Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 13 Jun 2014

Dua ditahan, polis rampas dadah bernilai RM100,000 di Kg. Panchor, KB

KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita serta merampas pelbagai jenis dadah yang dianggar bernilai hampir RM100,000 di Kampung Panchor, Kemumin, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu Asisten Komisioner Azham Othman berkata kedua-dua suspek yang berumur 42 dan 56 tahun ditahan pada pukul 11.30 pagi semalam di sebuah rumah oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu.

"Ini merupakan hasil risikan dan maklumat awam, ketika serbuan suspek sedang leka membungkus dadah dan kita percaya kedua-dua suspek ini merupakan rakan kongsi.

"Kita berjaya merampas 2,200 biji pil kuda, 19 botol mengandungi dadah jenis heroin dan tiga bungkus plastik cerah dipercayai dadah jenis syabu seberat 2.0 gram," katanya kepada pemberita di IPD Kota Baharu di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah dari negara jiran dan kesemua dadah itu dipercayai untuk diedarkan  di sekitar Kota Bharu.

"Modus operandi yang digunakan suspek ialah menggunakan rumah  sebagai tempat untuk mengedarkan dadah, pelanggan datang ke rumah  berkenaan untuk  memperoleh bekalan dadah dan mereka juga ada pelanggan tetap. 

"Mereka dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu dan kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah  lampau," katanya.

Azham berkata suspek kini direman selama seminggu bermula hari  ini untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kes turut di siasat di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh di penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari lima tahun dan dikenakan tidak kurang dari tiga sebatan.

Sumber: Bernama | 12 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan