Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 17 Jun 2014

Anak menagih: Ibu bapa diminta bertemu AADK

PASIR PUTEH: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) meminta ibu bapa yang tertekan dan terancam dengan ugutan daripada anak mereka yang menagih dadah supaya bersemuka dengan pegawai dari agensi itu bagi mencari jalan penyelesaian yang berkesan.

Ketua Unit Penguatkuasaan AADK daerah ini, Mohd. Abdullah Meli (gambar) berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini pihaknya menerima sebanyak 58 kes ugutan dan ancaman dari ibu bapa dan ahli keluarga penagih sendiri.

Beliau berkata, kebanyakan ibu bapa yang berdepan dengan anak-anak yang menagih dadah terutama pil kuda berada dalam ketakutan kerana sering diugut dan diancam malah ada di antaranya dicederakan.

"Kebanyakan yang tampil bersemuka dengan anggota kami menyesali di atas ketelanjuran anak mereka terjerumus dengan penagihan pil kuda yang semakin sukar untuk dikawal.

"Hampir keseluruhan kes berjaya diselesaikan selepas risikan dilakukan ke lokasi yang dimaklumkan sebelum tangkapan dan proses pemulihan dijalankan mengikuti prosedur yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Bukit Jawa, dekat sini malam tadi.

Sementara itu, Mohd. Abdullah berkata, sebanyak 18 operasi dijalankan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 16 Jun 2014 | Terbitan 17 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan