Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 20 Jun 2014

LKTN sasar RM2 juta jualan kenaf

Pegawai LKTN negeri, Mohd. Azizi Awang (kiri) melihat tanaman kenaf yang diusahakan petani semasa melawat projek tanaman kenaf di Kampung Hutan Pasir, semalam.
KOTA BHARU: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menyasarkan sebanyak RM2 juta hasil jualan tanaman kenaf di Kelantan pada tahun ini.

Pegawai LKTN negeri, Mohd. Azizi Awang, berkata, pihaknya juga menyasarkan pengeluaran sebanyak 4,060 tan kenaf pada tahun ini dan sedang berusaha ke arah itu.

“Saya yakin sasaran tersebut dapat dicapai memandangkan penerimaan terhadap tanaman kenaf kini semakin meningkat terutamanya di kawasan penanaman padi yang tidak mendapat bekalan air.

“Pada tahun lepas, sebanyak 1.6 juta nilai jualan dan 3,105 tan kenaf dapat dihasilkan,” katanya selepas melawat projek tanaman kenaf di Kampung Hutan Pasir di sini semalam.

Mohd. Azizi berkata, pihak LKTN telah menjadikan tanaman kenaf sebagai sumber komoditi utama yang baru dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan kumpulan sasar.

Beliau berkata, kawasan yang aktif menjalankan penanaman kenaf adalah di Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Tumpat dan Jeli.

“Sekarang kita dalam proses mengembangkan lagi penanaman kenaf berikutan di negeri ini kita mempunyai seramai 192 penanam daripada jumlah sasaran sebenar iaitu seramai 300 penanam,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Azizi memberitahu, tanaman seluas 16 hektar yang diusahakan lapan petani di kampung Hutan Pasir itu dapat menghasilkan pulangan sebanyak RM100,000 untuk tempoh penanaman selama tiga bulan.

Mohd Azizi berkata, petani terbabit akan terus dibantu sebagai pasukan perintis menanam kenaf komersial bagi membolehkan setiap peserta menjana pendapatan RM12,000 setahun.

“Setiap penanam akan disalurkan bantuan sebanyak RM 2,385 semusim tidak termasuk beberapa skim intensif peningkatan hasil yang ditawarkan dalam usaha meningkatkan hasil komoditi kenaf negara,” jelasnya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 19 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan