KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) Kelantan kesal dengan
kerajaan Pas Kelantan kerana gagal menangani permasalahan dadah di
negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad
(gambar) berkata, kerajaan negeri tidak memainkan peranan dengan berkesan dalam
menyediakan program-program yang lebih efektif dalam usaha menyelesaikan
masalah tersebut.
"Mereka (Kerajaan Pas Kelantan) merencanakan banyak program tetapi
adakah program yang mereka jalankan itu berjaya membendung masalah ini
(dadah).
"Mereka sepatutnya memperbanyak program-program yang lebih spesifik
tentang dadah ini supaya mampu membentuk akhlak masyarakat di Kelantan,"
katanya kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)
Kelantan di sini hari ini.
Tambah Md. Alwi yang juga merupakan Ketua Penerangan UMNO negeri,
kebanyakan program yang dianjurkan Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini
langsung tidak menyentuh mengenai sebarang aktiviti pencegahan dadah.
Kata Md. Alwi, program yang dianjurkan kerajaan negeri lebih kepada
suka-suka langsung tidak membantu dalam usaha menangani masalah ini.
"Kebanyakan gejala sosial di negeri ini melibatkan dadah. Baru-baru
ini dua remaja yang dirogol 38 individu, kebanyakan pelaku adalah remaja
bawah umur yang positif dadah," katanya.
Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Dr. Ramli Mat ketika menjawab
soalan Md. Alwi berkata, masalah dadah di negeri ini adalah situasi
global yang berlaku di mana-mana negara seluruh dunia.
Katanya, masalah tersebut berlaku di seluruh negara dan menjadi
tanggungjawab bersama kerajaan Persekutuan dan negeri menanganinya.
Selain itu katanya, permasalahan dadah ini juga berpunca daripada
pengaruh rakan-rakan dan juga siaran televisyen yang turut mempengaruhi
tindakan pelaku mengambil dadah.
"Masalah dadah yang didakwa serius di negeri ini adalah situasi
global yang dihadapi oleh mana-mana negara di dunia ini," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 25 Jun 2014 | Terbitan 26 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan