Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 21 Jun 2014

Masalah timbunan sampah di Kg. Aril, Kota Bharu perlu diberi perhatian

Keadaan sampah yang tidak terurus di simpang Kampung Aril.
KOTA BHARU: Pusat longgokan sampah, itulah persepsi orang ramai terhadap Kampung Aril berikutan laluan masuk utamanya dipenuhi timbunan bahan buangan yang tidak terurus sejak enam bulan lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati barang terbuang seperti perabot, kaca dan  sisa harian bertaburan hingga ke atas jalan.

Ia bukan sahaja berbau busuk, malah keadaan kawasan itu yang amat gelap boleh mengundang bahaya kepada penduduk.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Lee, 41, berkata, masalah itu telah dipanjangkan kepada pihak berkenaan namun sehingga kini tiada penyelesaian.

“Kelmarin, sekali lagi saya buat aduan kerana tidak mahu perkara ini terus membelenggu penduduk. Tindakan perlu cepat, jangan buat kami di sini menunggu terlalu lama.

“Masalah ini sudah berlarutan dan ia memudaratkan penduduk kampung serta kawasan persekitaran. Harap kali ini tindakan proaktif diambil demi kepentingan kami di sini," katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk, Azhar Mat Zin, 33, berkata, kawasan tersebut sangat menjijikkan dan berbau busuk, lebih-lebih lagi selepas hujan.

“Sudahlah penduduk tinggal berdekatan terpaksa hidu bau busuk, kita juga bimbang ia jadi tempat pembiakan haiwan yang boleh membawa menyebabkan wabak penyakit berjangkit lain.

“Dahulu ada tong sampah tetapi sekarang tidak ada. Kami kesal kerana yang membuang sampah di sini bukan orang sini tetapi mereka orang luar. Tong sampah ada disediakan berdekatan taman bersebelahan tetapi ia tidak cukup untuk menampung,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 21 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan