Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 20 Jun 2014

Kes demam denggi terus meningkat di Kelantan

KOTA BHARU: Wabak denggi di negeri ini terus mencatatkan peningkatan dengan 2,293 kes dilaporkan sejak Januari hingga 17 Jun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, jumlah kes tersebut menunjukkan peningkatan sehingga 274 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata, antara daerah yang menyumbang kepada peningkatan kes denggi ialah Kota Bharu dan Tumpat.
 
"Sebelum ini, wabak denggi telah mencatatkan penurunan kes pada bulan April dan Mei lalu namun mula meningkat secara mendadak sejak dua minggu lepas. "Peningkatan kes ini mungkin disebabkan banyak takungan air yang terbiar selepas hujan," kata­nya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Zakat dan Bantuan Kewangan kepada Pelajar Maktab Sultan Ismail (SIC) oleh Alumni SIC di Dewan Tengku Mahmud di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Fauzi Che Mamat yang juga Penaung Alumni SIC Tahun 1973 dan turut dihadiri Presiden Alumni SIC 1973, Aziz Mohd. Yusuff.

Sementara itu, Ahmad Razin berkata, kesedaran orang ramai terhadap penjagaan kebersihan persekitaran juga perlu ditingkatkan bagi memastikan tiada pembiakan nyamuk aedes.

"Orang ramai perlu meningkatkan usaha untuk bergotong-royong membersihkan tempat pembiakan nyamuk di rumah masing-masing bagi mencegah wabak berkenaan.

"Selain itu, saya juga berharap majlis daerah mengambil langkah sewajarnya bagi menguruskan sampah sarap yang turut menjadi tempat pembiakan nyamuk," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta orang ramai berhati-hati ketika mendekati kawasan yang berisiko dengan jangkitan penyakit leptosirosis atau kencing tikus.

"Di mana-mana tempat kemungkinan ada risikonya. Oleh itu, orang ramai terutama yang mempunyai luka-luka di badan dinasihatkan supaya mengelak daripada mandi di kawasan rekreasi," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 19 Jun 2014 | Terbitan 20 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan