runtuh dan 
dihayutkan arus sungai berkenaan.
Katanya, namun usaha tersebut sia-sia kerana arus deras telah meruntuhkan beteng tersebut pada tahun lalu. "Keadaan sungai yang berliku menyebabkan arus deras menerjah tebing. 
Keadaan ini memang membimbangkan kami. Kami berterima kasih kepada pihak
 yang berwajib yang membantu menyelesaikan masalah ini. Apa yang kami 
boleh buat apabila keadaan yang sama sentiasa berulang.
"Hanya satu kaedah yang difikirkan boleh menyelesaikan masalah ini 
iaitu membangunkan semula struktur sungai menjadi lurus ke muara," 
katanya.
Abdul Rahman Zakaria, 59, pula berkata, penduduk terpaksa meletakkan 
guni pasir sebagai benteng sementara bagi mengelakkan hakisan dan 
kebanyakannya khuatir rumah mereka boleh hanyut pada bila-bila masa.
Tambahnya, rumah yang didiami keluarganya sejak 40 tahun lalu 
benar-benar terancam kerana hakisan berlaku hanya kira-kira 0.2 meter 
dari kediamannya terutama pada bahagian dapur. 
"Penduduk keresahan setiap kali hujan lebat kerana ia menjadi punca utama arus deras yang menghakis tebing. "Kami juga berasa tidak selamat untuk berada di dalam rumah sendiri," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 17 Nov. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan