Anizam (dua dari kiri) bersama Mohd Amar dan Aireen menyambut ketibaan penumpang penerbangan pertama dari Kota Kinabalu ke Kota Bharu semalam. |
KOTA BHARU: Kerajaan negeri berharap kelulusan permohonan pelaksanaan naik taraf landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dapat dipertimbangkan Kerajaan Pusat secepat mungkin.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, langkah itu untuk menjadikan lapangan terbang tersebut bertaraf antarabangsa, sekali gus membuka peluang kepada pelancong luar datang ke Kelantan.
“Kita telah hantar surat rasmi kepada Kerajaan Persekutuan. Kos yang diperlukan juga tidak banyak, lebih kurang RM200 juta sahaja. Kita harap permohonan dipertimbangkan pihak berkenaan.
“Kuantan sudah lulus, sedangkan jumlah kekerapan penerbangan antara Kuantan dan Kota Bharu sangat berbeza, malah kita mendapat permintaan lebih tinggi. Justeru, saya amat berharap perkara ini dipercepatkan. Pada masa sama, kita menggalakkan industri pelancongan negeri yang membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya kepada media pada Majlis Sambutan Penerbangan Sulung AirAsia Kota Kinabalu-Kota Bharu, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Datuk Md Anizam Abdul Rahman; Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia, Nor Aida Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar.
Mohd Amar berkata, kerajaan negeri juga turut mengalu-alukan keputusan AirAsia Berhad meneroka lebih luas peluang penerbangan di Kelantan. "Ia akan membantu memudahkan urusan anak Kelantan yang berkhidmat di Sabah pulang ke kampung.
“Kerajaan negeri juga berharap cadangan AirAsia jadikan Kelantan sebagai salah satu hab pelancongan disegerakan kerana ia membantu rakyat terutama dari segi perkembangan ekonomi dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Aireen berkata, ia langkah pertama pihaknya menghubungkan Malaysia Timur dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
“Kami berharap dengan penerbangan terus ini memberi lebih manfaat kepada peningkatan jumlah pelancong dan ekonomi negeri ini secara tidak langsung, selain membantu rakyat Kelantan yang berada di luar untuk terus ke Kota Bharu,” katanya.
Penerbangan sulung AK5345 itu turut disertai Pengerusi Sabah Tourism Board, Datuk Seri Tengku Zainal Adlin Tengku Mahmood bersama wakil media Sabah.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 17 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan