![]()  | 
| Sebahagian penduduk menjalankan gotong-royong menghapus tikus yang mengancam hasil tanaman padi di bendang Kampung Berangan dan Lepah, Pasir Puteh semalam. | 
PASIR PUTEH: Sebanyak 83 petani di 
Kampung Berangan dan Kampung Lepah dekat sini, mendakwa kerugian lebih 
RM2 juta berikutan hasil tanaman padi yang diusahakan di kawasan seluas 
202 hektar musnah diserang tikus hutan sebelum sempat dituai.
Ketua Unit Penanam Padi Kampung Berangan, Nik Yahya Nik Mustafa berkata,
 sepanjang tahun ini kesemua petani di dua kawasan terbabit iaitu 53 
orang di Kampung Berangan dan 30 orang di Kampung Lepah, berputih mata 
apabila gagal menikmati hasil tanaman yang diusahakan sepanjang dua 
musim lalu.
Beliau berkata, selain tidak mendapat sebarang hasil petani juga 
terpaksa menanggung bebanan hutang bagi perbelanjaan pengurusan bendang,
 membeli benih padi, bekalan racun perosak, membajak dan proses 
penanaman semula.
"Kini kami berdepan lagi dengan kerugian melebihi RM1 juta kerana 
hampir sebahagian tanaman yang diusahakan pada musim ketiga ini masih 
diserang ribuan ekor tikus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis 
gotong-royong membersih semak dan tali air serta membunuh tikus di 
sekitar kawasan berkenaan yang disertai lebih 50 petani setempat dekat 
sini hari ini.
Gotong-royong itu dijalankan setiap hari secara bergilir-gilir sejak 
dua minggu lalu yang mana setakat ini sebanyak 14,000 ekor tikus berjaya
 dibunuh.
Petani, Azman Ibrahim, 43, berkata, penduduk terpaksa 
mengambil langkah sendiri untuk membersihkan semak dan tali air kerana 
kawasan berkenaan menjadi tempat ribuan ekor tikus membiak.
"Kami telah melakukan pelbagai kaedah untuk menghalau tikus termasuk 
menggunakan racun haiwan, mencurahkan minyak pelincir yang sudah 
digunakan (minyak hitam) di kawasan semak dan pinggir sawah namun tidak 
berkesan.
"Pendekatan terakhir, kami sepakat mengumpul dana untuk menggunakan 
jentera bajak bagi memusnahkan lubang tikus, membersihkan laluan tali 
air dengan mesin rumput dan masing-masing memegang sebatang kayu untuk 
membunuh tikus," katanya yang terpaksa menanggung kerugian apabila 7.3 
hektar tanaman padinya gagal dituai tahun ini. 
Azman mendakwa, sepanjang tempoh berkenaan dia sepatutnya memperolehi
 pendapatan kasar melebihi RM72,000, namun sebaliknya terpaksa 
menanggung hutang input pertanian berjumlah lebih RM10,000.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keamanan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Berangan, Nik Pa Nik Soh
 yang turut mengusahakan tanaman padi seluas 20.2 hektar berkata, petani
 terpaksa berhutang dengan kadar paling minimum sebanyak RM7,000 dengan 
sebuah syarikat yang menyediakan kredit pembelian benih padi bermutu 
tinggi.
"Kami sentiasa berusaha membajak semula demi kelangsungan untuk 
mencari sumber rezeki. Hal ini telah dimaklumkan kepada pihak yang 
terlibat termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) untuk 
mendapatkan resit agihan baja subsidi yang telah diluluskan baru-baru 
ini.
"Walau bagaimanapun, petani di dua kawasan ini terkilan apabila tiada
 agensi pertanian yang melawat atau bertanya khabar mengenai masalah 
ini. Apa lagi untuk menjenguk gotong-royong menghapus tikus yang 
diadakan setiap hari oleh penduduk dengan mengumpul kewangan dan 
perbelanjaan sendiri bagi menjayakannya," katanya.
Ketua Blok Penanaman Padi di Kampung Lepah, Che Satar Nor yang
 mengusahakan 10.5 hektar tanaman padi pula mendakwa, modal pengurusan 
bagi penanaman paling kurang mencecah RM10,000 setiap musim boleh 
menyebabkan petani dibebani hutang dan tekanan kemiskinan hidup.
"Apa lagi kemusnahan padi yang diancam oleh tikus tidak disenaraikan 
sebagai kerosakan yang membolehkan kami diberi pembelaan menerusi 
bantuan Wang Ihsan," katanya. 
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 13 Nov. 2013 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan