Hospital Gua Musang bernilai hampir RM60 juta yang siap dibina pada 2010 memerlukan doktor pakar yang bertugas secara tetap. |
GUA MUSANG: Penduduk daerah ini merayu kepada Kementerian
Kesihatan supaya menempatkan doktor pakar dalam pelbagai bidang di
Hospital Gua Musang (HGM).
Ketiadaan doktor pakar menyebabkan penduduk terpaksa mendapatkan
rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) Kota Bharu yang
terletak kira-kira 200 kilometer (km) dan Hospital Kuala Krai (lebih 100
km) serta mengambil masa lebih dua jam untuk ke sana.
Mereka berpendapat perkhidmatan tersebut harus diwujudkan segera di
hospital itu kerana Gua Musang adalah daerah terbesar di negeri ini dan
mempunyai lebih 100,000 penduduk.
Seorang penduduk, Noor Juliana Yasin, 36, berkata, dia kecewa apabila
ketika pesakit memerlukan rawatan kecemasan dan kritikal, tiada doktor
pakar yang dapat memberikan perkhidmatan.
"Pesakit hanya boleh mendapatkan rawatan awal di HGM dan terpaksa
dirujuk ke Hospital Kuala Krai (HKK) yang mengambil masa dua jam
perjalanan untuk rawatan lanjut.
"HGM amat penting kerana ia bukan sahaja digunakan oleh rakyat Gua
Musang, malah penduduk Merapoh, Pahang yang bersempadan dengan daerah
ini turut menggunakan perkhidmatan hospital ini.
"Masalah tersebut sangat merisaukan apabila kemungkinan pesakit
berhadapan dengan risiko kematian jika lambat menerima rawatan khususnya
rawatan membabitkan doktor pakar," katanya kepada Utusan Malaysia di
sini hari ini.
Untuk rekod, HGM menelan belanja hampir RM60 Juta dan siap dibina pada 2010. Seorang lagi penduduk, Nor Risma Ramli, 27, berkata, doktor pakar
perlu ditempatkan di HGM secepat mungkin kerana kes kecemasan seperti
kemalangan jalan raya sering berlaku di kawasan tersebut kerana daerah
itu merupakan laluan utama ke Kuala Lumpur.
"Gua Musang merupakan kawasan yang kerap kali berlaku kemalangan dan
pesakit yang kritikal terpaksa dibawa ke HKK yang jauh jaraknya.
"Kami merayu kepada pihak berwajib supaya menempatkan doktor pakar di
sini agar masalah yang dihadapi oleh penduduk dapat diselesaikan dalam
kadar segera, katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad
Mahir ketika diminta mengulas mengenai masalah tersebut berkata,
pihaknya sememangnya merancang untuk menempatkan doktor pakar di HGM.
"Status HGM bukan hospital pakar, tetapi buat masa ini kita ada
lawatan pakar dari Hospital Kuala Krai iaitu bergantung kepada jumlah
pesakit yang ingin dirawat.
"Jadual kehadiran doktor pakar ada yang seminggu sekali dan sebulan
sekali, jadi status HGM sekarang adalah sebuah hospital yang dilawati
oleh doktor pakar," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 23 Jun 2014 | Terbitan 24 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan