Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 22 Jun 2014

Penggunaan kanta lekap boleh bawa akibat buruk

KUALA TERENGGANU: Seorang pakar mata memberi amaran trend menggunakan kanta lekap yang semakin meningkat mungkin boleh membawa mudarat jika pengguna tidak mengikut kaedah yang betul.

Pakar perunding Oftalmologi Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) Dr Azhar Zainuddin, berkata ramai dalam kalangan pengguna tidak mempunyai pengetahuan berhubung cara pemakaian dan penggunaan kanta lekap.

"Sekarang ini kita lihat ramai orang membeli kanta lekap di pasar-pasar malam atau di kedai-kedai biasa tanpa merujuk kepada doktor terlebih dahulu.

Perkara ini trend yang membahayakan kerana memakai kanta lekap memerlukan penjagaan yang rapi dan pemakaian yang betul," katanya kepada Bernama.

Beliau mendakwa telah merawat kes-kes dengan pesakit memakai kanta lekap dengan cara yang salah kerana memakai terlalu lama atau tertidur tanpa membuka kembali kanta itu sehingga menyebabkan kerosakan atau menyebabkan buta," katanya.

Dr Azhar menasihatkan para pengguna kanta lekap supaya terlebih dahulu mendapatkan khidmat nasihat daripada optometris atau oftalmologis.

"Selalunya, mereka hanya berjumpa doktor apabila kanta lekap itu tidak boleh ditanggalkan.

"Hal inilah yang kita mahu pengguna elakkan kerana pada masa ini adakalanya sudah terlalu lambat untuk menyelamatkan mata mereka.

"Kita mahu pengguna datang jumpa doktor semasa mahu menggunakan kanta lekap untuk memberi khidmat nasihat mengenai cara penjagaan serta pemakaian yang betul," katanya.

Dr Azhar juga kesal kerana kesedaran masyarakat berhubung penjagaan mata juga masih ditahap rendah dan tidak ramai yang membuat pemeriksaan setiap tahun.

"Seharusnya, setiap orang walaupun berada dalam keadaan sihat, mereka perlu membuat pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun. Apa yang saya lihat sekarang ini, orang ramai tidak berbuat demikian dan mereka hanya datang apabila keadaan sudah teruk," katanya.

Beliau berkata walaupun kebanyakan mereka yang mengalami masalah mata disebabkan mempunyai penyakit diabetis atau faktor umur, orang muda juga mungkin terdedah dengan masalah mata disebabkan faktor cuaca dan genetik.

Dr Azhar berkata, masyarakat Terengganu tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan khidmat penjagaan mata kerana KTS mempunyai Klinik Oftalmologi yang menawarkan pelbagai perkhimatan berkaitan mata serta dilengkapi dengan kemudahan laser serta peralatan terkini untuk penjagaan, pemeriksaan dan pembedahan mata.

"Kita turut memperkenalkan perkhidmatan baharu iaitu Klinik Kanta Lekap yang mana masyarakat boleh mendapatkan khidmat nasihat sebelum menggunakan kanta itu dan kita akan mengesyorkan kanta lekap yang terbaik untuk digunakan," katanya.

Klinik Oftalmologi KTS milik anak syarikat kerajaan Terengganu beroperasi setiap hari Ahad hingga Khamis sejak November tahun lalu.

KTS merupakan antara hospital milik TDM Berhad. Ia juga memiliki Kuantan Medical Centre (KMC) di Pahang; Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) di Selangor dan Taman Desa Medical Centre Sdn Bhd di Kuala Lumpur.

Sumber: Bernama | 22 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan