KOTA BHARU: Penganjuran Karnival
Hijrah bersempena program Dakwah Negara 2014 di negeri ini diharap dapat
menjadi pemangkin kepada kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan
Kerajaan Pas Kelantan bagi menyatupadukan umat Islam.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr.
Asyraf Wajdi Dusuki (gambar) berharap karnival bercorak keilmuan dan kekeluargaan
itu dapat mengurangkan bibit-bibit prasangka dan prejudis serta
meningkatkan kesefahaman sesama ummah.
"Melihat senario di negeri ini, kita dapat melihat pertembungan
politik amat sengit di sini dan berlaku sepanjang masa yang mana boleh
memecahbelahkan rakyat.
"Penganjuran karnival yang mengangkat tema, Kasih Sayang Disemai
Perpaduan Dituai ini diharap dapat merapatkan jurang disebabkan
perbezaan politik dan ideologi.
"Jika masyarakat Islam dapat mengurus perbezaan-perbezaan yang ada
dan meletakkan kasih-sayang sebagai tonggak, insya-Allah kita mampu
berhadapan dengan sebarang cabaran sekalipun," katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Pemantapan Akidah Ahli Sunnah Wal
Jamaah di Karnival Hijrah bersempena Program Dakwah Negara 2014
Peringkat Kelantan di Kompleks Islam, di sini hari ini.
Wacana yang membincangkan tajuk-tajuk seperti Akidah Ahlus Sunnah Wal
Jamaah, Hak Asasi Manusia dan Isu-isu semasa serta Manhaj Ahlus Sunnah
Wal Jamaah itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad
Yakob.
Kelantan menjadi lokasi keenam penganjuran program Dakwah Negara 2014
peringkat negeri sebelum bergerak ke Sabah, Perak dan Johor selepas
Ramadan ini.
Dalam perkembangan lain, Asyraf memberitahu, penganjuran karnival itu
antara lain mahu memberi penjelasan dan kefahaman kepada masyarakat
tentang Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"Program wacana ini misalannya, kita membincangkan berkenaan Ahli
Sunnah Wal Jamaah sebagai akidah teras yang meletak Islam sebagai agama
Persekutuan yang mana perlu difahami rakyat di negara ini.
"Penjelasan itu penting terutama dalam keadaan digasak dan dipertikai
oleh banyak pihak yang berusaha untuk menggugat kedudukan Islam dalam
negara ini," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 13 Jun 2014 | Terbitan 14 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan