Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 14 Jun 2014

Projek Agropolitan Kelantan Selatan bukti kerjasama erat Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan

GUA MUSANG: Kerjasama erat di antara Kerajaan Pusat dan negeri melalui Projek Agropolitan Kelantan Selatan telah memberi manfaat kepada rakyat khususnya di daerah ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Faudzi Che Mamat berkata, Projek Agropolitan Kelantan Selatan menerusi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) merupakan contoh kerjasama Kerajaan Pusat dan negeri yang mencapai matlamat.

"Harapan kerajaan negeri sama dengan pihak persekutuan iaitu melihat golongan miskin tegar keluar daripada garis kemiskinan.

"Melalui projek ini, pelbagai infrastruktur lengkap disediakan dan peserta harus fokus terhadap program yang dirancang oleh pihak ECER bagi meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra kerajaan negeri bersama peserta Agropolitan Kelantan Selatan di Dewan Orang Ramai, Rantau Manis, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Isaac John dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Gua Musang, Mohd. Arshad Ismail.

Sementara itu, Jebasingam Isaac turut berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah memberi kerjasama yang baik terhadap projek di bawah ECER di Kelantan, termasuklah dengan menyediakan tanah.

"Projek Agropolitan ECER merupakan satu program kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Kami menganggap program ini berjaya kerana 85 peratus peserta Agropolitan ECER telah berjaya mendapat pendapatan RM1,200 sebulan," katanya.

Katanya lagi, Projek Agropolitan Kelantan Selatan di Gua Musang merupakan kawasan ketiga selepas Besut di Terengganu serta Pekan, Pahang. "Kerajaan Persekutuan telah melabur lebih RM100 juta bagi projek tersebut," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 12 Jun 2014 | Terbitan 13 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan