Ami Mazura di sisi Mohd Faiz yang baru ditemui selepas hilang lima hari. |
GUA MUSANG: “Saya minum air sungai ketika keletihan kerana sesat dan tak tahu jalan pulang ke rumah,” kata Mohd Faiz Azmi, 28, orang kurang upaya (OKU) yang ditemui selamat selepas hilang lima hari lalu.
Dia yang tinggal di Kampung Kerinting, dekat bandar ini, ditemui seorang penduduk ketika merayau-rayau dalam keadaan keletihan di tepi Jalan Gua Musang - Kuala Lipis berhampiran Kem Semor, dekat sini, jam 1 pagi.
Penduduk dalam perjalanan ke Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru itu kemudian membawanya ke sebuah kedai makan berhampiran sebelum menyerahkan kepada polis yang kebetulan ada di situ.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang Ahad lalu, Mohd Faiz merajuk apabila ditegur ibunya, Ami Mazura Ahmad, 49, ketika mandi di Sungai Ketil di belakang rumahnya sebelum lari menghilangkan diri.
Ami Mazura membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang jam 4 petang Isnin lalu, selepas penduduk kampung gagal mengesan Mohd Faiz.
Mohd Faiz yang boleh bercakap berkata, dia bukan lari dari rumah, tetapi ingin berjalan keluar untuk ke kebun bapanya di Taman Wangi.
“Saya rasa saya berjalan semakin jauh dan tidak tahu jalan pulang ke rumah sebelum menemui seorang penduduk membawa saya ke sebuah kedai makan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Ami Mazura berkata, kebiasaan anaknya itu tetap pulang ke rumah walaupun lewat malam, tetapi kejadian kali ini amat membimbangkan kerana lima hari dia tidak pulang.
Bagaimanapun, dia bersyukur Mohd Faiz ditemui dalam keadaan selamat walaupun keletihan kerana tidak makan selama lima hari.
Katanya, sejak kebelakangan ini, memang perangai anaknya luar biasa sikit dan cepat mengamuk jika ditegur hingga pernah merosakan barangan dalam rumah.
“Seperti kejadian petang Ahad lalu, saya hanya menegur dia supaya jangan mandi di sungai belakang rumah kerana bimbang keselamatan, tetapi dia mengamuk dan terus melarikan diri.
“Ketika itu saya cuba mengekorinya kerana takut dia terjatuh ke dalam sungai dan hilang tanpa dapat dikesan sebelum ditemui penduduk awal pagi tadi (semalam),” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 13 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan